#690 Puasa Selepas Separuh Sya’ban

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibenarkan untuk berpuasa selepas daripada 15 Syaaban?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُوْمُوْا

Maksudnya:Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban maka janganlah kalian berpuasa”.

Dalam lafaz yang lain:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ حَتَّى يَجِىءَ رَمَضَانُ

Maksudnya:Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tidak ada puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan”.

Dalam lafaz yang lain:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَأَمْسِكُوا عَنِ الصَّوْمِ حَتَّى يَكُونَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tahanlah diri kalian dari berpuasa sehingga datang bulan Ramadhan”.

Riwayat Ahmad (2/442), Abu Dawud (2337), al-Nasa’ie (2923), al-Tirmizi (738), Ibn Majah (1651) dan al-Darimiy (1691).

Hadith ini menjadi perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum terhadap hadith ini. Sebahagian daripada mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian yang lain mengdhaifkannya.

Pendapat Pertama: Antara ulama’ yang mengsahihkan hadith ini:

  • Imam al-Tirmizi : Hadith adalah hasan sahih. (Lihat al-Jami’ al-Tirmizi, no. Hadith 669)
  • Imam Ibn Hibban : Hadith ini sahih. (Lihat Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 3589)
  • Imam Ibn Abd al-Bar: Hadith ini sahih. (Lihat al-Istizkar, 10/239)
  • Ahmad Syakir : Hadith ini adalah sahih. (Lihat Ta’liq ‘ala Tahzib al-Sunan, 3/225)

Pendapat Kedua: Antara ulama’ yang mengdhaifkan hadith ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam ibn Rejab al-Hanbali:

  • Imam Ahmad : Hadith ini munkar.
  • Abu Bakr al-Athram: Hukum hadith ini adalah munkar.
  • Abd al-Rahman bin Mahdi : Hadith ini munkar.
  • Abu Zur’ah : Ini adalah hadith munkar. (Lihat Lathaif al-Ma’arif, 135)

Tarjih Hukum Hadith

Berdasarkan pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah dhaif walaupun ia juga disahihkan oleh sebahagian para ulama’. Antara sebab yang menyebabkan kami menyatakan bahawa hadith ini adalah dhaif adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya adalah:

  • Disebabkan al-‘Ala’ bersendiri dalam riwayat ini. Oleh sebab itu, hadith ini adalah gharib berdasarkan pendapat Imam al-Nasaie iaitu “kami tidak ketahui perawi yang meriwayatkan hadith ini melainkan daripada al-‘Ala bin Abd al-Rahman”. Selain itu, melalui pendapat Imam al-Tirmizi bahawa “kami tidak ketahui melainkan daripada jalan ini”.
  • Hadith ini bercanggah dengan hadith yang sahih iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ

Maksudnya:Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari berpuasa atau dua hari.”

Riwayat Muslim (1812)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

Maksudnya:Apabila Rasulullah SAW berpuasa, kami merasakan Baginda tidak akan berbuka (kerana Baginda puasa secara berterusan), dan apabila Baginda tidak berpuasa kami merasakan Baginda tidak akan berpuasa lagi. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding pada bulan Sya’ban.”

Riwayat al-Bukhari (1969)

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha juga, katanya:

كَانَ أَحَبُّ الشُّهُوْرِ إِلَيْهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَصُوْمَهُ شَعْبَانَ ثُمَّ يَصِلُهُ بِرَمَضَانَ

Maksudnya: “Bulan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW untuk melaksanakan ibadah puasa adalah Sya’ban, lalu baginda SAW melanjutkannya dengan Ramadhan.”

Riwayat Abu Dawud (2431), al-Nasa’ie (2350) dan Ahmad (25548)

Maksud “Janganlah Kamu Berpuasa”

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Larangan berpuasa di dalam hadith tersebut adalah ditujukan kepada sesiapa yang bukan menjadi kebiasaannya berpuasa. Adapun bagi sesiapa yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa maka ia tidak menjadi masalah untuk dia berpuasa pada waktu tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 4/215)

Pendapat Ulama’ Dalam Masalah Berpuasa Pertengahan Bulan Sya’ban

Dr Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Muktamad bahawa berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa dan jika ia tidak bersambung dengan hari sebelumnya. Dalam makna lain bagi orang yang berpuasa pada waktu tersebut sahaja. (Lihat al-Mu’tamad, 2/216)

Syeikh Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani dalam Fath al-‘Allam berkata: “Tidak boleh berpuasa pada (selepas) pertengahan bulan Sya’ban kecuali jika ianya dihubungkan dengan hari yang sebelumnya, walaupun hanya satu hari (walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya’ban sahaja) dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, iaitu jika dia tidak berpuasa dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.” (Lihat Fath al-‘Allam, 4/152- 153)

Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah  berkata: “….daripadanya (hadith-hadith) puasa dalam bulan Sya’ban ialah hadith ‘Aisyah R.Anha yang menyatakan:”Tidak aku melihat Rasulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan bulan Ramadan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya’ban”, hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadith lain dengan kata-kata: “baginda tidak berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya’ban, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban”, dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata iaitu “Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya’ban keseluruhannya kecuali sedikit.”…kemudian hadith-hadith ini tidaklah menafikan hadith yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas separuh bulan Sya’ban, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas separuh tersebut dan tidak menghubungkan puasanya (dengan berpuasa pada hari Nisfu Sya’ban). Manakala keharusan berpuasa, bahkan sunat berpuasa ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum separuh Sya’ban lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya (di mana ia berpuasa sunat pada nisfu pertama bulan Sya’ban dan berhenti setelah nisfunya tersebut), atau ia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nisfu Sya’ban, atau ia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari selepas separuh Sya’ban tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi kebiasaannya. Dan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Dawud, Imam at-Tirmizi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: “Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya’ban, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadan”, adalah jelas pada yang demikian.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, 2/82)

Syeikh Abdul Aziz menyatakan di dalam Majmu’ Fatawa wa Maqalaat Mutanawwi’ah: Hadith yang mengandungi larangan berpuasa setelah melepasi separuh bulan Sya’ban, ini juga sahih. Maksud larangan ini adalah, larangan memulakan ibadah puasa setelah pertengahan bulan syaaban. Adapun orang yang melaksanakan ibadah puasa pada kebanyakan bulan itu, atau pada bulan itu seluruhnya, maka perbuatan itu sesuai dengan Sunnah. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalaat Mutanawwi’ah, 15/384-385)

Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya Fiqh al-Islam Wa Adillatuh bahawa majoriti ulama menyatakan bahawa dibolehkan berpuasa selepas daripada 15 Sya’ban. (Lihat Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1635)

Hikmah Tidak Dibenarkan Berpuasa

Sekiranya hadith larangan berpuasa selepas pertengahan syaaban ini dipegang sahih sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama’, maka di sana terdapat hikmah mengapa tidak dibenarkan berpuasa pada waktu tersebut. Antara hikmahnya ialah supaya umat Islam menyiapkan diri mereka sebelum dalam menempuh bulan Ramadhan. Di mana pada bulan tersebut difardhukan bagi setiap orang Islam yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh dalam bulan tersebut.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa puasa selepas daripada 15 Sya’ban adalah dibenarkan kerana hadith yang melarang untuk berpuasa adalah lemah dan bercanggah dengan hadith-hadith yang lebih sahih. Lebih-lebih lagi jika seorang wanita itu ingin menggantikan puasa Ramadhannya, maka ia dituntut untuk berpuasa walaupun selepas pertengahan bulan Sya’ban. Hal ini kerana, Saidatina Aisyah R.Anha menggantikan puasa Ramadhannya pada bulan Sya’ban.

Kami juga berpendapat bahawa kepada sesiapa yang ingin berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban dibolehkan bagi orang yang selalu melakukan puasa seperti puasa sunat Isnin dan Khamis. Begitu juga, bagi sesiapa yang berpuasa pada hari cerah (أيام البيض) dan juga yang melakukan puasa Nabi Dawud AS. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ dalam masalah ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *