Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mendengar sebuah pengajian tafsir di YouTube berkenaan kalimah ‘iffah di dalam al-Quran, tetapi penerangannya agak ringkas dan kurang difahami. Boleh pihak tuan jelaskan tentang kalimah ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kalimah ‘Iffah (العِفَّةُ) ini merupakan perkataan bahasa Arab yang berasal dari kata kerja (عَفَّ – يَعِفُّ – عِفَّةً – عَفًّا – عَفَافَةً), yang bermaksud meninggalkan atau menahan dari perkara yang tidak halal, tidak elok, dan tidak wajar, sama ada dalam perkataan atau perbuatan. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 213; Lisan al-Arab, 9/253)

Manakala dari sudut istilah pula, definisi kalimah ‘Iffah ini tidak mempunyai banyak perbezaan dengan sudut bahasa. Qadhi Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata, ‘Iffah adalah menjauhi perkara yang tidak halal. al-Raghib al-Asfahani pula mendefinisikannya sebagai mencapai suatu keadaan diri yang dapat menahan daripada dikuasai oleh nafsu. al-Syarif al-Jurjani pula mentakrifkannya seraya berkata, ia merupakan satu keadaan bagi kekuatan syahwat yang berada di antara fujur (فُجُورٌ) – iaitu keterlaluan dalam kekuatan ini –, dan khumud (خُمُودٌ) – iaitu kekurangan dalam kekuatan ini. Maka orang yang memiliki sifat ‘Iffah ini adalah mereka yang melaksanakan urusan mengikut syari‘at dan memelihara maruah. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 656; al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 573; al-Ta‘rifat, hlm. 151)

Difahami di sini, ‘Iffah itu sebagai satu ruh atau semangat dalaman yang menghalang seseorang itu dari dikuasai syahwat, yang berperanan menjauhkan seseorang itu dari melakukan perbuatan yang buruk – sama ada ia buruk dari sudut adat mahupun syara‘ –, lalu mendorongnya untuk bersabar dan memelihara kesucian maruah dari syahwat duniawi. Dalam bahasa yang lebih mudah, ‘Iffah (العِفَّةُ) kebiasaannya diterjemahkan sebagai menjaga maruah. Beginilah yang biasa disebutkan oleh para fuqaha’ dalam menyifatkan seseorang wanita itu sebagai ‘afifah (العَفِيفَةُ) yakni memelihara maruah diri.

Kalimah ‘Iffah (العِفَّةُ) warid dalam beberapa tempat di dalam al-Quran dengan bentuk yang berbeza; sama ada dalam bentuk kata kerja atau dalam bentuk kata terbitan. Penggunaan ‘Iffah atau memelihara maruah ini juga bukan sahaja dari perkara-perkara yang haram sahaja, bahkan ia turut digunakan pada konteks memelihara maruah dalam perkara-perkara yang harus.

‘Iffah (العِفَّةُ) atau Memelihara Maruah dalam Perkara Harus

Antaranya sebagaimana dalam firman Allah SWT:

لِلْفُقَرَآءِ ٱلَّذِينَ أُحْصِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًۭا فِى ٱلْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ ٱلْجَاهِلُ أَغْنِيَآءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَـٰهُمْ لَا يَسْـَٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلْحَافًۭا ۗ

Maksudnya: “(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.”

(Surah al-Baqarah: 273)

Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur berkata dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (3/75), al-ta‘affuf (التَّعَفُّفُ) itu bermaksud susah payah menjaga kehormatan, iaitu menjauhkan diri daripada perkara yang tidak sesuai. Telah warid dalam sebuah hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

أَنَّ أُنَاسًا مِنَ الأَنْصَارِ سَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَعْطَاهُمْ، ثُمَّ سَأَلُوهُ، فَأَعْطَاهُمْ، ثُمَّ سَأَلُوهُ، فَأَعْطَاهُمْ حَتَّى نَفِدَ مَا عِنْدَهُ، فَقَالَ: مَا يَكُونُ عِنْدِي مِنْ خَيْ رٍ فَلَنْ أَدَّخِرَهُ عَنْكُمْ، وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ، وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ، وَمَا أُعْطِيَ أَحَدٌ عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ

Maksudnya: “Sekumpulan kaum Ansar meminta sesuatu daripada Rasulullah SAW, lalu Baginda memberikannya kepada mereka. Kemudian mereka meminta lagi kepada Baginda, maka Baginda SAW memberi kepada mereka. Kemudian mereka meminta lagi kepada Baginda, maka Baginda SAW memberikannya lagi kepada mereka.  Sehinggalah tidak ada lagi yang berbaki pada Baginda, lalu Baginda SAW bersabda: ‘Harta apapun yang ada padaku, tidak akan aku simpan daripada kamu. Barangsiapa yang bersabar menahan dirinya untuk tidak meminta-minta, maka Allah akan menjaganya; dan barangsiapa yang meminta kecukupan maka Allah akan mencukupkannya dan barangsiapa yang melatih diri untuk bersabar maka Allah akan mengurniakannya kesabaran. Dan tidak ada pemberian yang lebih baik dan lebih luas diberikan kepada seseorang melebihi kesabaran’.”

Riwayat al-Bukhari (1469) dan Muslim (1053)

Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Nisa:

وَمَن كَانَ غَنِيًّۭا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ

Maksudnya: “Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya).”

(Surah al-Nisa’: 6)

Disebutkan ista‘affa (اسْتَعَفَّ) dengan maksud menahan diri, yakni diperintahkan agar orang kaya yang menjaga harta anak yatim itu menahan diri dari mengambil harta anak yatim. Dalam pada itu, Allah SWT juga mengharuskan penjaga harta anak yatim itu untuk makan harta anak yatim tersebut dengan cara yang baik. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 2/11)

‘Iffah (العِفَّةُ) atau Memelihara Maruah dari Perkara Haram

Allah SWT berfirman di dalam kitab-Nya:

وَلْيَسْتَعْفِفِ ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya”

(Surah al-Nur: 33)

Ini adalah perintah Allah SWT buat mereka yang tidak menemukan jalan untuk berkahwin, agar menjaga kehormatan diri mereka daripada melakukan perkara haram. Dinukilkan pula tafsir ‘Ikrimah terhadap ayat ini, ia adalah keadaan di mana seorang lelaki melihat seorang wanita dan merasa seolah-olah dia menginginkannya. Jika dia memiliki isteri, hendaklah dia pergi kepada istrinya dan melunaskan hajatnya dengan si isteri. Jika dia tidak memiliki isteri, hendaklah dia merenung keagungan langit dan bumi sehingga Allah memberikannya kecukupan.

Imam al-Baghawi pula berkata, mereka yang tidak menemukan apa yang diperlukan untuk berkahwin seperti mahar dan nafkah, hendaklah memelihara kesucian diri dari perbuatan haram dan zina. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/48; Ma‘alim al-Tanzil, 6/40)

Apabila kita merenung semula kesemua ayat-ayat di atas, kita akan dapati bahawa syara‘ tidak menggunakan kalimah ‘Iffah (العِفَّةُ) melainkan pasti akan disulami dengan tuntutan agar memelihara maruah diri. Kalimah ini digunakan dalam bentuk kata kerja yang didahului dengan Lam al-Amr (لَامُ الأَمْرِ)[1], sebagaimana firman-Nya: (وَلْيَسْتَعْفِفْ) dan (فَلْيَسْتَعْفِفْ), yang mana ia membawa maksud tuntutan.

Dalam perkara-perkara yang harus pula, Allah SWT memuji hamba-hamba-Nya yang bersifat al-ta‘affuf (التَّعَفُّفُ) atau menahan diri dan maruah. Sepertimana yang disebutkan dalam ayat 173 dari Surah al-Baqarah, mereka ini adalah sekumpulan manusia yang lebih utama untuk dibantu dan menerima sebarang bantuan. Disebutkan beberapa sifat sekumpulan manusia ini, antaranya adalah menahan diri daripada meminta-minta. Berdasarkan hadith Abu Sa‘id al-Khudri yang telah kami bawakan di atas, Imam al-Nawawi menerangkan hikmah di sebaliknya seraya berkata: “Dalam hadis ini terdapat galakan untuk memelihara kesucian diri (التَّعَفُّفُ), bersikap qana‘ah (merasa cukup), dan menerima dengan rela apa yang tersedia dengan cara yang halal, meskipun sedikit.”

Kesimpulan

Secara ringkasnya, ‘Iffah (العِفَّةُ) yang dimaksudkan dengan konteks penggunaannya dalam al-Quran merujuk kepada suatu keperibadian seseorang yang memelihara dirinya, dan menjaga maruah dirinya. Ia merupakan satu sikap terpuji yang wajar ada dalam diri setiap mukmin. Saudara boleh merujuk perincian berkenaan kalimah ini dengan mana-mana pakar al-Quran dan tafsirnya, kerana mereka lebih berkeahlian dan berkepakaran dalam perbahasan ini.

Semoga saudara dapat memperoleh manfaat dari perbahasan ringkas ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Huruf Lam (لــ) yang berada di awal fi‘il mudhari‘ (فِعْلُ الْمُضَارِعِ) atau kata kerja, dan ia menunjukkan perintah. Ia juga juga akan menyebabkan akhir kata kerja itu bertanda sukun (ــْـ).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *