#69 Was-Was Kentut Semasa Solat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Semasa solat, saya was-was sama ada kentut atau tidak. Boleh jelaskan apa tindakan saya perlu lakukan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Was-was dari segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 43/147).

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.”

(Surah Qaf: 16)

Syeikh al-Syanqiti berkata, “Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya. Yang tersembunyi juga sama seperti yang zahir di sisi-Nya, dan Dia Maha Mengetahui gerak-gerik hati dan apa yang zahir.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/170).

Dari segi istilah, para fuqaha’ membahagikan takrifan was-was kepada beberapa makna, antaranya:

  • Was-was bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  • Was-was bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  • Was-was ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  • Was-was ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 43/147).

Berkenaan persoalan di atas, terdapat hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab baginda:

لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.”

Riwayat al-Bukhari (137)

Kaedah Feqah menyebut:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: “Pada asasnya, sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.”

Sebagai contoh dalam menjelaskan kaedah di atas, sekiranya seseorang yang hendak berpuasa itu makan pada penghujung malam, lalu dia berasa syak sama ada fajar telah terbit atau tidak, maka puasanya adalah sah kerana hukum asalnya adalah masih kekalnya malam. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, oleh al-Suyuti, hlm. 52).

Saya katakan, asalnya dalam keadaan berwudhu’, kemudian datangnya was-was, batal wudhu’, maka tinggalkanlah yang menjadi was-was dan mengambil yang asal serta yakin. Juga menepati kaedah:

اليَقِينُ لَا يُزَالُ إِلَّا بِاليَقِين

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan melainkan dengan suatu keyakinan juga.” (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 9/81).

Justeru, sekiranya tiada bau dan bunyi, dan lebih kepada was-was semata-mata, boleh dikira bahawa itu hanyalah pergerakan otot dubur semata-mata. Kadang-kadang kerana ada angin yang terperangkap di celah punggung tetapi bahagian luar. Itu bukan kentut. Kadang-kadang juga dirasai gas di bahagian hujung dalam dubur itu naik ke usus, membuatkan ada rasa sensasi di bahagian hujung. Itu juga bukan kentut.

Maka yang penting dalam isu ini ialah keyakinan bahawa memang ada hadas yang keluar, lalu membatalkan wuduk dan solat. Jika tiada maka kekallah hukum asal bahawa seseorang itu masih dalam keadaan suci dan hendaklah dia meneruskan solat.

Wallahua’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *