#697 Makan Telur Lembu

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru telah tular sebuah video yang menunjukkan seseorang memasak dan memakan telur lembu. Lalu timbul persoalan, adakah telur lembu boleh dimakan? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)

Telur lembu yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada testis atau buah zakar haiwan berkenaan. Testis lembu dimakan di banyak tempat di dunia dengan pelbagai masakan.

Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80)

Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/153)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Hattab ada menukilkan daripada al-Mudawwanah bahawa semua yang disandarkan kepada daging yang terdiri daripada lemak, hati, perut, jantung, paru-paru, limpa, ginjal, halkum, testis, kaki haiwan yang tiada daging, kepala dan seumpamanya, adalah sebagaimana hukum daging — yakni halal dimakan. (Lihat Mawahib al-Jalil, 4/349)

Walau bagaimanapun, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menukilkan bahawa ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat terdapat tujuh bahagian yang tidak boleh dimakan daripada haiwan yang halal dimakan iaitu darah yang mengalir, zakar, dua testis, qubul (faraj betina), ghuddah,[1] kantung kencing dan kantung hempedu. Perkara ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Semua tujuh bahagian ini termasuk dalam benda yang dianggap jijik oleh tabiat semula jadi manusia yang sihat. Begitu juga diriwayatkan daripada Mujahid bahawa beliau berkata:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللَّه عليه وسلَّم يَكْرَهُ منَ الشّاةِ سبعًا: الدَّمَ، والمرارَ، والذَّكرَ، والأنثيينِ، والحيا، والغدَّةِ، والـمَثانةَ

Maksudnya:Rasulullah SAW tidak menyukai tujuh bahagian daripada kambing iaitu darah, kantung hempedu, zakar, dua testis, faraj betina, ghuddah dan kantung kencing.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10/7)

Makruh di sini bermaksud makruh tahrim kerana enam bahagian (selain darah) dihimpunkan sekali bersama dengan darah dan darah hukumnya adalah haram. Namun, terdapat riwayat daripada Abu Hanifah bahawa beliau berpendapat, darah diharamkan untuk dimakan, manakala baki enam yang lain adalah makruh. Darah mengalir hukumnya adalah haram kerana ia telah sabit dengan dalil qat‘i iaitu nas al-Quran. Manakala baki enam yang lain dihukumkan sebagai makruh kerana ia telah sabit dengan dalil zanni, dan juga kerana ia termasuk dalam benda yang dianggap jijik. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2778-2779; Tabyin al-Haqa’iq, 6/226)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada membawakan riwayat al-Baihaqi ini — yakni berkenaan tujuh bahagian haiwan tersebut — lalu menyebutkan ia adalah dhaif. Kemudian, beliau menukilkan pendapat al-Khattabi yang menyebutkan, darah adalah haram untuk dimakan secara ijma‘, manakala baki bahagian lain yang disebutkan bersamanya pula adalah makruh dan bukannya haram. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/70)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Habib bahawa beliau berpendapat beratnya untuk memakan sepuluh bahagian haiwan yang halal tetapi tidak diharamkan. Di antara sepuluh bahagian tersebut ialah testis, kantung hempedu, limpa, ghuddah, urat dan lain-lain. Justeru, dapat difahami daripada kenyataan Ibn Habib, bahawa semua bahagian tersebut adalah halal tetapi makruh. (Lihat al-Taj wa al-Iklil, 4/342)

Kesimpulannya:

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa buah zakar, testis atau telur lembu atau seumpamanya daripada haiwan yang halal dimakan termasuk dalam bahagian yang halal untuk dimakan. Hal ini kerana sembelihan yang dilakukan ke atas haiwan yang halal dimakan, turut menghalalkan semua bahagian anggota haiwan tersebut dan harus untuk kita mengambil manfaat dengannya selagi mana bukan najis dan tidak memudaratkan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117)

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Dalam erti kata lain, semua bahagian-bahagian haiwan itu adalah cabang atau sebahagian daripada haiwan yang disembelih tersebut. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian-bahagian tersebut — yakni halal dimakan.

Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah makruh dan bukannya haram kerana bahagian testis haiwan dan seumpamanya termasuk dalam benda yang dianggap jijik oleh tabiat semula jadi manusia yang sihat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 17 Mac 2022 bersamaan 14 Syaaban 1443H

[1] Ghuddah ialah setiap gumpalan yang tumbuh di dalam tubuh yang diliputi oleh lemak atau setiap bahagian yang keras yang terdapat di antara urat dan tidak berada dalam perut. (Lihat Rad al-Muhtar, 6/749)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *