#659 Memakan Swike — Hidangan Berasaskan Kaki Katak

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum memakan swike? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah’.

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik’.

(Surah Ma’idah: 4)

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[1]

Definisi swike

Swike atau Swikee ialah hidangan kaki katak Cina Indonesia. Hidangan ini boleh dihidangkan sebagai sup atau digoreng. Pada asalnya ia merupakan masakan Cina, kemudian hidangan ini popular di Indonesia.[2]

Gambar di atas: Contoh hidangan swikee

Katak ialah haiwan kecil, tidak berekor dan mempunyai mata yang tersembul. Hampir semua katak mempunyai kaki belakang yang panjang. Kaki belakang yang kuat membolehkan katak melompat lebih jauh lagi daripada panjang badannya. Katak hidup di setiap benua, kecuali Antartika. Tetapi kawasan tropika mempunyai bilangan spesies yang paling banyak. Katak dikelaskan sebagai amfibia. Kebanyakan amfibia, termasuk kebanyakan katak, menghabiskan sebahagian hayatnya sebagai haiwan air dan sebahagian lagi sebagai haiwan darat.

Katak pertama muncul di bumi ini kira-kira 180 juta tahun yang lalu. Kira-kira 2700 spesies katak dan kodok telah berkembang daripada leluhur awal ini. Sesetengah spesies menghabiskan keseluruhan hayatnya dalam air atau dekat air. Katak-katak lain terutamanya hidup di darat dan pergi ke dalam air hanya untuk mengawan. Masih terdapat spesies-spesies lain yang tidak pernah memasuki air, walaupun untuk mengawan. Banyak katak adalah pemanjat yang tinggal di pokok. Yang lain adalah pengorek lubang yang tinggal dalam tanah. Sepanjang sejarah, katak menjadi sumber kepercayaan karut. Sebuah mitos lama mengatakan bahawa katak jatuh dari langit semasa hujan turun. Sebenarnya, banyak spesies yang hidup dalam tanah meninggalkan sarangnya semasa atau selepas hujan pada permulaan musim mengawan. Oleh sebab orang jarang melihat katak sepanjang tahun, mereka membayangkan haiwan ini jatuh dari langit bersama-sama hujan.

Katak raksasa, atau Geoliath di barat-tengah Afrika adalah katak yang paling besar. Panjangnya hampir 30 sentimeter. Spesies yang paling kecil hanya lebih sedikit daripada, sentimeter panjangnya. Katak juga berbeza warnanya. Kebanyakan jenis katak berwarna hijau atau perang, tetapi sesetengahnya mempunyai tanda yang berwarna-warni. Walaupun spesies yang berbeza mungkin berbeza dari segi saiz atau warna, hampir semua katak mempunyai struktur badan yang serupa. Katak mempunyai kaki belakang yang besar, kaki depan yang pendek, dan kepala yang leper dan badan yang tidak berleher. Katak dewasa tidak mempunyai ekor, meskipun satu spesies katak Amerika Utara mempunyai struktur bak ekor yang pendek. Kebanyakan katak mempunyai lidah melekit yang melekat pada bahagian depan mulut. la boleh menjulurkan lidah dengan pantas untuk menangkap mangsa.

Seperti haiwan peringkat tinggi, katak mempunyai organ dalaman seperti jantung, hati, paru-paru, dan ginjal. Walau bagaimanapun, sesetengah organ dalaman ini berbeza daripada haiwan peringkat tinggi. Contohnya, jantung katak mempunyai tiga kebuk dan bukannya empat. Sungguhpun katak dewasa bernafas menerusi paru paru, katak dewasa juga bernafas melalui kulit. Katak dewasa memakan terutamanya serangga dan haiwan kecil lain, termasuk cacing, ikan minnow, dan labah-labah. Kebanyakan katak menggunakan lidah melekitnya untuk menangkap mangsa. Lidah dijulurkan keluar dari mulut sebagai respons kepada pergerakan oleh mangsanya. Kebanyakan katak mempunyai gigi hanya pada rahang atasnya. Kodok tidak mempunyai gigi langsung. Akibatnya, katak dan kodok menelan mangsanya bulat-bulat. Untuk membantu proses menelan, mata katak terbenam menerusi bukaan pada tengkoraknya dan menolak makanan ke dalam kerongkong supaya ia boleh dihadam.

Katak memberi faedah kepada kita dengan banyak cara. la memakan sebilangan besar serangga, yang mungkin sebaliknya menjadi perosak yang serius. Katak juga menyediakan makanan kepada kita. Kaki belakang katak besar yang berdaging dianggap sebagai makanan istimewa di banyak negara. Katak juga digunakan dengan meluas di makmal. Penyelidikan perubatan menggunakan katak untuk menguji ubat baru, dan para pelajar membelah katak untuk belajar mengenai anatomi. Sebenarnya, manusia adalah musuh ketat katak. Manusia memperoleh kebanyakan katak yang digunakan untuk makanan dan yang digunakan di makmal dari hutan. Tambahan pula, manusia memusnahkan kediaman dan tempat pembiakan katak dengan menggantikan kawasan semula jadi dengan bandar dan ladang. Mereka juga mencemar dan seterusnya meracuni perairan yang didiami katak. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP),10/261-266)

Hukum memakan katak

Pada asasnya, majoriti ulama berpendapat memakan katak adalah diharamkan dan ini merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33; Muntaha al-Iradat li Ibn al-Najjar, 5/181; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799-2800)

Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa katak diharamkan untuk dimakan kerana terdapat larangan membunuhnya. Kemudian beliau menukilkan daripada al-Baihaqi yang membawakan riwayat daripada Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi bahawa Nabi SAW melarang untuk membunuh lima jenis haiwan iaitu semut, lebah, katak, al-Surad (sejenis burung) dan burung hudhud. (Lihat al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi, 9/317)

Begitu juga terdapat riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Uthman bahawa:

أَنَّ طَبِيبًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ضِفْدَعٍ، يَجْعَلُهَا فِي دَوَاءٍ فَنَهَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهَا

Maksudnya:Seorang doktor bertanya kepada Nabi SAW berkenaan katak yang dijadikan sebagai ubat. Lalu Nabi SAW melarang daripada membunuhnya.

Riwayat Abu Daud (5269); Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan sanadnya adalah sahih.

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa katak haram untuk dimakan and tidak termasuk dalam jenis haiwan yang halal untuk dimakan. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/730-731)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ , وَلَا تَقْتُلُوا الْخُفَّاشَ فَإِنَّهُ لَمَّا خَرِبَ بَيْتُ الْمَقْدِسِ قَالَ: يَا رَبِّ سَلِّطْنِي عَلَى الْبَحْرِ حَتَّى أُغْرِقَهُمْ

Maksudnya: “‏Janganlah kamu membunuh katak kerana suaranya adalah tasbih, dan janganlah kamu membunuh kelawar kerana ketika Baitul Maqdis dirobohkan, ia telah berdoa, ‘Ya Allah, berikanlah aku kekuasaan untuk mengatur lautan, sehingga aku dapat menenggelamkan mereka — yakni orang yang merobohkan Baitul Maqdis’.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19382)

Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa riwayat ini adalah mauquf dan sanadnya adalah sahih. Kemudian, beliau menyebutkan, haiwan yang dilarang untuk dibunuh, haram untuk memakannya kerana sekiranya haiwan itu halal untuk dimakan, sudah tentu akan diperintah untuk menyembelihnya dan tidak dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang daripada membunuh haiwan yang halal untuk disembelih dan dimakan. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 9/534)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i dan ashabnya — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — yang menyebutkan bahawa apa-apa haiwan yang dilarang daripada membunuhnya, hukumnya adalah haram untuk dimakan kerana jika ia adalah halal untuk dimakan, maka sudah tentu tidak akan dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang untuk membunuh — yakni menyembelih — haiwan yang halal untuk dimakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging katak adalah haram untuk dimakan kerana terdapat larangan daripada membunuhnya berdasarkan nas yang sahih. Justeru, apa sahaja haiwan yang dilarang untuk dibunuh adalah dilarang untuk dimakan. Selain itu juga, katak termasuk dalam haiwan dua alam yang dianggap jijik untuk dimakan menurut sebahagian ulama. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 2 Mac 2022.

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Swikee. Diakses pada 7 Mac 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *