Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya melihat orang-orang kampung saya masih ada yang mempercayai bahawa Nabi Muhammad itu bukan manusia, tetapi entiti lain yang Allah SWT ciptakan menyerupai manusia sahaja, kerana itu Baginda mempunyai pelbagai kelebihan dan mukjizat. Bagaimana saya ingin memberikan kefahaman yang benar kepada mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًۭا مِّنْ أَنفُسِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri.”

(Surah Ali ‘Imran: 164)

Imam Ibn Kathir berkata, yang dimaksudkan dengan “Rasul dari kalangan mereka” adalah Rasul tersebut dari  jenis mereka (manusia) agar mereka dapat berinteraksi dengannya, bertanya kepadanya, duduk bersamanya dan memperoleh manfaat darinya.

Syeikh Muhammad Ibn ‘Atiyyah pula berkata, ia merujuk kepada jenis (manusia), bahasa dan kejiranan yang sama. Hakikat bahawa Rasul itu berasal dari jenis yang sama mewujudkan kemesraan terhadapnya dan mengurangkan perasaan keterasingan daripadanya. Manakala hakikat bahawa dia menggunakan bahasa manusia, ini menyebabkan penjelasan dapat disampaikan dengan baik dan memudahkan pemahaman. Hakikat bahawa dia dalam kejiranan yang sama dan dibesarkan di kalangan mereka menyebabkan mereka mempercayainya dan merasa tenang; kerana mereka telah mengenalinya dan mengetahui kejujuran serta amanahnya. Oleh itu, Rasulullah SAW diutuskan dalam kalangan kaum Baginda, begitu juga dengan para rasul yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/138; al-Muharrar al-Wajiz, 1/537)

Allah SWT juga berfirman dalam ayat yang lain:

لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌۭ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Taubah: 128)

Di dalam ayat ini, terdapat beberapa bentuk sifat Rasulullah SAW yang Allah SWT sebutkan, dan salah satu darinya yang menjadi topik perbincangan kita adalah: (رَسُولٌۭ مِّنْ أَنفُسِكُمْ) yakni “ Rasul dari golongan kamu sendiri.” Terdapat beberapa wajah tafsiran yang dibawakan oleh Imam Fakhruddin al-Razi, dan salah satu darinya pandangan yang menafsirkan bahawa Baginda SAW adalah manusia seperti yang lain.

Tafsiran ini dikuatkan lagi dengan hujjah menerusi firman-Nya:

أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا أَنْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰ رَجُلٍۢ مِّنْهُمْ

Maksudnya: “Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka.”

(Surah Yunus: 2)

Begitu juga sebagaimana yang ditekankan dalam firman-Nya apabila Rasulullah SAW yang melafazkan pengakuan bahawa Baginda seorang manusia:

قُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٌۭ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ ۖ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu’.”

(Surah al-Kahf: 110)

Apa yang dimaksudkan ialah jika dia berasal daripada kalangan malaikat, perkara itu akan menjadi sukar bagi manusia. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 16/177)

Tidakkah kita melihat dalil-dalil lain yang turut menyokong tafsiran ini, sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT:

قُلْ سُبْحَانَ رَبِّى هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًۭا رَّسُولًۭا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?’”

(Surah al-Isra’: 93)

Ayat ini merupakan jawapan yang Allah SWT ajarkan kepada Rasulullah SAW apabila orang-orang yang Kufur meminta kepada Baginda perkara-perkara berikut:

  • Mereka meminta Baginda SAW untuk memancarkan mata air dari bumi.
  • Tumbuhkan kebun kurma dan anggur, kemudian disalirkan sungai dari celah-celahnya yang terpancar terus-menerus.
  • Gugurkan langit berkeping-keping.
  • Wujudkan sebuah rumah terhias dari emas.
  • Mereka juga meminta Rasulullah SAW untuk naik ke langit, kemudian turunkan kepada mereka sebuah kitab yang dapat mereka membacanya.

Rasulullah SAW seraya bersabda kepada mereka: “Tidakkah aku ini melainkan seorang hamba daripada hamba-hamba-Nya dari kalangan anak-anak Adam? Maka bagaimana aku mampu melakukan perkara yang kamu minta dariku ini? Sesungguhnya yang mampu melakukannya hanyalah Penciptaku dan Pencipta kamu, dan aku hanyalah seorang Rasul yang menyampaikan kepada kamu apa yang aku telah diutuskan untuk kamu. Apa yang kamu minta dariku itu berada di tangan Allah, yang mana aku dan kamu adalah hamba-hamba-Nya, tiada siapa yang mampu melakukannya selain Allah.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/554)

Allah SWT juga menyebutkan dalam ayat seterusnya:

وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ أَن يُؤْمِنُوٓا۟ إِذْ جَآءَهُمُ ٱلْهُدَىٰٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَبَعَثَ ٱللَّهُ بَشَرًۭا رَّسُولًۭا

Maksudnya: “Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: ‘Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?’”

(Surah al-Isra’: 94)

Ayat ini sebagai peringatan akan kelembutan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Dia mengutuskan kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, supaya mereka dapat memahaminya; kerana mereka mampu berbicara dan berkomunikasi dengannya. Sekiranya Allah SWT mengutuskan kepada manusia seorang Rasul daripada kalangan malaikat, nescaya mereka tidak akan mampu berhadapan dengannya dan menerima ajarannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/111)

Masih banyak lagi bukti tentang sifat ‘kemanusiaan’ Rasulullah SAW, tetapi cukuplah sekadar ini kami kongsikan kepada saudara. Bersama dengan pencerahan ringkas ini, kami berharap agar ia dapat membantu saudara dalam membungkam kemusykilan yang melanda masyarakat kampung kediaman saudara.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *