Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah berpaling dari sebahagian cabang agama termasuk dalam perbuatan kufur seperti dia berpaling daripada mempelajari hukum hakam fiqh dan sebagainya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”

(Surah al-A‘raf: 199)

Al-Mawardi meneyebutkan bahawa: Maka jika ditanya, bagaimana dia memerintahkan untuk berpaling sedangkan mengingkari perbuatan mereka itu adalah wajib? Dijawab: Sesungguhnya berpaling dari orang-orang bodoh adalah sebagai penghinaan terhadap mereka. Walaupun ini merupakan perintah yang ditujukan kepada Nabi-Nya, ia juga merupakan pengajaran bagi seluruh ciptaan-Nya. (Lihat al-Nukat wa al-U’yun, 2/288)

Ibn Qayyim menyatakan bahawa:  Berpaling daripada orang-orang yang jahil bermaksud Jika orang yang jahil bersikap biadab terhadapmu, janganlah kamu membalasnya dengan kebiadaban. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/291)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa, seseorang yang berpaling daripada perkara atau cabang daripada agama tidak dihukumkan sebagai kafir selagimana ia tidak berkaitan dengan isu-isu akidah. Yang demikian seperti berpaling daripada mempelajari hukum hakam fiqh atau ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengan agama dan sebagainya.

Dalam isu ini dinyatakan dalam Atayib al-Zahr Syarh Nawaqid al-Islam al- ‘Asyr, (hlm.100) bahawa: Berpaling daripada sebahagian cabang agama seperti berpaling daripada perkara yang bukan syarat untuk memasuki Islam, atau yang jika diabaikan tidak dianggap sebagai pelanggaran terhadap agama maka, ia tidak dianggap sebagai kekufuran. Contohnya, berpaling daripada mempelajari hukum-hukum warisan, hukum-hukum sunat dan amalan sukarela, serta hukum-hukum solat witir, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, seorang Muslim wajib mempelajari perkara-perkara seperti ini; kerana Allah SWT tidak disembah melainkan  dengan pengetahuan yang jelas.  Allah SWT telah mencela orang-orang yang menyembah-Nya dalam keadaan jahil sebagaimana firmannya:

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Maksudnya: “Bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”

(Surah al-Fatihah: 7)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menayatakan bahawa: Orang-orang yang dimurkai Allah adalah mereka yang mengetahui kebenaran tetapi meninggalkannya seperti kaum Yahudi dan seumpamanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 39)

Oleh yang demikian, jika seseorang meninggalkan pembelajaran, maka itu ‘bukan kekufuran‘. Contohnya, dia wajib mempelajari hukum-hukum jual beli yang sah untuk urusannya, dan dia wajib mempelajari hukum-hukum puasa yang sah untuk puasanya. Namun, kita tidak mengatakan bahawa jika dia meninggalkan ini, dia menjadi kafir, tetapi kita katakan bahawa dia  ‘meninggalkan kewajipan‘.

Justeru, dalam konteks ini, meskipun mempelajari cabang-cabang agama adalah sangat penting, seseorang yang tidak mempelajari aspek-aspek ini tidak dihukumkan sebagai kafir. Namun demikian, sebagai seorang Muslim, adalah wajib untuk mempelajari hukum-hakam tersebut, terutamanya dalam bab ibadah, kerana sesuatu amalan tidak akan diterima melainkan ia dilakukan dengan sempurna. Kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah hanya dapat dicapai dengan mendalami ilmu tersebut.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *