Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya bagaimana sekiranya penghutang membayar hutangnya pada setiap tahun? contoh: pinjam april bayar oktober, kemudian tahun depan dia pinjam lagi pada april dan bayar pada oktober dan berlarutan ke tahun berikutnya, adakah zakat diwajibkan ke atas pemiutang?  Mohon pencerahan Ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Zakat merupakan kewajiban ke atas umat Islam. Zakat membawa keberkatan harta untuk membersihkan harta daripada kotoran noda maksiat. Allah SWT berfirman:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah wahai Muhammad, daripada harta mereka yang mengaku berdosa lalu bertaubat itu, sebagai sedekah untuk membersihkan dosa mereka serta menyucikan jiwa mereka dan doakanlah kebaikan untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menenangkan hati mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata menafsirkan ayat di atas: “Allah SWT mengarahkan Nabi dan pemimpin umat Islam supaya mengambil bayaran zakat masyarakat umat Islam untuk membersihkan diri mereka daripada dosa, dan menyucikan mereka daripada sifat-sifat nifaq, agar diri mereka menggapai martabat keikhlasan yang tertinggi, serta menggandakan keberkatan harta mereka.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, 2/384)

Berhubung dengan kemusykilan di atas, kami tegaskan sebuah kaedah bahawa keadaan berhutang atau memberi hutang tidak menghalang kewajiban zakat apabila cukup haul dan nisab. Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi menegaskan prinsip ini menerusi ‘ibarat beliau:

وَلَا يَمْنَعُ الدَّيْنُ وُجُوبَهَا

Maksudnya: “Hutang itu tidak menghalang (sesiapa yang terlibat dengannya; sama ada penghutang atau pemiutang) daripada kewajiban Zakat.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 72)

Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika mensyarahkan perkataan al-Nawawi di atas menyatakan: “Hutang tidak menghalang” iaitu orang-orang yang mempunyai tanggungan (zimmah) dalam tangannya dan harta itu mencukupi nisab atau melebihinya; sama ada bayaran secara lani atau bertangguh, sama ada kepada Allah ta ‘ala atau kepada sesama manusia. [kewajiban zakat] ke atas dirinya [menurut pendapat yang paling azhar] kerana kemutlakan (keumuman) nas-nas yang mewajibkannya, dan kerana dia merupakan pemilik kepada harta yang cukup nisab tersebut dan berkelayakan untuk melaksanakan pemindahan harta tersebut sesuka hatinya.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/337)

Berdasarkan nas di atas, kami nyatakan; jelaslah bahawa ciri-ciri ini juga turut wujud dan ada pada si pemiutang atau pemberi hutang tanpa sebarang pengecualian.

Pemiutang tetap dikira mempunyai kuasa pemilikan ke atas wang yang dia berikan sebagai hutang. Hanyasahaja, wang tersebut dipinjamkan secara sementara dan wajib dipulangkan semula seperti yang dijanjikan. Pemiutang juga berhak menuntutnya pada masa yang telah disepakati bersama. Maka jelaslah di sini bahawa, wang yang diberi pinjam tersebut tetap dihukum sebagai harta hak milik pemiutang meski tidak berada di tangannya.

Apabila wang tersebut cukup syarat-syaratnya iaitu:

  1. Cukup nisab (cukup jumlah yang wajib dikenakan zakat)

Kewajiban nisab ini sabit menerusi praktikal sunnah Rasulullah SAW yang menentukan kadar tertentu untuk kewajiban zakat. Jika seseorang memiliki harta mencapai kadar ini atau melebihinya, maka barulah diwajibkan zakat ke atas dirinya. Nisab zakat harta bagi Wilayah Persekutuan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM24, 198.00; manakala bagi negeri Selangor Darul Ehsan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM24, 007.00.[1]

  1. Cukup haul (kiraan tempoh setahun)

Harta pemilikan tersebut cukup tempoh setahun dalam pemilikan, hal ini berdasarkan hadith Umm al-Mu’minin ‘A’isyah RAnha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَا زَكَاةَ فِي مَالٍ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak ada zakat bagi harta yang tidak cukup tempoh satu tahun (pemilikannya dalam tangan si empunya harta).”

Riwayat Ibn Majah (1792); dinilai sebagai sahih mauquf sebagai perkataan ‘A’isyah di sisi Imam al-Daraqutni di dalam al-Sunan (2/90); al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (4/95)

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami simpulkan bahawa pemberi hutang tetap perlu membayar zakat meskipun sesi memberi hutang atau bayar hutang ini berlaku setiap tahun; apabila cukup haul dan nisab. Hal ini kerana wang yang diberi sebagai hutang itu masih dikira dan dihukumkan sebagai hak miliknya. Maka, pengiraan haul dan nisab adalah masih terpakai ke atas hartanya. Pemiutang mestilah segera membayar zakat lebih-lebih lagi selepas menuntutnya kerana ia termasuk dalam kategori Hutang Segera.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menegaskan bahawa:

“Sekiranya pemiutang boleh mendapatkannya semula daripada penghutang yang mampu melunaskannya, dia wajib segera mengeluarkan zakatnya, sekalipun hutang itu belum diterimanya. Ini kerana hutang tersebut telah dikuasainya, sama keadaannya dengan harta wadi’ah (simpanan) yang boleh diambil daripada penghutang dan menggunakannya pada bila-bila masa.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/68)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang pembersih, dan jadikan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat Pautan: https://baitulmal.jawhar.gov.my/zkt_nharta_listyear.php

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *