Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada soalan mengenai qadha’ solat, saya tertidur waktu petang dan terus solat maghrib tanpa sedar terlepas waktu. Jadi persoalan saya, adakah saya perlu menggantikan balik solat itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d;

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

إِنَّنِیۤ أَنَا ٱللَّهُ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّاۤ أَنَا۠ فَٱعۡبُدۡنِی وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِیۤ

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan selain Aku maka sembahlah Daku sahaja dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

(Surah Taha: 14)

Ayat Quran di atas ini ditafsirkan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri sebagai kewajiban untuk segera melaksanakan solat fardu yang pernah ditinggalkan apabila kembali mengingatinya.

Membayar hutang solat-solat yang pernah ditinggalkan (Qadha’ Solat) merupakan suatu kefarduan dan kewajiban hutang kepada Allah SWT yang wajib dilangsaikan. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ ﴿وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي﴾

Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa dan tertinggal solat, maka hendaklah dia melaksanakan solat tersebut sejurus sahaja mengingatinya. Tiada penebus baginya selain itu. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” [Surah Taha: 14].

Riwayat al-Bukhari (597); Muslim (684)

Imam Abu Ibrahim al-Muzani menukilkan nas Imam al-Syafi’i yang berdalilkan hadith di atas ini, Imam al-Syafi’i berkata: “Seseorang yang meninggalkan solat, hendaklah dia mengqadha’ solat tersebut pada mana-mana waktu, tiada waktu larangan untuk melaksanakan solat qadha’ berdasarkan hadith di atas ini.” (Lihat Mukhtasar al-Muzani, hlm. 113)

Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, terdapat dua pendapat di dalam mazhab al-Syafi‘iyyah berkenaan perkara di atas. Khilaf tersebut adalah seperti berikut:

  1. Solat Maghrib tersebut dikira sah sebagai solat Qadha’

Ini merupakan pendapat al-asah (الْأَصَحُّ) di dalam mazhab dan difatwakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj serta disokong oleh Imam Syamsuddin al-Ramli.

Beliau (al-Ramli) berkata: “Pendapat yang paling sahih [bahawa sah solat tunai dengan niat qadha’] apabila seseorang tersilap kerana tidak tahu keadaan sekeliling seperti mendung atau seumpama dengannya maka dia menyangka sudah keluar waktu solat maka dia meniatkannya secara qadha’, namun sebenarnya masih di dalam waktu [begitu juga sebaliknya] seperti dia menyangka masih di dalam waktu maka dia melaksanakannya dengan niat tunai, namun sebenarnya sudah keluar waktu; hal ini kerana lafaz qadha’ juga digunakan untuk niat tunai (ada’) dan begitu juga sebaliknya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/453)

Imam Sulaiman al-Jamal pula mengatakan: “Begitu juga apabila melaksanakan solat Qadha’ (dengan niat Ada’; tunai) seperti yang dapat difahami daripada konteks fatwa mereka berdua (al-Ramli al-Kabir dan al-Ramli al-Saghir).” (Lihat Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Minhaj al-Tullab, 1/334).

  1. Solat Maghrib tersebut tidak sah

Pendapat kedua ini, dalam mazhab ini merupakan pendapat Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab yang turut dinukilkan oleh Imam al-Ramli dan lain-lain ashab. Pendapat ini menghujahkan dengan hakikat perbezaan antara kedua-dua bentuk iaitu antara Qadha’ (bayar hutang) dan Ada’ (tunai):

وَالثَّانِي لَا يَصِحُّ بَلْ يُشْتَرَطَانِ لِيَتَمَيَّزَ كُلٌّ مِنْهُمَا عَنْ الْآخَرِ

“Pendapat kedua: tidak sah, bahkan disyaratkan untuk meniatkannya secara terpisah antara kedua-duanya daripada salah satunya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/453)

Oleh yang demikian, kami nyatakan bahawa Solat Maghrib yang dilaksanakan di luar waktu tersebut adalah dikira sebagai Solat Qadha’ bagi solat Maghrib yang terlepas tadi berdasarkan pendapat al-asah di dalam mazhab yang difatwakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj dan didukung oleh Imam al-Ramli dalam kitab al-Nihayah dan Syeikh Sulaiman al-Jamal. Saudara yang bertanya tidak perlu menggantikan solat tersebut, dan hanya wajib melaksanakan Solat Isyak sahaja selepas itu.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *