Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah berhijrah dan menetap di sebuah negara bukan Islam untuk tujuan bekerja, dan anak-anak saya membesar di sini sehingga mencapai umur dewasa. Saya sentiasa memastikan mereka mendapat pengajian agama yang sepatutnya agar tidak terikut-ikut dengan perkara yang tidak baik. Akan tetapi, perkara yang amat menyedihkan telah berlaku apabila saya dimaklumkan tentang keluarnya seorang anak saya dari Islam. Adakah saya memikul dosa kerana memilih untuk menetap di negara ini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertama sekali, isu menetap di negara bukan Islam ini telah disebutkan oleh ulama terdahulu, bahkan telah warid sebuah hadith yang secara zahirnya melarang perbuatan tersebut. Daripada Jarir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَا بَرِيءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ يُقِيمُ بَيْنَ أَظْهُرِ الْمُشْرِكِينَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلِمَ؟ قَالَ: لاَ تَرَايَا نَارَاهُمَا
Maksudnya: “Aku berlepas diri daripada setiap Muslim yang tinggal dalam kalangan orang Musyrikin. Para sahabat bertanyakan sebabnya, lalu Baginda menjawab: ‘Mereka (Muslim dan Musyrikin) tidak sepatutnya melihat api satu sama lain (kiasan akan berdekatannya rumah satu sama lain)’.”
Riwayat al-Tirmizi (1604) dan Abu Daud (2645)
Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, maksud hadith ini ialah Rasulullah SAW berlepas diri, atau tidak akan bertanggungjawab terhadap mereka yang tidak berhijrah ke negara Islam dalam keadaan mereka tidak aman dari sudut agama mereka. Imam Ibn al-‘Arabi juga menyatakan pandangan yang sama, di mana hukumnya adalah fardhu ‘ain untuk berhijrah bagi mereka yang tidak merasa selamat ke atas diri mereka sendiri ketika tinggal di dar al-harb. (Lihat Fath al-Bari, 6/39)
Memahami kalam Ibn Hajar ini, mereka yang yakin akan selamatnya agama dan mampu untuk memelihara agama dengan baik, maka mereka ini tidaklah dilarang dari berhijrah ke negara bukan Islam. Imam Syihabuddin al-Ramli menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat untuk berhijrah, dan bukannya wajib bagi seorang yang tinggal di negara bukan Islam sekiranya dia mampu menzahirkan agamanya, dan tidak haram ke atasnya untuk terus tinggal di negara tersebut.
Imam Ibn Hajar al-Haithami pula menegaskan bahawa hadith berlepas dirinya Rasulullah SAW daripada Muslim yang tinggal dalam kalangan kafir merujuk kepada mereka yang tidak selamat agama mereka daripada diancam oleh golongan kafir. Adapun bagi yang aman daripada fitnah, tidak diharamkan, bahkan wajib bagi mereka tetap tinggal di situ jika ia memberi maslahah kepada umat Islam. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/82; al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlm. 204)
Benar, kehidupan di negara bukan Islam sudah pasti akan terdedah kepada pelbagai bahaya dari aspek agama; kerana banyaknya fitnah dan godaan. Sekiranya orang dewasa sendiri merasa kesukaran dalam menghadapi situasi begini, maka sudah pasti anak-anak keturunan juga akan turut sama menghadapinya. Oleh kerana perundangan di negara bukan Islam seolah-olah mengehadkan kuasa ibu bapa ke atas anak-anak mereka, maka dikhuatiri jika berlaku sebarang isu besar seperti kes murtad begini, ibu bapa tidak dapat menghalang atau menegur anak-anak lagi. Ini menjadi asbab pentingnya didikan agama kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Allah SWT berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”
(Surah al-Tahrim: 6)
Qatadah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa, hendaklah kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah SWT dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah SWT dan membantu mereka untuk menjalankan perintah tersebut. Jika kamu melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT, maka halang dan cegahlah mereka daripadanya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/522)
Berbalik kepada persoalan utama yang saudara ajukan, sama ada memikul dosa atas perbuatan anak tersebut untuk memilih jalan selain agama Islam, maka ia berbalik kepada kebertanggungjawaban saudara dalam mempraktikkan perintah Allah SWT pada Surah al-Tahrim di atas, dan juga bagaimana keyakinan saudara semasa berpindah ke negara bukan Islam tersebut. Sekiranya ibu bapa telah berusaha memberikan didikan agama yang sebaiknya kepada anak-anak, dan mereka juga yakin bahawa agama Islam dapat bebas diamalkan tanpa sebarang halangan serta selamat dari penyelewengan agama, maka ketika itu ibu bapa tidak lagi dipersoalkan tentang anak mereka yang telah dewasa dan mendapat pendidikan yang cukup apabila dibangkitkan pada hari akhirat kelak.
Allah SWT telah berfirman:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌۭ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).”
(Surah al-An‘am: 164)
Imam Ibn Kathir berkata, ini adalah pengkhabaran tentang realiti yang akan berlaku pada hari Kiamat mengenai balasan Allah SWT, penghakiman dan keadilan-Nya. Setiap jiwa itu hanya akan dibalas berdasarkan amal perbuatannya. Jika baik, maka balasannya baik, dan jika buruk, maka balasannya buruk. Tidak ada satu kesalahan pun yang akan dipikul oleh orang lain. Beginilah keadilan Allah SWT, sebagaimana yang akan disebutkan kemudian dalam ayat 18 dari Surah Fatir. Tidak akan ada seorang pun yang dizalimi dengan hukum Allah, dan ini jelas dalam firman-Nya:
مُؤْمِنٌۭ فَلَا يَخَافُ ظُلْمًۭا وَلَا هَضْمًۭا
Maksudnya: “Maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya.”
(Surah Taha: 112)
Ilmuwan tafsir menyebutkan, seseorang tidak akan dizalimi dengan memikul dosa orang lain, dan tidak akan dizalimi dengan mengurangkan pahala kebaikannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/345)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌۭ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَىْءٌۭ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰٓ ۗ
Maksudnya: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.”
(Surah Fatir: 18)
Jelas dalam ayat ini, meskipun kita cuba memanggil orang lain untuk turut sama memikul bebanan kita dari kesalahan, ia tidak akan dapat sama dipikul meskipun orang yang dipanggil tersebut dari kalangan kaum kerabat sendiri, meskipun mereka itu bapa atau anak-anak kita. Setiap individu itu akan disibukkan dengan diri mereka dan juga urusan mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/479)
Berbeza pula keadaannya sekiranya perpindahan ke negara bukan Islam itu dalam keadaan yakin akan kesukaran mengamalkan Islam di sana, begitu juga sedikitnya komuniti Islam sehingga menyukarkan ahli keluarga kita memperoleh didikan agama. Ketika itu, bapa akan dipertanggungjawabkan atas keputusan yang dilakukan untuk berhijrah keluar dari negara Islam; kerana perbuatan tersebut telah menyalahi larangan yang kami bawakan di atas. Lebih menggusarkan lagi apabila ibu bapa tidak memberikan didikan agama kepada anak-anak sehingga mereka terkesan dengan pemikiran sekularisme dan mendorong mereka untuk meninggalkan akidah tauhid. Rasulullah SAW bersabda dalam hadith Ma‘qal bin Yassar R.A:
مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللهُ رَعِيَّةً، فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيحَةٍ، لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Tidak ada mana-mana hamba yang diberikan amanah oleh Allah untuk memimpin orang di bawahnya, lalu dia tidak memeliharanya dengan penuh tanggungjawab, melainkan dia tidak akan mencium bau Syurga.”
Riwayat al-Bukhari (7150) dan Muslim (142)
Dalam sebuah riwayat lain daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ سَائِلٌ كُلَّ رَاعٍ عَمَّا اسْتَرْعَاهُ، أَحَفِظَ ذَلِكَ أَمْ ضَيَّعَ؟ حَتَّى يَسْأَلَ الرَّجُلَ عَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan menyoal setiap pemimpin terhadap apa yang mereka telah diamanahkan, adakah mereka menjaganya atau membiarkannya? Sehinggakan seorang lelaki itu akan ditanya tentang ahli keluarganya.”
Riwayat Ibn Hibban (5103). Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan di dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (1/365)
Apabila berlaku perkara yang tidak diingini seperti tergelincirnya salah seorang ahli keluarga dari landasan Islam yang benar, bapa perlu bertanggungjawab dengan menasihati dan memujuknya untuk kembali bertaubat serta mentauhidkan Allah yang Maha Esa.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, kami memperincikan masalah ini kepada dua keadaan:
- Jika penghijrahan ke negara bukan Islam kerana adanya hajat keperluan, dalam keadaan diyakini bahawa agama Islam dapat diamalkan dengan aman, dan adanya kemudahan untuk akses kepada komuniti Islam serta pengajian agama, maka penghijrahan itu diharuskan dan bapa tidak dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan si anak itu. Hal ini kerana, pengajian agama telah diberikan sedari kecil lagi, manakala kegelinciran itu pula berlaku pada usia dewasa.
- Jika penghijrahan ke negara bukan Islam itu tanpa hajat keperluan, dalam keadaan diyakini bahawa agama Islam sukdar untuk diamalkan dengan aman, dan tidak ada kemudahan untuk akses kepada komuniti Islam serta pengajian agama, maka penghijrahan itu diharamkan dan bapa akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan si anak itu. Hal ini kerana, bapa bertanggungjawab melindungi anaknya dari sebarang unsur kesesatan akidah, begitu juga menyediakan pengajian agama yang baik.
Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan kepada saudara. Semoga kita beroleh manfaat dan seterusnya beramal sesuai dengan ketetapan syara‘. Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Wallahu a‘lam
Mufti, bagaimana mahu copy pencerahan daripada mufti? Saya rak jumpa button copy, cuma button share link untuk download app ini sahaja. Share text tak ada.