Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya mengetahui bahawa bahagian aurat mayat antara pusat dan lutut perlu ditutup ketika memandikan mayat. Tetapi bagaimana pula dengan bahagian yang disunatkan atau digalakkan untuk menutupinya, boleh ustaz terangkan kepada kami? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, pertamanya, kami katakan, para ulama sepakat bahawa menutup aurat mayat semasa memandikannya adalah wajib; kerana kehormatan seseorang ketika mati adalah sama seperti ketika hidup.

Al-Hafiz Ibn Abd al-Bar dalam al-Tamhid (2/160) menyebutkan, sunnah bagi orang hidup dan mati adalah haram melihat aurat mereka, dan kehormatan orang beriman ketika mati adalah seperti kehormatannya ketika hidup dalam hal itu. Tidak boleh seseorang memandikan mayat melainkan dia harus menutupnya. Jika mayat dimandikan dengan pakaiannya, hal itu adalah baik. Jika auratnya ditutup tetapi dia ditanggalkan pakaiannya, kemudian ditutup dengan kain yang menutupi kepalanya dan seluruh tubuhnya hingga ke hujung kakinya, hal itu juga adalah baik. Jika tidak, sekurang-kurangnya yang perlu ditutup adalah auratnya. Ibn Sirin berkata: “Aurat mayat ditutup seperti aurat orang hidup.” Ibrahim pula berkata: “Mereka tidak suka memandikan mayat tanpa ada penghalang antara dia dan langit, melainkan jika ada penghalang/penutup di antaranya.”

Namun, mereka berbeza pendapat mengenai aurat yang wajib ditutup ketika lelaki memandikan lelaki atau wanita memandikan wanita; adakah aurat yang wajib ditutup hanya aurat besar (aurat mughallazah), atau aurat antara pusat dan lutut? Dalam hal ini, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa bahagian aurat mayat yang wajib ditutup ketika memandikannya adalah dari pusat hingga ke lutut sebagaimana pendapat jumhur ulama. Inilah pendapat yang dilihat lebih berhati-hati (ahwat) dan sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf.

Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Bahagian Badan Mayat yang Wajib Ditutup Ketika Memandikannya.

Seterusnya, berkenaan bahagian yang disunatkan untuk ditutup ketika memandikan jenazah, para fuqaha telah menaskan bahawa digalakkan untuk menambahkan bahagian yang ditutup pada mayat, selain bahagian aurat yang wajib ditutup dan dipelihara.

Al-‘Allamah Ibn Abidin al-Hanafi dalam hasyiahnya, Radd al-Muhtar (2/195) menyatakan, menutup aurat mughallazah sahaja adalah memadai iaitu menutup qubul dan dubur kerana ia adalah lebih memudahkan (proses permandian) serta tiada lagi syahwat. Secara zahirnya, ini adalah penjelasan tentang kewajipan; dalam erti kata, tidak berdosa dengan melakukannya. Namun, bukan bermakna ia memadai dengan hanya menutup bahagian itu sahaja.

Pendapat para ulama dalam hal ini, berlegar-legar pada menjaga kebersihan dan kehormatan mayat serta memastikan kesuciannya.

Sebahagian ulama salaf dan fuqaha telah menyarankan, selain menutup aurat mayat, turut digalakan (sunat) untuk menutup wajah mayat dengan kain atau seumpamanya seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Sirin, Ayyub al-Sakhtiyani, Sulaiman bin Yasar, dan Asyhab bin ‘Abd al-‘Aziz. Ini adalah sebagai tambahan untuk lebih menjaga dan memelihara mayat serta berlebih-lebihan dalam menutupinya sebagai suatu langkah menutup jalan keburukan atau mengelakkan salah sangka bagi mereka yang tidak mengetahui keadaan mayat, seperti perubahan wajah akibat penyakit, pendarahan, kekejangan otot, atau seumpamanya.

Imam ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf meriwayatkan daripada Ayyub, daripada Ibn Sirin mengenai mayat yang dimandikan, katanya:

يُوضَعُ خِرْقَةٌ عَلَى وَجْهِهِ، وَأُخْرَى عَلَى فَرْجِهِ

Maksudnya:Diletakkan kain pada wajahnya dan satu lagi pada kemaluannya.”

Riwayat ‘Abd al-Razzaq (3/401)

Imam Abu Bakr bin al-Munzir dalam al-Ausat (5/327) menyebutkan, para ulama berbeza pendapat mengenai penutupan wajah mayat ketika dimandikan. Muhammad bin Sirin, Sulaiman bin Yasar, dan Ayyub al-Sakhtiyani berpendapat bahawa kain diletakkan pada wajah mayat, manakala Malik, al-Thauri, al-Syafi‘i, dan beberapa ulama lain berpendapat bahawa kain hanya diletakkan pada kemaluan mayat, dan tidak menyebutkan untuk diletakkan kain pada wajahnya. Imam Ahmad bin Hanbal menyebutkan, bahagian yang ditutup hanya bahagian yang biasanya ditutup semasa hidupnya.

Al-Hafiz Ibn Abd al-Bar dalam al-Tamhid (1/378) menyebutkan, sesungguhnya Ibn Sirin berkata agar kain diletakkan pada wajah sebagai penutup kerana wajah mayat mungkin berubah menjadi hitam atau seumpamanya ketika kematian, disebabkan penyakit atau darah yang berlebihan. Orang yang tidak tahu mungkin tidak menyukai penampilan itu. Sesungguhnya diriwayatkan daripada Nabi SAW daripada Marasil al-Thiqat al-Say‘bi dan selainnya bahawasanya: “Sesiapa yang memandikan jenazah dan menjaga amanahnya, dia akan keluar daripada dosanya seperti pada hari ibunya melahirkannya.

Abu ‘Abdillah al-Mawwaq al-Maliki pula dalam al-Taj wa al-Iklil (3/25) menyatakan, kenyataan “menutupnya dengan pakaian”: Ibn al-Arabi menukilkan bahawa sesungguhnya diperintahkan untuk menutup wajah mayat kerana wajahnya mungkin berubah menjadi buruk akibat penyakit dan orang yang tidak mengetahui keadaannya mungkin akan menyangka dengan sangkaan yang tidak baik.

Sebahagian fuqaha berpendapat, selain menutup aurat, adalah disunatkan menutup dada mayat, seperti yang dinyatakan oleh Asyhab dan Ibn Sahnun dalam kalangan ulama Malikiyyah, terutama jika mayat itu kurus dan menderita penyakit, kerana mayat mungkin tidak menyukai jika ada orang melihatnya dalam keadaan itu semasa hidupnya; ini adalah untuk lebih menjaga maruah, kehormatan, dan pemeliharaannya.

Al-‘Allamah al-Lakhmi al-Maliki dalam al-Tabsirah (2/691) menyebutkan, Muhammad bin Sahnun berpendapat, “disunatkan untuk meletakkan kain pada dadanya.” Ini adalah lebih baik jika mayat menderita sakit yang panjang dan badannya menjadi kurus kerana berkemungkinan penampilannya yang buruk, dan mayat mungkin tidak menyukai dirinya dilihat dalam keadaan itu semasa hidupnya.

Al-‘Allamah al-Hattab al-Maliki dalam Mawahib al-Jalil (2/223) juga ada menyebutkan, dalam kitab Ibn Sahnun, disebutkan bahawa jika mayat ditanggalkan pakaiannya untuk dimandikan, hanya tukang mandi dan orang terdekatnya sahaja yang boleh melihatnya, dan auratnya mesti ditutup dengan kain. Disunatkan/digalakkan juga meletakkan kain lain pada dadanya dan wajahnya.

Al-‘Allamah al-‘Adawi al-Maliki dalam Hasyiah ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani (1/412) menyebutkan, al-Baji menukilkan daripada Asyhab bahawa wajah dan dada mayat ditutup, kerana dibimbangi ia berubah lalu menyebabkan prasangka buruk.

Selain daripada itu, sebahagian fuqaha menyarankan menutup seluruh badan dengan kain ringan, seperti mazhab al-Syafi‘i dalam pendapat mereka yang sahih, dan Imam Ahmad dalam satu riwayat, kerana dibimbangi berlaku perubahan pada badan mayat akibat penyakit atau sebab lain, yang mungkin mayat tidak menyukai sesiapapun melihat keadaannya seperti itu semasa hidupnya.

Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki dalam Ikmal al-Mu‘lim (3/397) menyatakan, para ulama menyarankan/menggalakkan agar mayat dimandikan di bawah kain, kerana tubuhnya mungkin berubah akibat penyakit, dan mayat itu mungkin tidak ingin dilihat dalam keadaan tersebut semasa hidupnya.

Imam Zarruq al-Maliki dalam Syarh ‘ala al-Risalah (1/408) turut menyebutkan, al-‘Allamah al-Maziri dan al-‘Allamah Sahnun berpendapat, digalakkan (sunat) menutup dada mayat. Ibn al-‘Arabi (menyatakan): Seluruh badannya adalah aurat, maka tidak harus ditelanjangkan. AL-Qadhi ‘Iyadh (menyatakan): Para ulama berpendapat, digalakkan (sunat) memandikan mayat di bawah kain jika tubuhnya berubah akibat penyakit, jika ia mungkin tidak menyukai dirinya dilihat dalam keadaan tersebut semasa hidupnya. Al-Imam al-Baji, daripada Asyhab turut menyarankan menutup wajah dan dada mayat. Al-‘Allamah Sahnun berpendapat, digalakkan (sunat) menutup dada mayat yang kurus, dan pendapat ini dipilih oleh al-Imam al-Lakhmi dengan syarat ini.

Syeikh Abu Ishaq al-Syirazi al-Syafi‘i dalam al-Muhazzab (1/239) menyebutkan, yang lebih utama ialah mayat dimandikan dengan memakai baju, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW dimandikan dalam keadaan memakai baju, air dituangkan di atasnya dan tubuhnya disapu/digosok dari luar bajunya. Hal ini kerana ia lebih menjaga aurat, maka ia adalah lebih baik.

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali dalam al-Mughni (2/338) menyebutkan, al-Marwazi meriwayatkan daripada Imam Ahmad, dia berkata: “Aku suka jika mayat dimandikan dengan kain yang menutup seluruh badannya, dan tangan dimasukkan di bawah kain tersebut.

Namun, sebahagian ulama Maliki berpendapat bahawa menutup seluruh badan mayat boleh menghalang pembersihan dan penyucian sepenuhnya. Al-‘Allamah al-Khirasyi dalam Syarh Mukhtasar Khalil (2/123) menyatakan, disunatkan menanggalkan pakaian yang dipakai semasa hidupnya kecuali yang menutupi auratnya. Ini adalah pandangan Imam Malik. Secara zahirnya, mayat ditanggalkan pakaiannya walaupun badannya kurus akibat penyakit dan ia bertentangan dengan pendapat al-Qadhi ‘Iyadh.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan perkara yang disunatkan untuk ditutup bersama dengan bahagian yang wajib ditutup pada mayat ketika memandikannya; ada yang berpendapat, disunatkan agar muka ditutup, ada yang berpendapat, disunatkan agar dada mayat ditutup jika dia kurus, dan ada juga yang berpendapat, disunatkan agar seluruh badan ditutup; sebagai suatu tindakan berlebih-lebihan dalam menutup dan lebih memelihara atau menjaga keadaan mayat tersebut, di samping sebagai suatu tindakan untuk menutup pintu/jalan yang membawa kepada prasangka buruk terhadapnya agar kehormatan dan maruahnya tetap terpelihara.

Sehubungan dengan itu, kami berpendapat bahawa semua penutupan selepas penutupan yang wajib iaitu bahagian aurat mayat antara pusat ke lutut adalah termasuk dalam penutupan yang digalakkan dan disunatkan, termasuklah bahagian wajah, dada bahkan seluruh tubuhnya, selagi mana ia tidak mengganggu proses permandiannya, kebersihannya dan kesempurnaan bersucinya; sebagai tanda kebaikan, penghormatan, dan penghargaan kepada mayat. Namun begitu, perkara ini tidak sepatutnya menjadi punca perselisihan dan perbalahan antara umat Islam; kerana kesatuan adalah rahmat, manakala perpecahan adalah azab. Ini juga adalah pendapat yang dikemukakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah apabila mereka turut diajukan persoalan yang hampir sama.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/14506/مايسترمنبدنالميتاثناءالغسل. Diakses pada 25 Ogos 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *