Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Lafaz talak kerana belajar atau mengulangkaji pelajaran bab talak tetapi ada lintasan hati kepada isteri semasa melafazkan. Saya terus jadi takut, apa hukumnya ya Dato. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

( Surah al-Baqarah: 229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’, ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. ( Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat.

Ulama’ Syafi’i meletakkan perbahasan ini di dalam bab sabq al-lisan yakni terlepas cakap, di bawah rukun talak yang ketiga iaitu al-Qasd (Niat). Menurut Imam Zakariyya al-Ansori berkata:

(الرُّكْنُ الثَّالِثُ قَصْدُ الطَّلَاقِ فَيُشْتَرَطُ قَصْدُ اللَّفْظِ بِمَعْنَاهُ) أَيْ مَعَهُ لِيُزِيلَ مِلْكَ النِّكَاحِ… الْمُعْتَبَرَ قَصْدُ اللَّفْظِ وَالْمَعْنَى مَعًا وَاعْتُبِرَ قَصْدُ الْمَعْنَى لِيَخْرُجَ حِكَايَةُ طَلَاقِ الْغَيْرِ وَتَصْوِيرُ الْفَقِيهِ وَالنِّدَاءُ بِطَالِقٍ لِمُسَمَّاةٍ بِه

Maksudnya: Rukun talak yang ketiga iaitu niat talak. Maka, disyaratkan untuk berniat dan bermaksud dengannya, iaitu bersamanya akan luput atau hilang akad nikah itu yang muktabar (diterima) ialah niat secara lafaz dan juga makna, ini juga bererti terkeluar darinya hikayat talak orang lain dan gambaran orang faqih (pengajaran) dan juga memanggilnya kerana namanya diberikan sedemikian.(Lihat Asna al-Matholib, 3/280)

Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili berkata:

وَكَذَا إِذَا تَلَفَّظَ الشَّخْصُ بِالطَّلَاقِ حَاكِيًّا كَلامَ غَيْرِهِ ، وَكَذَلِكَ الفَقيهُ إِذَا تَكَرَّرَ لَفْظُ الطَّلاقِ فِي دَرْسِهِ وَتَصْوِيرِهِ ، فَهُوَ لَغْوٌ ، لِعَدَمِ القَصْدِ

Maksudnya: Begitu juga, jika seseorang melafazkan talak sebagai cerita dari kata-kata orang lain, dan begitu juga jika seorang faqih mengulangi lafaz talaq dalam pengajiannya atau menggambarkannya, maka ia adalah sia-sia (tidak sah) kerana tiada niat padanya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/164)

Manakala, Wahbah al-Zuhaili pula berkata talak itu tidak berlaku pada seorang faqih yang mengulanginya dan juga pada orang yang memberi hikayat (cerita) dari orang lain atau diri sendiri, kerana dia tidak berniat terhadapnya, namun berniat untuk pengajaran dan juga penceritaan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/368)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan mengucapkan lafaz cerai dengan tujuan pembelajaran sebagai contoh, tidak jatuh talak, melainkan disertai dengan niat untuk menjatuhkan talak kepada isteri, maka ketika itu terjatuhlah talak.

Begitu juga, lafaz talak tidak akan jatuh selagi mana tidak dilafazkan sama ada secara sorih (tanpa perlu niat) mahupun kinayah (memerlukan niat untuk cerai). Oleh itu, melafazkan cerai di dalam hati atau lintasan hati, tidak menjadikan talak itu jatuh.

Atas kesempatan ini juga, kami nasihatkan agar anda tidak takut untuk lebih mendalami ilmu agama seperti ibadat, perkahwinan, perubatan, muamalat, jinayat dan seumpamanya supaya kita dapat memahaminya dengan baik dan mengelakkan perasaan was-was yang akhirnya membuatkan hidup kita gelisah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *