Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, seseorang telah menganiaya dan melampaui batas terhadap saya, kemudian beberapa orang meminta saya untuk memaafkannya dan mengampuninya. Mereka memberitahu saya bahawa dalam al-Quran dan Sunnah disebutkan bahawa memaafkan orang yang bersalah adalah jalan untuk mencapai keampunan Allah SWT, serta ia juga memberi kemuliaan kepada orang yang memaafkan. Sejauh manakah kebenaran kenyataan ini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”

(Surah al-Syura : 40)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT menyatakan bahawa sesiapa yang memafkan orang yang menyakitinya serta menganiayanya, dan dia memaafkannya dan dia tidak menghukumnya dalam keadaan dia mampu menghukumnya dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah, maka ganjaran kemaafan itu diberikan Allah, dan Allah sahaja yang boleh memberikan ganjaran pahala kepadanya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 20/526)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak dinafikan bahawa seseorang akan diampunkan dosanya dan diganjarkan dengan ganjaran yang besar apabila dia mampu bersabar dan memaafkan siapa sahaja yang telah menzalimi dan menganiaya. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin  ‘Umar bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

ارْحَمُوا تُرْحَمُوا، وَاغْفِرُوا يُغْفَرْ لَكُمْ

Maksudnya: “Sayangikah nescaya kamu akan disayangi, dan ampunuilah (kesalahan manusia) nescaya Allah SWT akan mengampuni kesalahan kamu.”

Riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad (hlm.380) dan Ahmad (6541)

Al-Munawi ketika mesyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa:  sesungguhnya Allah SWT mencintai nama-nama dan sifat-sifat-Nya, antaranya rahmat dan pengampunan, dan Dia mencintai hamba-hamba-Nya yang berakhlak dengan sifat-sifat tersebut. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/474)

Justeru berdasarkan hadith ini, jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT akan megampuni dosa-dosa hambanya yang sanggup memberi kemaafan kepada sesiapa yang telah menzalimi dan melakukan kesalahan terhadapnya. Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim hendaklah bersifat dengan sifat-sifat yang mahmudah seperti bersabar terhadap ujian dan memaafkan orang lain terhadap kesalahan mereka. Ini kerana kedua-dua sifat ini adalah tanda keunggulan akhlak seorang muslim dan ia mampu mengangkat darjat kemuliaan seseorang itu di sisi Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *