Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah perlu tidur dahulu sebelum melakukan solat witir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka Dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta Dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.”

(Surah al-Sajdah: 16)

Jumhur ulama’ tafsir berpendapat, ayat di atas menerangkan tentang Qiamullail. Mujahid dan al-Hasan berkata: “Mereka mengerjakan solat malam.” Begitu juga pendapat ‘Ata’, al-Hasan dan Ibn Zaid.” Manakala sebahagian ulama’ lagi, antaranya al-Dhahhak, Abu al-Darda’ dan ‘Ubadah bin Samit berpendapat, maksudnya ialah solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Ibn Kathir mengulas: Pendapat yang lebih kuat adalah pendapat Mujahid dan al-Hasan (iaitu melakukan solat malam). Hal ini disebabkan Allah memuji orang-orang beriman kerana mereka bangkit daripada tempat tidur dan meninggalkan tidur mereka demi untuk mengerjakan solat dan berdoa kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/363).

Kami mulakan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الوِتْرَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan Dia menyukainya.”

Riwayat  al-Tirmizi (2/316) dan beliau menilainya sebagai hasan.

Hadith ini menunjukkan supaya yang mencintai al-Quran untuk berwitir dan ini menunjukkan hubungan yang begitu akrab antara solat Witir dengan bacaan al-Quran al-Karim.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa sudah semestinya bagi ahli ilmu (ulama) memberi perhatian yang lebih terhadap solat witir, meskipun solat ini disyariatkan untuk semua umat Islam. Sehinggalah, orang-orang yang mengetahui keadaan dan perbuatan mereka ingin mengikuti dan meneladani mereka. Jumlah rakaat solat Witir paling sedikit adalah satu rakaat, yang dilakukan antara Isyak hingga Subuh. Allah SWT adalah witir (Maha Esa) dan mencintai orang-orang yang melakukan solat Witir, dan Dia mencintai segala apa yang bersesuaian dengan sifat-sifat-Nya. (Lihat Qiamullail, Fadhluhu wa Adabuhu, hlm. 82).

Rasulullah melakukan solat witir setiap malam. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كُلَّ اللَّيْلِ أَوْتَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَانْتَهَى وِتْرُهُ إِلَى السَّحَرِ

Maksudnya: “Setiap malam Rasulullah SAW akan menunaikan solat witir, dan berakhir masa witirnya sehingga sahur.”

Riwayat al-Bukhari (996)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Mengenai ungkapannya ‘كُلَّ اللَّيْلِ’ (setiap malam), dalam riwayat Muslim, daripada jalur Yahya bin Wathab, daripada Masruq, disebut: ‘مِنْ كُلِّ اللَّيْلِ قَدْ أَوْتَرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ أَوَّلِ اللَّيْلِ وَأَوْسَطِهِ وَآخِرِهِ فَانْتَهَى وِتْرُهُ إِلَى السَّحَرِ’ (Pada setiap malam, Rasulullah melaksanakan solat Witir pada awal, pertengahan dan akhir malam, serta Witir Baginda berakhir pada waktu sahur). Maksud “awal” di sini adalah setelah solat Isya’.

Mengenai ungkapannya, ‘إِلَى السَّحَرِ’ (hingga waktu sahur), kemungkinan perbezaan waktu solat Witir ini disebabkan oleh perbezaan keadaan. Mungkin Baginda melakukan solat Witir pada awal malam ketika sakit. Kemudian, Baginda melakukannya pada pertengahan malam ketika dalam perjalanan, dan pada akhir malam berdasarkan kebiasaan yang biasa Baginda lakukan.” (Lihat Fath al-Bari, 5/372)

Rasulullah SAW telah menyebut berdasarkan riwayat Jabir  R.A, di mana Baginda SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لَا يَقُوْمَ آخِرَ الْلَيْلِ فَلْيُوْتِر أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمَعَ أَنْ يَقُوْمَ آخِرَهُ فَلْيُوْتِرِ الْلَيْل آخِرَ الْلَيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ الْلَيْلِ مَشْهُوْدَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَل

Maksudnya: “Sesiapa yang khuatir tidak terbangun pada akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat Witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam dihadiri bersama oleh para malaikat, dan itulah yang afdhal.

Riwayat Muslim (755)

Begitu juga dengan nasihat Nabi SAW, sepertimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ‏.‏

Maksudnya: “Kekasihku Nabi SAW mewasiatkan tiga perkara kepadaku, iaitu supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Dhuha, dan solat sunat witir sebelum aku tidur.

Riwayat al-Bukhari (1981) dan Muslim (721)

Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Jika seseorang mampu melakukan solat Tahajjud pada akhir malam, maka hendaklah dia menangguhkan solat Witir di akhir malam. Sekiranya tidak, maka dia boleh mengerjakan solat Witir selepas solat Isya’ dan selepas Rawatib ‘Isyak. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/210). Ungkapan yang sama juga disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/230).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan solat Witir itu boleh dilakukan setelah Solat Isyak. Maka, dapat kita fahami solat witir tidak perlu untuk kita tidur sejenak. Justeru, boleh untuk laksanakan solat sunat witir selepas solat isyak, pertengahan malam atau akhir malam sebelum masuknya solat Subuh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *