Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada soalan. Doa pada khutbah kedua solat Jumaat, adakah terdapat larangan untuk menadahkan tangan ketika doa tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Dalam menjawab soalan di atas, para ulama terbahagi kepada dua pendapat seperti berikut:

Pendapat pertama: Tidak perlu mengangkat tangan bagi makmum ketika doa khutbah

Ini merupakan pendapat muktamad mazhab Hanafi, Maliki dan qaul Imam Abu al-Barakat al-Majd Ibn Taymiyyah dalam kalangan mazhab Hanbali; yang mengatakan tidak perlu mengangkat tangan ketika berdoa ketika khatib berdoa.

Imam Ibn ‘Abidin dalam kalangan ulama mazhab Hanafi berkata: “Imam Muhammad bin Abi al-Qasim al-Baqqali berfatwa di dalam kitab al-Mukhtasar: Jika khatib sedang berdoa, maka tidak dibolehkan untuk makmum mengangkat tangan begitu juga tidak boleh menyebut amin dengan kuat. Jika mereka melakukannya, ada dua pendapat. Ada yang kata, ia berdosa. Ada juga yang kata, ia telah melakukan kesalahan namun belum berdosa.” (Lihat Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, 2/158)

Muktamad mazhab Maliki pula memandang tidak perlu mengangkat tangan untuk berdoa ketika apa jua keadaan sekalipun. Imam ‘Ali al-‘Adawi berkata: “Imam Malik mendha‘ifkan amalan mengangkat tangan ketika berdoa dalam semua keadaan begitu juga ketika istisqa’. Pernah juga beliau dilihat mengangkat kedua-dua tangannya ketika istisqa’ dalam keadaan membalikkan belakang tangannya ke arah tanah seraya berkata: “Jika tangan diangkat, maka beginilah caranya.” Manakala, kenyataan Imam Ibrahim al-Syabrakhiti pula adalah seperti berikut: “Hukum mengangkat tangan di sisi mazhab ada dua pendapat. Mazhab kitab al-Mudawwanah adalah tidak perlu mengangkat tangan (ketika berdoa).” (Lihat Hasyiah al- ‘Adawi ‘ala Syarh al-Khirsyi ‘ala Mukhtasar Khalil, 2/341)

Al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata: “Sebahagian ulama Salaf membenci perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa pada waktu khutbah dan setiap kali ketika berdoa, ini merupakan pendapat Imam Malik, dan hujahnya adalah hadith ‘Umarah bin Ru’aibah R.A.” (Lihat Ikmal al-Mu‘lim fi Fawa’id Muslim, 3/277).

Sebahagian Salaf yang membenci itu adalah Ibn Syihab al-Zuhri dan Masruq bin al-Ajda‘. Masruq pernah melihat khatib dan makmum mengangkat tangan ketika berdoa pada khutbah kedua, lantas Masruq berkata: “Semoga Allah memotong tangan-tangan mereka itu.” (Lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 2/147)

Imam al-Zarkasyi al-Hanbali berkata: “Amalan ini (angkat tangan bagi khatib dan makmum) dinilai sebagai bidaah di sisi Imam Abu al-Barakat Majduddin Ibn Taimiyyah al-Hanbali.” (Lihat Syarh al-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar al-Khirqi, 2/182).

Pendapat kedua: Sunat mengangkat tangan bagi makmum ketika doa khutbah

Ini merupakan pendapat mazhab al-Syafi‘i dan Hanbali; makmum tetap sunat mengangkat tangan, manakala yang dimakruhkan adalah bagi khatib sahaja. Manakala, Imam Ibn ‘Aqil dalam kalangan al-Hanabilah mengatakan khatib turut dianjurkan untuk mengangkat tangan.

Imam Ibn Hajar al-Haitami pernah ditanya berkenaan hukum mengangkat tangan ketika khatib berdoa; adakah itu suatu sunnah atau bidaah? Beliau berfatwa: “Mengangkat tangan untuk berdoa pada semua keadaan di luar solat adalah sunnah. Sesiapa yang menyangka bahawa Rasulullah SAW hanya mengangkat tangan berdoa ketika solat Istisqa’ sahaja, maka dia telah tersilap dengan kesilapan yang amat besar dan begitu buruk. Anjuran mengangkat tangan pada semua keadaan doa di luar solat ini bahkan ditegaskan (oleh Imam al-Muzajjad) di dalam kitab al-‘Ubab. Yang makruh adalah apabila khatib mengangkat tangannya ketika berdoa (manakala makmum pula tidak makruh).” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/253)

Adapun hadith ‘Umarah bin Ru’aibah R.A yang diriwayatkan:

رَأَى بِشْرَ بْنِ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ فَقَالَ قَبَّحَ اللهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبِعِهِ الْمُسَبَّحَةُ

Maksudnya: “Beliau (‘Imarah) melihat Bisyr bin Marwan berada di atas mimbar seraya mengangkat kedua belah tangannya (berdoa) lantas (‘Imarah) berkata: “Semoga Allah memburukkan kedua-dua tangan itu!” Aku telah melihat Rasulullah SAW tidak lebih sekadar mengisyaratkan jari telunjuk baginda sahaja ketika berdoa di atas mimbar.”

Riwayat Muslim (874)

Hadith ini merupakan larangan makruh bagi khatib sahaja untuk mengangkat tangan ketika berkhutbah, larangan ini bukan untuk makmum yang mendengar.

Imam al-Nawawi mengatakan, di dalam hadith ini terdapat faedah menyatakan bahawa sunat untuk (khatib) tidak mengangkat tangan ketika berdoa di dalam khutbah. Ini merupakan pendapat Imam Malik dan ashab kita (ulama mazhab al-Syafi‘i). Manakala, al-Qadhi (‘Iyadh) menukilkan daripada sebahagian Salaf dan sebahagian ulama mazhab Maliki yang membolehkannya kerana Nabi SAW mengangkat tangannya ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat untuk doa memohon hujan. Namun, para ulama terdahulu menyatakan, Baginda mengangkat tangan ketika itu adalah kerana faktor mendatang yang tertentu semata (khusus untuk doa minta hujan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/470)

Imam al-Zarkasyi al-Hanbali dalam kalangan fuqaha’ mazhab Hanbali pula berkata: “Dan dianjurkan untuk mengangkat tangan (bagi khatib dan makmum) ketika berdoa, di sisi Imam Ibn ‘Aqil al-Hanbali (di dalam kitab al-Fusul); atas dasar keumuman anjuran mengangkat tangan ketika berdoa.” (Lihat Syarh al-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar al-Khirqi, 2/182)

Kesimpulannya

Sebagai kesimpulan, tidak dapat dinafikan bahawa perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Namun, kami cenderung kepada pendapat mazhab al-Syafi‘i dan mazhab Hanbali yang menganjurkan agar makmum tetap mengangkat tangan ketika khatib sedang berkhutbah berdasarkan keumuman dalil anjuran mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa. Hal ini berdasarkan hadith:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ حَيِيٌّ كَرِيمٌ إِذَا رَفَعَ أَحَدُكُمْ يَدَيْهِ فَلَا يَرُدَّهُمًا صِفْرًا

Maksudnya: “Allah SWT itu Maha Pemalu dan Maha Pemurah; segan apabila salah seorang dalam kalangan kalian mengangkat tangannya untuk berdoa, namun tangannya itu kembali dalam keadaan kosong (tidak dimakbulkan).”

Riwayat al-Tirmizi (3556), dan dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih al-Targhib (1635)

Manakala, khatib pula dimakruhkan untuk mengangkat tangannya, dan hanya mengisyaratkan dengan jari telunjuknya ketika berdoa sebagaimana anjuran Sunnah.

Walaupun begitu, tidak sewajarnya seseorang mencela kepada yang tidak mengangkat tangan ketika khatib sedang berdoa dan begitulah sebaliknya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ وَمِنْ دُعَاءٍ لَا يُسْمَعُ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak pernah puas dan doa yang tidak mustajab.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *