Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah syarat-syarat pemberian zakat kepada pelajar yang  dikategorikan sebagai miskin?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

 (Surah al-Taubah: 60)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, adalah wajib untuk memberikan zakat kepada mereka yang berhak berdasarkan asnaf yang disebutkan dalam ayat di atas, dan tidak dibolehkan memberikan zakat kepada selain mereka. Dalam situasi ini, pelajar yang miskin boleh menerima zakat berdasarkan status mereka sebagai orang miskin, bukan kerana mereka adalah pelajar.

Syarat-syarat pemberian zakat kepada orang miskin jika mereka adalah penuntut  ilmu sebagaimana yang digariskan oleh Dairah al-Ifta’ al- ‘Am adalah seperti berikut:

Pertama: Bahwa menuntut ilmu menghalanginya daripada mencari nafkah, sehingga tumpuan mereka kepada pengajian menjadi sebab mereka mengalami kemiskinan dan meninggalkan pekerjaan.

Kedua: Dia mestilah tekun dalam pengajiannya. Jika dia malas, maka tidak boleh diberikan zakat kepadanya. Al-Khatib Syarbini menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu sibuk dalam mempelajari ilmu syar’i dan pekerjaan yang dilakukannya menghalang daripada menuntut ilmu tersebut, maka dia boleh meneruskan pembelajaran dan layak menerima zakat. Ini kerana mempelajari ilmu tersebut adalah fardhu kifayah. Namun, jika dia tidak dapat mempelajari ilmu tersebut dan mampu mencari nafkah, maka dia tidak layak diberikan zakat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/175)

Ketiga: Ilmu yang dipelajari adalah ilmu yang memenuhi kewajipan fardhu kifayah bagi umat dalam bidang agama seperti yang dinyatakan oleh para fuqaha. Selain itu, ilmu-ilmu duniawi yang penting hari ini, seperti perubatan, kejuruteraan, fizik, dan lain-lain yang memberikan manfaat umum kepada umat, juga boleh diberikan zakat sebagaimana ilmu syariat.

Keempat: Orang miskin tersebut adalah dari kalangan mereka yang tidak wajib ditanggung nafkahnya oleh pemberi zakat; kerana sesiapa yang nafkahnya wajib ditanggung oleh pemberi zakat, tidak dibenarkan untuk diberikan zakat kepadanya. Al-Khatib Syarbini menyatakan: Antara syarat penerima zakat adalah dia tidak termasuk dalam golongan yang wajib ditanggung nafkahnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/183)

Seseorang yang wajib mengeluarkan zakat hendaklah melantik seseorang yang amanah atau badan tertentu untuk menyampaikan zakat hartanya kepada penerima yang berhak, termasuk pelajar miskin. Dia hendaklah memilih penerima zakat dari kalangan pelajar dengan teliti.

Dalam hal ini, adalah dibenarkan untuk melantik pihak pengurus zakat untuk mengagihkan zakat kepada pelajar miskin, sama ada dengan menyerahkan wang tersebut kepada mereka untuk membayar yuran pengajian mereka, atau perbelanjaan pendidikan mereka, atau meminta kebenaran mereka untuk membayar ansuran yang terhutang terus kepada universiti. Tidak syak lagi, memberikan zakat kepada golongan yang berhak ini mempunyai ganjaran besar kerana ia memberi kesan positif dalam penyebaran ilmu yang bermanfaat untuk negara dan umat.[1]

Justeru, dengan mengikut syarat-syarat dan garis panduan ini, wang zakat dapat disalurkan dengan baik khususnya kepada pelajar yang dikategorikan sebagai asnaf fakir dan miskin. Begitu juga, ia bagi memastikan wang tersebut digunakan sehabis baik sama ada untuk sara hidup atau menanggung yuran pengajian dan sebagainya. Dengan adanya pengurusan yang telus dan efisien, wang zakat yang disalurkan bukan sahaja meringankan beban pelajar yang memerlukan, tetapi juga membantu mereka dalam mencapai kejayaan dalam pelajaran dan seterusnya keluar daripada kancah kemiskinan. Ini sejajar dengan matlamat zakat itu sendiri yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan asnaf dan mengurangkan ketidaksamarataan ekonomi dalam masyarakat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”

Wallahu‘Alam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3901/%D8%B4%D8% Diaskses pada 20 Ogos 2024

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *