Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ada pendapat mengatakan mengambil wuduk menggunakan air spray tidak sah kerana tidak mengalir. Mohon penjelasan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa perkara wajib dalam berwuduk adalah membasuh anggota badan dengan air, dan ini hanya dapat dilakukan dengan mengalirkan air ke atas anggota tersebut; sebagaimana firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Surah al-Ma’idah: 6

Maka, tidak mencukupi sekadar membasahkan atau melembapkannya; kerana itu dianggap sapuan, bukannya basuhan.

Ini kerana di antara syarat sah wuduk adalah mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/70; Lihat Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/95).

Selain itu juga hendaklah menggunakan air bersih dan mesti mengalirkan air ke atas anggota wuduk. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/330).

Oleh itu, jelaslah bahawa ketika menggunakan spray bagi berwuduk hendaklah dipastikan semburan air pada anggota wuduk itu daripada air mutlak dan ia mesti mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk bagi menjamin kesahan wuduk tersebut.

Pada masa yang sama, sebelum menyembur air dengan menggunakan spray atau berwuduk dengan air yang sedikit hendaklah juga dipastikan tidak ada apa-apa kotoran atau najis pada anggota wuduk, yang dapat menghalang air daripada sampai pada anggota wuduk. Hal ini kerana menghilangkan najis atau kotoran serta apa-apa yang menghalang air daripada sampai ke anggota wuduk termasuk dalam syarat sah wuduk seperti mana yang disebutkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (1/70).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah bagi seseorang itu untuk berwuduk dengan menggunakan air daripada spray, mahupun medium penyimpan air yang lain, dengan syarat air yang digunakan untuk berwuduk itu mesti daripada air mutlak dan ia mesti mengalir lalu diratakan ke seluruh anggota wuduk. Bahkan tidak cukup dengan hanya melembapkan atau membasahkan tanpa adanya “mengalirkan” kerana sekadar melembapkan atau membasahkan sahaja belum lagi dianggap sebagai basuhan. Maka, sekiranya semua syarat sah ini dipenuhi, maka wuduknya dikira sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *