Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang boleh saya lakukan untuk pahala saya berterusan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‏ وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap amalan yang dilakukan semasa hidup seseorang akan berakhir selepas kematian, kecuali  tiga perkara yang dapat meberi manfaat kepadanya setelah kematian.

Pertama, adalah Sedekah Jariah, iaitu pemberian yang berterusan dan berkekalan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dalam tempoh yang panjang.

Kedua, adalah Ilmu yang bermanfaat, yang diteruskan dan diamalkan oleh generasi berikutnya, serta dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, dan memberi cahaya kepada yang mencarinya.

Terakhir, anak soleh yang ditinggalkan, sama ada anak kandung atau cucu, baik lelaki atau perempuan. Anak soleh ini, melalui amalannya yang baik dan doanya, dapat memberikan manfaat kepada Ibu bapanya yang telah meninggal dunia. Oleh itu, perkara  ini memainkan peranan penting dalam menambahkan pahala amalan seorang individu setelah kematian mereka. Hal ini juga sebagaimana yang diriwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”

Riwayat Muslim (4310), Abu Dawud (2882), al-Nasa’i (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)

Telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram apa yang dapat diperolehi daripada hadith ini adalah seperti berikut:

Sedekah jariah yang dinyatakan dalam hadith adalah seperti mewakafkan hartanah yang dapat dimanfaatkan dengannya, Haiwan yang boleh dimanfaatkan dalam pemburuan,bekas-bekas, Kitab-kitab, Mashaf al-Quran,  dan masjid. Yang demikian merupakan perkara yang akan mengalir  ke atas hambanya selagimana apa yang diwakafkan itu masih ada. Amalan ini merupakan sebaik-baik amalan  iaitu waqaf yang dapat  memberi manfaat yang mendorong kepada kebaikan . Begitu juga amalan  yang soleh seperti ilmu, jihad dan Ibadah.

Hadith ini juga menyatakan bahawa waqaf Syar’ie yang sahih adalah kebaikan yang dilakukan kepada ahli keluarga, faqir atau  kebajikan yang bermanfaat.

Ilmu yang dimanfaatkan selepas kematian oleh pelajar-pelajar dan mereka menyebarkan  ilmu-ilmu tersebut. Begitu juga kitab-kitab yang ditulis dan diambil manfaat daripadanya atau kitab-kitab yang dicetak dan dia membantu dalam menyebarkannya kepada manusia. Terdapat dalam sebuah hadits bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بكَ رَجُلًا خَيْرٌ لكَ مِن أنْ يَكونَ لكَ حُمْرُ النَّعَمِ.

Maksudnya: Demi Allah sekiranya Allah memberikan petunjuk kepada seorang laki-laki melalui perantaramu, itu lebih baik bagimu dari unta merah.  

Riwayat Bukhari(3009)

Seseorang akan mendapat manfaat dari doa, pemberian yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta amalan soleh yang dilakukan oleh Anak yang soleh, sama ada  anak kandung ataupun cucu, baik lelaki atau perempuan. Ketika seorang hamba beribadah kepada Allah SWT, ibu bapa dan datuknya juga akan turut merasakan manfaat dari amalan.

Boleh jadi seorang hamba mencapai tiga hal secara bersamaan dengan membuat sedekah berterusan. Manfaatnya akan diteruskan melalui penulisan buku-buku dan juga oleh keturunan yang soleh yang berdoa dan menyumbangkan amalan-amalan yang baik atas namanya.

Ibnu al-Jauzi berkata: Barangsiapa yang menyedari bahawa dunia adalah tempat persaingan untuk memperoleh kebaikan dan bahawa semakin tinggi kedudukannya dalam ilmu dan amal, semakin tinggi kedudukannya di akhirat, maka hendaklah dia memanfaatkan waktunya, tidak melepaskan sebarang peluang, dan berusaha mendapatkan setiap kebaikan yang ada. Siapa yang diberi keberkatan dalam usaha ini, hendaklah dia memanfaatkan waktunya dengan ilmu dan bersabar dalam menghadapi ujian dan kekurangan, sehingga dia mendapat balasan atas apa yang dia lakukan. (Lihat Taudih al-Ahkam-Min Bulugh al-Maram, hlm. 5/99-100)

Hadith di atas juga menunjukkan kepada kita bahawa  terangkatnya taklif kepada si mati, serta berpindahnya dari alamnya (iaitu dunia) ke alam barzakh, di mana ia bukan lagi tempat untuk beramal (beribadah). Apabila sudah terputusnya amalan, maka terputuslah juga pahala yang dikurniakan bagi suatu amalan tersebut. Manakala lafaz “إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ” (kecuali tiga perkara) pula bermaksud pahala tiga perkara itu adalah berkekalan  bagi seseorang selepas kematiannya, dan itu adalah disebabkan oleh kekalnya kesannya (atharnya), lalu membawa kepada kekalnya pahalanya. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/8).

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyebut: Ulama’ berkata: Hadith ini bermaksud bahawa setiap amalan orang yang mati terputus disebabkan oleh kematiannya kecuali disebabkan oleh tiga perkara yang mempunyai sebabnya. Anaknya adalah daripada hasilnya, begitu juga dengan ilmu yang diajarkannya melalui pembelajaran, begitu juga dengan sedeqah jariah iaitu wakaf. Dan pada hadith ini juga terdapat kelebihan berkahwin untuk dapatkan anak yang soleh. ( Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/85)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *