Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah siput sedut dimakan sebabnya saya lihat ia seperti boleh berada lama di daratan sehingga boleh diadakan perlumbaan dengannya; atau ia tidak halal dimakan kerana termasuk dalam jenis haiwan dua alam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah Ma’idah: 4)

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[1]

Definisi Siput Sedut

Siput sedut atau juga dikenali sebagai belitung, siput mata merah merupakan sejenis kerang-kerangan siput air tawar yang boleh dimakan dan banyak dijual di pasar, terutama pasar tani. Nama saintifiknya adalah Cerithidea obtusa dalam famili Potamididae.

Siput sedut ini berpotensi untuk ditemui di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia. Contoh kawasan yang mudah ditemui ialah di kawasan pantai Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan beberapa negeri di Perak (kawasan pantai). Contoh terbaik mudah didapati di Pantai Bagan Nakhoda Omar, Pantai Teluk Rhu, Pantai Sg Lang, Pantai Kg. Banting. Pokok bakau minyak, kurap dan api-api memainkan peranan penting untuk habitat siput sedut ini. Makhluk air payau ini memerlukan sumber alam untuk hidup. Air yang mengalir dari bumi melalui saluran sungai ke paya bakau bersama air masin laut dari pasang surut ke pantai paya bakau sangat diperlukan siput sedut.[2]

Hidupan air dan Hidupan Dua Alam

Oleh kerana persoalan di atas, berkait dengan hidupan air dan juga hidupan dua alam, maka kami jelaskannya terlebih dahulu.

Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128).

Berkenaan hidupan air ini, secara ringkasnya, menurut pendapat yang sahih, semuanya adalah halal untuk dimakan, tidak kira ia menyerupai bentuk kebiasaan ikan ataupun tidak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34).

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’ie (59)

Manakala berkenaan haiwan dua alam, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa haiwan dua alam adalah haram untuk dimakan. Haiwan dua alam yang dimaksudkan ialah haiwan yang dapat hidup secara berterusan sama ada di daratan mahupun lautan (yakni air), jika tiada baginya sebarang bandingan dengan haiwan di darat yang halal dimakan. Di antara contoh haiwan dua alam yang disebutkan oleh mereka ialah katak, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu. Pengharaman haiwan jenis dua alam ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Rafi‘i dan Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Raudhah serta pendapat yang dipegang oleh al-Ramli.

Imam al-Nawawi kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘ bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[3] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan menambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[4] maka haram bangkainya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566)

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/199; 2/230)

Memakan Siput Sedut

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, siput sedut termasuk dalam jenis haiwan yang tidak disebutkan secara jelas dalam al-Quran mahupun sunnah berkenaan kehalalan mahupun keharamannya. Di sana terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Bahkan al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir ada menjelaskan berkenaan tiga kelompok haiwan yang terkait dengan hukum halal dan haram, di mana beliau menyatakan, adapun binatang darat ada dua jenis: Jenis yang melata (hidup di tanah) dan jenis yang terbang. Perbahasan dalam bab ini mencakupi binatang halal dan haram yang terbahagi menjadi tiga bahagian. Pertama, binatang yang ketentuan halalnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran atau sunnah (hadith). Kedua, binatang yang ketentuan haramnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran  atau sunnah (hadith). Ketiga, binatang yang ketentuan halal atau haramnya tidak ditentukan oleh nas al-Quran atau sunnah. Dalam hal ini, dua ayat (iaitu ayat 4 surah al-Ma’idah dan ayat 157 surah al-A‘raf) dan hadith Nabi SAW boleh dijadikan sebagai dasar/kayu ukur  dalam menentukan kehalalan atau keharamannya.

Adapun ayat yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah al-Ma’idah: 4)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa dijadikan yang baik-baik itu sebagai halal.

Manakala ayat kedua pula adalah firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa apa yang baik-baik itu dijadikan sebagai halal, manakala apa yang buruk itu dijadikan sebagai haram. Ayat ini lebih umum daripada ayat yang pertama kerana ayat pertama hanya khusus pada penghalalan yang baik-baik, sedangkan ayat ini merangkumi penghalalan yang baik-baik dan pengharaman yang buruk-buruk. Maka Dia menjadikan yang baik itu halal dan yang buruk itu haram. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/132).

Justeru, dapat difahami bahawa standard kehalalan sesuatu makanan atau minuman itu bergantung kepada sama ada ia tayyibat (benda yang baik-baik) ataupun tidak, begitu juga sebaliknya di mana makanan atau minuman itu dikira sebagai haram disebabkan oleh khaba’ith (benda yang buruk).

Demikianlah juga Imam al-Haramain al-Juwaini turut menyebutkan, di antara usul (atau asas) yang dapat dijadikan sebagai rujukan dalam soal penghalalan dan pengharaman sesuatu ialah apa yang dianggap baik dan dianggap buruk. Imam al-Syafi‘i telah menjadikannya sebagai dasar utama dan menetapkannya berdasarkan dengan firman Allah SWT (dalam surah al-Ma’idah ayat 4 yang bermaksud): “Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’” (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 18/210)

Malah, al-Suyuti juga ada menjelaskan berkenaan haiwan yang susah untuk ditentukan statusnya; sama ada ia halal atau haram sebagaimana beliau nyatakan bahawa haiwan yang susah untuk diketahui berkenaan kehalalan atau keharamannya, ada dua pendapat. Pendapat yang kuat di antara dua pendapat itu adalah halal hukumnya seperti mana dikatakan oleh al-Rafi‘i. Manakala al-Mutawalli pula berpendapat, haiwan seperti itu adalah haram untuk dimakan. Namun, Imam al-Nawawi menyelisihi pendapat ini dengan menyatakan, pendapat yang lebih dekat (dengan kebenaran) dan selari dengan pendapat Imam al-Syafi‘i adalah halal. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 60).

Selain daripada itu, sebagaimana yang dimaklumi bahawa siput juga terbahagi kepada dua jenis; siput yang tinggal di daratan dan juga siput yang tinggal di dalam air. Menurut kami, penisbahan siput sedut ini sebagai tergolong dalam jenis haiwan/hidupan air sangat kuat. Ini kerana siput sedut biasanya ditemui di kawasan pantai barat. Bahkan terdapat fakta menyatakan bahawa air yang mengalir dari bumi melalui saluran sungai ke paya bakau bersama air masin laut dari pasang surut ke pantai paya bakau sangat diperlukan siput sedut. Sehubungan dengan itu, ia boleh digolongkan sebagai termasuk dalam jenis haiwan/hidupan air seperti yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari yang menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, dan begitu juga dengan kenyataan daripada Imam al-Syafi‘i sebagaimana yang kami sudah sebutkan sebelum ini di atas.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan penerangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak syak lagi siput sedut termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan bahawa ia memudaratkan pemakannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada keumuman dalil daripada al-Quran mahupun sunnah yang menghalalkan semua hidupan air dan bangkainya. Begitu juga ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

 الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Lebih-lebih lagi, siput sedut juga tergolong dalam jenis makanan yang baik-baik (tayyibat) dan bukannya khaba’ith kerana ia sememangnya makanan yang dimakan oleh orang ramai dan dijual di pasar tani.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 2 Mac 2022.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Siput_belitung. Diakses pada 27 Ogos 2024.

[3] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.

[4] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *