Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kelebihan bumi Mesir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱدْخُلُوا۟ مِصْرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ

Maksudnya: “Masuklah ke negeri Mesir, kamu akan aman dengan izin Allah.”

 (Surah Yusuf: 99)

Al-Syaukani berkata: Yakni selamat daripada perkara yang kamu benci. Mereka berada dalam keadaan selamat kerana kedudukan Yusuf di negeri Mesir. Pendapat lain mengatakan bahawa Nabi Yusuf menjemput mereka di luar negeri Mesir sambil berdiri menunggu mereka di suatu tempat, lalu mereka datang kepadanya. (Lihat Fath al-Qadir, 3/224)

Begitu juga Mesir yang diwasiatkan oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW menerusi sabdaan baginda:

فَأَحْسِنُوا إِلَى أَهْلِهَا ، فَإِنَّ لَهُمْ ذِمَّةً وَرَحِمًا

Maksudnya: “Berbuat baiklah dengan ahlinya (Mesir), kerana mereka mempunyai perlindungan dan talian darah denganku.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim (2543), Ahmad di dalam al-Musnad (21520) menerusi hadith Abu Zarr al-Ghifari R.A

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Disebut dengan kalimah rahim dan sihr (صِهْر) iaitu keluarga dengan sebab perkahwinan. Adapun kalimah zimmah dengan maksud zimmah dengan sebab silaturrahim dan persemendaan. Dan boleh juga dengan maksud zimmah perjanjian apabila mereka masuk pada zimmah Islam zaman pemerintahan Umar. Ini kerana bumi Mesir dibuka secara Sulh bukan peperangan kecuali Iskandariah. Adapun kalimah rahim juga, boleh jadi kerana Hajar, ibu Ismail AS yang menjadi bapa kepada orang Arab di kalangan mereka yang asalnya dari bumi Mesir. Adapun kalimah sihr (صِهْر) kerana Mariyah, ibu kepada Ibrahim putera Nabi SAW berasal daripada Mesir. Inilah pendapat al-Zuhri. Dalam hadith ini menunjukkan tiga alamat kenabian didapati padanya. Antaranya pembukaan kota Mesir. Keduanya, diberikan perjanjian dan masuk padanya dalam zimmah atau jaminan. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 7/294)

Baginda berpesan agar berbaik dengan bangsa Koptik Mesir, dengan bersabda:

الله الله فِي قِبْطِ مِصْرَ؛ فَإِنَّكُمْ سَتَظْهَرُونَ عَلَيْهِمْ، وَيَكُونُونَ لَكُمْ عُدَّةً وَأَعْوَانًا فِي سَبِيلِ اللهِ

Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah dalam urusan bangsa Koptik Mesir, kalian akan menawan kota mereka, dan mereka akan menjadi pendukung dan penyiap siaga bagi kalian sebagai pembantu bersama-sama di atas jalan Allah.

Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (561) menerusi hadith Ummu Salamah

Syeikh al-Azhar Dr. Ahmad al-Tayyib berkata: Mesir yang dikhususkan oleh Allah dengan al-Azhar al-Syarif yang memelihara ilmu-ilmu al-Quran, ilmu-ilmu Sunnah, Bahasa Arab dan Kesusasteraannya, segenap khazanah turath Muslimin, sama ada naqal mahupun ‘aqal, komited menyebarkan kesemuanya sehingga kini masih lagi  menebarkan manfaatnya secara  telus dan sahih ke seluruh dunia, ia berterusan selama lebih daripada seribu tahun, dan insya-Allah, al-Azhar akan kekal sebagai menara ilmu bagi dunia Arab dan dunia Islam kesemuanya. Al-Azhar akan kekal sebagai tempat rujukan yang sejati bagi mempamerkan wajah kesederhanaan Islam dan toleransinya. Saya katakan: Sesungguhnya Mesir berhak kepada tenaga dan sumbangan daripada pihak tuan-tuan yang mulia, para pemikir dan para petinggi, dari dalam mahupun luar, demi membasmi para penyeru ke arah keganasan, budaya mengkafirkan, memecahbelahkan barisan umat Islam dan mengancam keselamatan masyarakat awam.

Sekalian warga Mesir merupakan bangsa yang paling berhak untuk hidup dalam keamanan dan kedamaian, dan menikmati kestabilan serta kemajuan. Antara hak mereka bahkan kewajiban yang mereka harus laksanakan adalah untuk memenuhi kesemuanya demi kemakmuran negara dan sekalian warganya. Hendaklah mereka menyerahkan urusan mereka kepada Allah dan melihat kepada kemaslahatan negara dan rakyat, tanpa mengendahkan atau menoleh kepada suara-suara sumbang yang dibangkitkan oleh pihak pemberontak, pengganas, tirani dan orang-orang yang sombong, pada bila-bila masa pun. Sesungguhnya, kuasa Allah adalah lebih tinggi berbanding kuasa mereka. Balasan Allah lebih dahsyat berbanding mekar tipu daya mereka. Allah lebih Besar berbanding mereka, dan Dia pasti sentiasa mendahului dan mengatasi mereka dengan urusan-Nya akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahuinya.

Bertitik tolak daripada tanggungjawab nasional yang digalas al-Azhar, khususnya di waktu ketika adanya pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di dalam mahupun luar negara yang mahu membantutkan hala tuju bangsa Mesir ini, serta memalingkan mereka daripada kehendak, aspirasi dan potensi mereka. Kami menjamin buat bangsa Mesir sekalian bahawa projek perlembagaan yang akan dirasmikan sebagai panduan rujukan, pada lusa insya-Allah merupakan sebuah perlembagaan yang digubal bersama secara kolektif oleh himpunan ulama menurut laras dan acuannya yang tersendiri.[1] Al-Azhar menjamin dan memastikan bahawa perlembagaan ini datang untuk merealisasikan impian bangsa Mesir untuk memelihara syariat Islam, prinsip-prinsip asas agama dan memelihara hak-hak dan kebebasan, menjamin keadilan dan kesamarataan. Begitu juga ia datang untuk menyahut seruan bagi memenuhi aspirasi dan cita-cita murni rakyat Mesir demi menuju kehidupan yang lebih bahagia dan stabil dengan izin Allah. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/392-393)

Kami katakan, Mesir kaya dengan sejarah dan tokoh terbilang sama ada panglimanya mahupun para ulama’nya. Tidak cukup untuk dikarang satu buku kisah ketokohan mereka di sepanjang zaman. Antara yang kami ingat, bagaimana Mesir menjadi benteng terakhir ketika kemaraan tentera Tatar yang menjatuhkan kerajaan Abbasiyyah di kota Baghdad tahun 656 Hijrah. Seterusnya mereka mara hampir ke Turki, ke Palestin, Syria tetapi Allah bangkitkan seorang tokoh yang luar biasa, Qutuz Rahimahullah yang akhirnya pertempuran yang dahsyat telah mengalahkan tentera Tatar buat kali pertama selepas kemaraan mereka serta kezaliman dan keganasan mereka.

Peperangan Ain Jalut berlaku pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260 Masihi. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang hebat di antara kerajaan Islam Mamalik Mesir dan tentera Mongol.

Kekuatan Tentera Islam Mamalik dicatatkan sekitar 20,000 sehingga 50,000 orang. Manakala tentera Mongol pula adalah sekitar 20,000 tentera. (Lihat ‘Ain Jalut bi Qiyadah al-Malik al-Muzaffar Qutuz oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 74 dan Qissah al-Tatar min al-Bidayah hatta ‘Ain Jalut oleh Dr. Raghib al-Sirjani, hlm. 245)

Tentera Mongol sangat terkenal dengan kekuatan mereka dari sudut ketenteraan. Sifat mereka yang hidup secara nomad membentuk sifat dan kekuatan fizik mereka. Proses yang alami ini menjadi satu proses latihan ketenteraan bagi pasukan Mongol. (Lihat The Mongol oleh David Morgan, hlm. 84)

Sultan Qutuz telah memainkan peranan yang penting dalam menyatukan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol termasuklah menyelesaikan isu ketamakan sebahagian daripada pembesar yang berniat untuk merampas takhta Mesir dari tangannya. Seterusnya beliau mengambil langkah selanjutnya dengan mengobarkan semangat para tentera Mamalik di Akka, Palestin yang pada awalnya menolak untuk berjihad melawan tentera Mongol. Sultan Qutuz telah memberikan pidato sebelum peperangan bermula agar seluruh tentera Islam berjuang atas nama menegakkan Islam serta memerangi kekufuran. (Lihat Mongol and Mamluks-Ilkhanid War, hlm. 39)

Akhirnya setelah berlangsungnya pertempuran yang dahsyat di sebuah kawasan bernama Ain Jalut, pasukan Mamalik yang dipimpin panglima tenteranya Baibars[2] telah berjaya meraih kemenangan yang gemilang. Tentera-tentera Islam yang telah memenangi peperangan tersebut lantas mengejar tentera Mongol. Sultan al-Muzaffar Qutuz kemudiannya telah mengirimkan berita berkenaan kemenangan yang diraih dalam pertempuran tersebut ke Damsyiq. (Lihat Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti, hlm. 556)

Kemenangan tersebut selepas pertempuran yang berlangsung selama tiga hari telah memberi tamparan yang cukup hebat kepada tentera Mongol yang sangat terkenal dengan sifatnya yang ganas dan buas. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/258-260.

Hasil kemenangan ini telah berjaya memberi pukulan maut terhadap pasukan Mongol lantas sedikit sebanyak mengekang misi perluasan dan penawanan wilayah oleh tentera Mongol.

Kemenangan tersebut juga telah menjadikan kerajaan Mamalik sebagai harapan umat Islam di sekitarnya. Kepercayaan dan taat setia oleh pemerintah-pemerintah Syria lantas diberikan terhadap pemerintah Mamalik. Kemenangan tersebut juga merupakan balasan terhadap bangsa Mongol yang telah menghancurkan Baghdad sebagai pusat pemerintahan Islam sebelumnya. (Lihat al-Sultan Saif al-Din Qutuz wa Ma’rikah ‘Ain Jalut fi ‘Ahd al-Mamalik oleh Muhammad ‘Ali al-Salabi untuk maklumat lanjut)

Dikatakan riwayat yang masyhur bahawa jumlah tentera Tartar seramai 20,000 orang yang dipimpin oleh Katija sebagai wakil dan jumlah yang terbunuh dari kalangan tentera Mongol dalam pertempuran tersebut adalah hampir semua tenteranya.

Kami akhiri dengan meminjam kata-kata Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi: “Tunjukkan kami bumi Mesir, Mesir Kinanah yang mempunyai sejarah yang luar biasa.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Nota Hujung:

[1] Sepanjang sejarah Mesir, Al-Azhar telah menjadi mercu tanda yang menonjol dalam perjuangan dan mempertahankan identiti bangsa dan Arabisme negara Mesir, seperti yang disahkan oleh Perlembagaan ke-23 dan perlembagaan berikutnya. Sebagai penerusan peranan nasionalnya, al-Azhar al-Syarif mengambil bahagian dalam jawatankuasa lima puluh anggota berkenaan dengan penggubalan perlembagaan Republik Arab Mesir pada 2014 Masihi. Al-Azhar al-Syarif memainkan peranan yang sangat penting dalam menekankan identiti negara Islam Arab Mesir, dan masa depannya yang cerah terletak pada Jalan menuju demokrasi, kewarganegaraan dan pluralisme politik.

[2] Nama lengkapnya adalah Muhammad Ruknuddin Baibars, seorang komandan perang yang tangkas dan negarawan yang cerdas. Beliau lahir di Crimea, Baibars. Dikatakan beliau telah ditawan oleh Mongol di Kipchak dan dijual sebagai hamba di Syria. Tuan beliau yang pertama ialah seorang putera dari Hama. Beliau kemudian dijual kepada seorang pegawai Mamluk dan dihantar ke Mesir dan menjadi pengawal kepada pemerintah kerajaan Ayyubiyyah, al-Salib Ayyub. (Lihat al-Suluk li Ma’rifah Duwal al-Muluk oleh al-Maqrizi dan al-Nujum al-Zahirah fi Muluk Misr wa al-Qahirah oleh Ibn Taghri)

Beliau merupakan komandan tentera Mamluk yang telah berjaya mengalahkan tentera Mongol dalam perang Ain Jalut. Beliau mempunyai pengaruh yang luas dan telah diangkat menggantikan Sultan Qutuz selepas kematiannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *