Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum Solat Sunat Qabliyyah Jumaat dan adakah ia merupakan amalan bidaah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Menunaikan Solat Sunat Rawatib sama ada qabliyyah (sebelum Solat Fardhu) atau ba‘diyyah (selepas Solat Fardhu) adalah amalan sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut dan amat digalakkan. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةٍ مِنَ السُّنَّةِ؛ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ: أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melazimi amalan Solat Sunat sebanyak 12 rakaat ini, Allah akan membinakan sebuah rumah di dalam syurga untuk dirinya. 4 rakaat sebelum Zohor, 2 rakaat selepas Zohor. 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isya’ dan 2 rakaat sebelum Subuh.”

Riwayat al-Nasa’i (1471); al-Tirmizi (414); Ibn Majah (1140); dan dinilai gharib oleh Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’ (1/439) kerana kewujudan perawi bernama Mughirah bin Ziyad. Namun hadith ini mempunyai sokongan daripada jalur yang lain.

Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi‘i memberi ulasan ketika mensyarahkan hadith di atas: “Bahawa hikmah pensyariatan solat-solat sunat ini adalah untuk menyempurnakan ibadah fardhu. Sekiranya ada sebarang kekurangan dalam melaksanakan ibadah fardhu, ibadat sunat akan menampungnya sepertimana yang diriwayatkan di dalam Sunan Abu Daud dan lain-lain. Amalan solat sunat ini juga dapat membiasakan diri beribadah sebelum melakukan solat wajib, menghadirkan keaktifan semangat untuk melakukannya, dan persediaan hati yang lebih khusyuk untuknya. Oleh yang demikian, dianjurkan untuk memulakan solat malam (qiyamullail) dengan dua rakaat solat sunat yang ringan. Apabila penulis menggandingkan solat-solat ini dengan solat berjemaah, ia terbina di atas konsep al-sabiq dan al-lahiq (qabliyyah dan ba’diyyah); semua ini bertujuan sebagai pelengkap dan penampung kepada ibadat fardhu.” (Lihat al-I‘lam fi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam, 2/396)

Berhubung dengan soalan di atas, kami nyatakan jawaban berdasarkan empat mazhab seperti berikut:

Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi menegaskan bahawa sunat untuk bersolat sebanyak 4 rakaat sebelum menunaikan Solat Jumaat. Imam Badruddin al-‘Aini memfatwakan berkenaan Solat Sunat Qabliyyah Jumaat menerusi nas beliau dalam kitab Minhah:

“Empat rakaat (solat sunat) sebelum Jumaat berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansari: “Nabi SAW bersolat pada ketika selepas tergelincirnya matahari sebanyak empat rakaat.” Aku bertanya kepada baginda: “Apakah solat yang tuan sentiasa lazimi ini?” Baginda menjawab: “Pada waktu inilah pintu-pintu langit terbuka dan aku suka supaya amalan solehku diangkat pada waktu ini.” Aku bertanya: “Adakah perlu membaca (al-Fatihah dan surah) pada setiap rakaatnya?” Baginda menjawab: “Ya.” Kemudian aku bertanya lagi: “Adakah dilaksanakan dengan satu salam atau dua salam?” Baginda menjawab: “Dengan satu salam sahaja.” Diriwayatkan oleh al-Tahawi, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah; dan kita tidak membezakan di antara Zohor dan Jumaat, kedua-duanya sama sahaja; sunat solat empat rakaat sebelum kedua-duanya.” (Lihat Minhah al-Suluk Syarh Tuhfah al-Muluk, hlm. 145)

Berdasarkan mazhab Hanafi, disunatkan Solat Sunat Qabliyyah sebelum Jumaat sebanyak 4 rakaat berdalilkan hadith Abu Ayyub al-Ansari R.A di atas. Hadith tersebut diriwayatkan secara marfu’ oleh Imam Abu Ja‘far al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (1967), Abu Daud al-Sijistani dalam al-Sunan (1270), Ibn Majah al-Qazwini dalam al-Sunan (1157); dan dinilai hasan kerana mempunyai riwayat-riwayat yang saling mendukung antara satu sama lain di sisi Imam Badruddin al- ‘Aini al-Hanafi. (Lihat Nukhab al-Afkar, 5/375).

Mazhab Maliki

Dibolehkan untuk bersolat sunat sebelum azan pertama, adapun selepas azan pertama, maka hanya dibolehkan untuk orang awam dan dimakruhkan untuk tokoh-tokoh yang dijadikan ikutan yang berada di dalam masjid. Imam al-Dardir berkata: “Dimakruhkan bersolat sunat ketika azan pertama (Jumaat), dan tidak makruh solat sebelum azan pertama bagi orang yang duduk di dalam masjid, bukan di kawasan sekitarnya yang lain, dan orang yang peribadinya dicontohi berupa alim ulama atau sultan atau imam; dan tidak makruh untuk selain mereka; untuk mengelakkan orang awam menganggap bahawa itu wajib. Dan dimakruhkan untuk bersolat sunat selepas melaksanakan Solat Jumaat melainkan setelah kebanyakkan orang telah keluar dari masjid.” (Lihat al-Syarh al-Saghir ‘ala Aqrab al-Masalik, 1/511)

Mazhab al-Syafi‘i

Mazhab al-Syafi‘iyyah mengatakan sunat untuk melaksanakan Solat Sunat Qabliyah sebelum Jumaat, sama seperti sebelum Zohor; paling kurang sebanyak dua rakaat, dan paling sempurna sebanyak empat rakaat.

Imam Muhyiddin al-Nawawi memfatwakan berkenaan Solat Sunat Qabliyyah Jumaat menerusi nas beliau di dalam kitab Majmu‘: “Disunatkan bersolat sunat sebelum (Jumaat) dan selepas (Jumaat), sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum, dan dua rakaat selepas. Yang lebih sempurna, empat rakaat sebelum dan empat rakaat selepas. Adapun dalil bagi solat sunat sebelum Jumaat adalah hadith ‘Abdullah bin Mughaffal R.A: “Antara setiap azan dan iqamah, ada solat (sunat yang perlu didirikan).” Dan ia (Solat Jumaat) juga turut diqiyaskan dengan Solat Zohor.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/9).

Mazhab al-Syafi‘iyyah menggunakan dua dalil yang muktabar berkenaan perkara ini:

  1. Dalil Hadith

Hadith yang digunakan sebagai dalil seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas adalah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mughaffal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

  بيْنَ كُلِّ أذانَيْنِ صَلاةٌ، ثَلاثًا لِمَن شاءَ

Maksudnya: “Antara setiap azan dan iqamah, ada solat (sunat yang perlu dilaksanakan); bagi sesiapa yang hendak melaksanakannya.”

 

Riwayat al-Bukhari (624) dan Muslim (838)

  1. Dalil Qiyas

Solat Jumaat diqiyaskan dengan Solat Zohor. Qiyas persamaan ini adalah muktabar dan jelas kemunasabahannya. Maka, sepertimana Solat Zohor mempunyai Solat Sunat Qabliyyah; begitu juga Solat Zohor kerana hukum-hakamnya adalah sama sahaja.

Mazhab Hanbali

Mazhab Hanbali mengatakan dianjurkan untuk bersolat empat rakaat sebelum Jumaat, namun ia hanya Solat Sunat Mutlak dan bukannya Solat Sunat Rawatib Qabliyyah. Di sisi Hanabilah, tiada solat sunat Rawatib bagi sebelum Jumaat. Imam Ibn Rajab al-Hanbali memfatwakan berkenaan Solat Sunat Qabliyyah Jumaat dalam Syarah beliau ke atas Sahih al-Bukhari:

“Para ulama berselisih pendapat tentang Solat Sunat Sebelum Jumaat; adakah ia termasuk dalam Solat Sunat Rawatib seperti Solat Sunat Qabliyyah Zohor, atau ia Solat Sunat biasa (Mutlak) yang dianjurkan (mustahabbah) seperti Solat Sunat sebelum Asar? Majoriti ulama berpegang bahawa ia (Solat Sunat Qabliyyah Jumaat) adalah solat Sunat Rawatib, antara yang berpendapat demikian adalah al-Auza‘i, al-Thauri, Abu Hanifah dan ashab beliau, dan ia merupakan zahir daripada kalam Ahmad bin Hanbal. Ia dinukilkan oleh al-Qadhi Abu Ya‘la dalam Syarh al-Mazhab dan turut dinyatakan oleh Ibn ‘Aqil, dan ia merupakan pendapat yang sahih di sisi ashab al-Syafi‘i. Manakala di sisi muta’akkhirin ashab kita (al-Hanabilah), ia hanya solat sunat biasa (mutlak) yang digalakkan sahaja (mustahabbah).” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Rajab al-Hanbali, 5/541).

Kesimpulan

Oleh itu, berdasarkan nukilan para fuqaha’ di atas, kami cenderung kepada pendapat mazhab al-Syafi‘i dan Hanafi yang menyatakan bahawa dianjurkan untuk melaksanakan Solat Sunat sebelum Jumaat, iaitu selepas Azan Pertama. Melaksanakannya sebanyak dua rakaat dibolehkan, namun melaksanakannya dengan empat rakaat adalah lebih baik dan sempurna. Solat ini dikira sebagai Solat Sunat Rawatib Qabliyyah Jumaat berdasarkan dalil Hadith dan dalil Qiyas yang digunakan oleh fuqaha kedua-dua mazhab pilihan ini. Amalan ini bukanlah amalan bidaah.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ الهُدَى والتُّقَى والعَفَافَ وَالغِنَى

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dari-Mu; petunjuk, ketakwaan, sifat menjaga diri daripada sebarang kehinaan, dan sifat tidak memerlukan selain-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *