Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum membaca “وقل الحمد لله” selepas salam di akhir solat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Berzikir dan berdoa selepas Solat Fardu merupakan suatu amalan sunnah yang dituntut. Amalan ini diisyaratkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla di dalam al-Quran al-Karim menerusi firman-Nya:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ ٧ وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَٱرْغَب 

Maksudnya: “Dan apabila kamu selesai melaksanakan apa-apa sahaja urusan dunia, maka mulailah beribadah. Dan serahkan dirimu kepada Tuhanmu.”

(Surah al-Syarh: 7-8)

Ayat di atas ini merupakan dalil bagi pensyariatan berdoa serta berzikir kepada Allah SWT setiap kali setelah selesai melaksanakan solat-solat fardhu. Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan menerusi sanadnya daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa beliau menafsirkan ayat di atas sebagai: “Apabila kamu telah selesai melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas kamu; maka mintalah kepada Allah; tumpukanlah sepenuh perhatian kepada-Nya dan tunduk penuh perhatian kepada-Nya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 24/497)

Sepertimana yang kita sedia maklumi, doa-doa Nabi SAW selepas solat adalah merangkumi zikir-zikir dan lafaz-lafaz puja dan puji kepada Allah SWT sebagai sebuah adab sebelum memohon sebarang hajat permintaan kepada-Nya. Pokoknya, doa kepada Allah SWT itu seiring dengan zikir pujian ke hadrat-Nya.

Berhubung dengan soalan di atas, amalan membaca ayat al-Quran daripada Surah al-Isra’ ayat 111 selepas selesai memberi salam di akhir solat iaitu ayat Quran berikut:

وَقُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِی لَمۡ یَتَّخِذۡ وَلَدࣰا وَلَمۡ یَكُن لَّهُۥ شَرِیكࣱ فِی ٱلۡمُلۡكِ وَلَمۡ یَكُن لَّهُۥ وَلِیࣱّ مِّنَ ٱلذُّلِّۖ وَكَبِّرۡهُ تَكۡبِیرَۢا

Maksudnya: “Dan katakanlah: ‘Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sebarang sekutu dalam kerajaan-Nya; dan tidak memerlukan sebarang pelindung untuk memuliakannya. Dan besarkanlah Dia seagung-agungnya.’”

(Surah al-Isra’: 111)

Imam Abu al-Qasim al-Tabarani meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda mengenai pengamalan ini:

مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلَاتِهِ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا؛ كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلَ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ، وَمَا فِيهِنَّ، وَمَا تَحْتَهُنَّ، وَالْجِبَالِ؛ وَذَلِكَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ: تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا، فَلِهَذَا مِنَ الْأَجْرِ كَمَا عَلَى هَذَا الْكَافِرِ مِنَ الْوِزْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca selepas solatnya: ‘Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sebarang sekutu dalam kerajaan-Nya; dan tidak memerlukan sebarang pelindung untuk memuliakannya. Dan besarkanlah Dia seagung-agungnya.’ Maka, dia akan mendapat pahala sebesar tujuh petala langit dan seisinya serta segala yang ada di bawahnya, begitu juga seluruh gunung-ganang. Hal yang demikian adalah kerana Allah SWT berfirman: ‘Hampir sahaja langit-langit terpecah dan bumi terbelah dan gunung-ganang lebur kerana dakwaan mereka (orang kafir) bahawa Tuhan yang Maha Pemurah mempunyai anak.’ Maka, orang yang membaca ayat di atas dan menafikannya akan mendapat ganjaran yang berbalik sepertimana si kafir mendapat dosa menyatakannya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Du‘a’ (676)

Setakat pengamatan kami terhadap sanad hadith di atas, semua perawi di dalam sanad hadith ini adalah thiqah iaitu boleh dipercayai dan diterima hadith-hadith mereka; hanya seorang sahaja yang berstatus majhul (tidak dikenali) iaitu ‘Abd al-Samad bin Muhammad bin Ma‘dan al-Salmasyini. Biografi beliau tidak ditemui di dalam mana-mana kitab ilmu al-Rijal (perawi Hadith).

Namun, Imam al-Tabarani dalam kalangan ulama mutaqaddimin tidak memberi sebarang komentar terhadap perawi ini; sama ada pujian atau kecaman. Beliau hanya meriwayatkannya sebegitu dalam bab Bacaan Selepas Solat seakan-akan beliau menerima hadith ini untuk diamalkan.

Manakala, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam kalangan muta’akhkhirin cenderung menilai hadith ini sebagai munkar; kerana mendakwa di dalam sanadnya, 

  • Berkemungkinan besar, Muhammad bin Ishaq melakukan tadlis terhadap riwayat Muslim bin Yasar kerana meriwayatkannya dengan lafaz ‘an’anah [عَنْ].
  • Status ‘Abd al-Samad bin Muhammad bin Ma‘dan al-Salmasyini yang majhul dan tidak dapat dikenalpasti.

(Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah wa al-Maudhu‘ah, 13/694)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah untuk membaca ayat berkenaan iaitu ayat 111 daripada Surah al-Isra’ selepas selesai solat kerana tiada sebarang larangan untuk membacanya, bahkan bacaan ayat al-Quran termasuk dalam zikir-zikir. Adapun hadith berkenaan anjuran membacanya secara khusus selepas solat, dinilai sebagai dha‘if munkar oleh Syeikh al-Albani. Namun, bacaan ini merupakan ayat al-Quran yang mengandungi lafaz Tauhid serta pujaan dan pujian kepada Allah SWT. Kita memang dituntut untuk memuji Allah SWT dengan berzikir dan berdoa selepas solat. Dalam masa yang sama, kami tegaskan penganjuran untuk berzikir dengan zikir-zikir dan doa-doa yang lebih diyakini dan disepakati kesahihannya.

Amalkanlah zikir-zikir yang telah dirangkumkan sempurna dan baik oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar, Imam al-Suyuti dalam kitab Azkar al-Azkar dan kitab al-Waza’if, begitu juga Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Tanbih al-Akhyar. Zikir-zikir ini telah diperakui kesahihannya oleh para ulama ahli hadith dan fuqaha’ mazhab al-Syafi‘iyyah.

Kami juga ada menyusun sebuah buku berjudul “Inilah Doaku” yang memuatkan semua doa-doa dan zikir yang sahih daripada al-Quran dan al-Sunnah, yang boleh dijadikan panduan dan amalan seharian, khususnya untuk rujukan zikir selepas solat. Buku ini juga wujud dalam versi buku kecil/buku poket.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *