#7023: Tidak Mencampur Aduk Keimanan dengan Kezaliman

Last Updated: August 31, 2024By

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah menghadiri kelas pengajian tafsir di sebuah pondok. Ustazah yang menyampaikan itu berkongsi tentang iman yang bercampur aduk dengan kezaliman dalam Surah al-An‘am, tetapi dia tidak menjelaskan apakah kezaliman yang dimaksudkan di sini. Boleh saya dapatkan pencerahan dari pihak tuan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَحَآجَّهُۥ قَوْمُهُۥ ۚ قَالَ أَتُحَـٰٓجُّوٓنِّى فِى ٱللَّهِ وَقَدْ هَدَىٰنِ ۚ وَلَآ أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَشَآءَ رَبِّى شَيْـًۭٔا ۗ وَسِعَ رَبِّى كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا ۗ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ (٨٠) وَكَيْفَ أَخَافُ مَآ أَشْرَكْتُمْ وَلَا تَخَافُونَ أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُم بِٱللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِۦ عَلَيْكُمْ سُلْطَـٰنًۭا ۚ فَأَىُّ ٱلْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِٱلْأَمْنِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ (٨١) ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَـٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ (٨٢)

Maksudnya: “Dan dia (Nabi Ibrahim A.S) dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: ‘Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?’ (80) ‘Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?’ (81) ‘Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.’ (82)”

(Surah al-An‘am: 80-82)

Persoalan yang ditimbulkan oleh saudara adalah pada ayat 82 dari surah ini. Ia sebenarnya mengisahkan tentang Nabi Allah Ibrahim A.S yang ditentang oleh kaumnya apabila Baginda mengumumkan pegangan akidah tauhid. Semasa perdebatan dengan kaumnya ini berlaku, Nabi Ibrahim A.S membangkitkan persoalan: “Maka kumpulan mana satu yang benar? Adakah kumpulan yang menyembah sesuatu yang mampu mendatangkan kemudharatan dan juga manfaat, atau kumpulan yang menyembah sesuatu yang tidak mampu mendatangkan kemudharatan mahupun manfaat tanpa sebarang bukti? Mana satu antara keduanya yang lebih berhak mendapat keamanan dari azab Allah pada hari Kiamat?”

Kemudian Nabi Ibrahim A.S memberikan jawapan terhadap persoalan yang ditimbulkan ini sebagaimana dalam ayat 82. Ayat ini menggambarkan kesempurnaan kata-kata Baginda dalam berhujjah, dengan erti kata, orang-orang yang mendapatkan keamanan mutlak adalah mereka yang memiliki kedua sifat ini:

  • Penguasaan teori secara sempurna, seperti yang disebutkan: (ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟) iaitu orang-orang yang beriman.
  • Praktikal amali secara sempurna, sebagaimana dalam firman-Nya: (وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَـٰنَهُم بِظُلْمٍ) iaitu mereka yang tidak mencampur aduk keimanan mereka dengan kezaliman. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/262; al-Tahrir wa al-Tanwir, 7/325)

Kezaliman yang dimaksudkan di sini turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan para sahabat sehingga mereka bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَيُّنَا لَمْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ؟

Maksudnya: “Siapa sahaja antara kami yang tidak pernah menzalimi dirinya?”

Rasulullah SAW lalu menjawab sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A:

لَيْسَ كَمَا تَظُنُّونَ، إِنَّمَا هُوَ كَمَا قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ: {يَا بُنَيَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}

Maksudnya: “Kezaliman yang dimaksudkan oleh ayat ini bukanlah seperti yang kalian sangka, akan tetapi kezaliman yang dimaksudkan adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Luqman kepada anaknya:

يَا بُنَيَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

(Maksudnya: Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya syirik itu adalah benar-benar satu kezaliman yang besar) [Surah Luqman: 13].”

Riwayat al-Bukhari (6937) dan Muslim (124)

Imam al-Nawawi menukilkan dari al-Khattabi, katanya, kekeliruan para sahabat itu timbul kerana pada zahirnya “kezaliman” itu adalah melanggar hak-hak manusia, dan kezaliman yang mereka lakukan terhadap diri mereka sendiri adalah dengan melakukan maksiat. Mereka menyangka bahawa makna yang dimaksud adalah makna yang zahir. Asal kezaliman adalah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya, dan sesiapa yang menjadikan ibadah untuk selain Allah SWT, maka dia adalah orang yang paling zalim. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/143)

Kesimpulan

Kami simpulkan dari perbahasan di atas, kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat 82 Surah al-Ma’idah itu adalah “syirik,” dengan menduakan Allah SWT, dan bukanlah kezaliman itu dengan erti kata zalim yang biasa kita fahami, tetapi ia telah diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A di atas.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave A Comment