Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu berkahwin dengan ibu mentuanya selepas menceraikan isterinya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sekurang-kurangnya ada dua jenis hubungan mahram; iaitu mahram muabbad dan mahram muaqqat. Mahram muabbad ialah seseorang yang dilarang berkahwin pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan. Mahram muabbad pula terbahagi kepada tiga. Pertama, mahram dengan sebab hubungan nasab seperti ibu, nenek, anak perempuan, adik beradik, ibu saudara, anak saudara, dan lain-lain seumpamanya. Kedua, mahram dengan sebab hubungan susuan seperti ibu susuan, anak susuan, adik-beradik susuan dan lain-lain seumpamanya. Ketiga, mahram dengan sebab hubungan persemendaaan (perkahwinan) seperti ibu isterinya, isteri anaknya, isteri ayah atau datuk dan lain-lain seumpamanya.

Sedangkan mahram muaqqat adalah wanita yang haram dinikahi atas sebab-sebab tertentu, jika hilang sebab ini, maka dibolehkan untuk menikahinya. Di antaranya ialah adik-beradik perempuan isteri, wanita yang sudah diceraikan tiga kali kecuali selepas habis tempoh iddahnya dengan suami yang lain, yang telah melakukan persetubuhan dengannya, isteri orang lain, wanita yang sedang dalam tempoh iddah, dan lain-lain seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/6625-6641).

Ini sebagaimana yang jelas disebutkan dalam firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ٢٣ ۞ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ ۚ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, emak-emak saudara kamu di sebelah bapa, emak-emak saudara kamu di sebelah ibu, anak-anak perempuan daripada adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan daripada adik-beradik perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusui kamu dan adik-beradik susuan kamu dan ibu kepada isteri kamu dan anak-anak tiri di bawah pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah bersetubuh dengan mereka, tetapi jika kamu belum lagi bersetubuh dengan mereka dan kamu telah menceraikan mereka maka tiada sebarang kesalahan kepada kamu untuk menikahi anak-anak tiri tersebut. Diharamkan juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu dan diharamkan juga untuk kamu menghimpunkan dua beradik sebagai isteri kamu secara serentak kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (23) Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan perempuan yang bersuami, kecuali hamba perempuan yang kamu miliki melalui tawanan perang. Inilah ketetapan Allah ke atas kamu. Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang tersebut untuk kamu jadikan isteri dengan menggunakan harta kamu sebagai mas kahwin. Kamu jadikan mereka pasangan kamu dengan bernikah, bukan dengan berzina.”

(Surah al-Nisa’: 23-24)

Ayat di atas menyebutkan beberapa jenis mahram; sama ada mahram disebabkan nasab keturunan, atau disebabkan penyusuan, dan ada yang menjadi mahram disebabkan perkahwinan. Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang muhkam dan ini adalah persepakatan yang tidak boleh disanggahi. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/98)

Terdapat satu kaedah:

العقد على البنات يُحَرِّم الأمهات، والدخول بالأمهات يُحَرِّم البنات

Maksudnya: “Aqad ke atas anak-anak perempuan mengharamkan ibu-ibunya untuk dikahwini. Dan bersetubuh dengan ibu mengharamkan anak-anak perempuan untuk dikahwini.” (Lihat Bughyah al-Muqtasid, 10/351)

Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, jelaslah bahawa ibu mentua termasuk dalam mahram muabbad bagi menantu. Ini berdalikan kenyataan dalam Surah al-Nisa’ (sebagaimana yang kami sudah sebutkan di atas) yang menyatakan bahawa di antara wanita yang diharamkan berkahwin dengannya termasuklah:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya:Dan ibu-ibu isteri kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan, pengharaman ini kekal sekalipun selepas kematian atau cerai, semata-mata dengan akad, walaupun jika tidak pernah berlaku persetubuhan antara suami dan isteri, kerana ayat itu menyatakan semata-mata ibu kepada isteri tanpa mensyaratkan persetubuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/31-32).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *