#708 Lupa Bilangan Hari Puasa Yang Ditinggalkan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah cara untuk tentukan bilangan puasa ramadhan yang perlu diqadha’kan jika terlupa bilangan puasa yang ditinggalkan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Manakala orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah keluarga si mati. Hal Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya:Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)

Manakala, orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib baginya untuk bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa. Hal ini berdasarkan riwayat, daripada Ata’ yang mendengar Ibn Abbas R.Anhuma membaca al-Quran:

وَعَلَى الَّذِيْنَ يُطِيْقُوْنَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِيْنٍۗ

Maksudnya: Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Ibn Abbas berkata:

لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيخُ الْكَبِيرُ، وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ، لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya:Ayat tersebut tidak dimansukhkan. Ia ditujukan kepada lelaki dan perempuan yang sangat tua dan tidak terdaya berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan seorang miskin sebanyak hari dia tidak berpuasa.

Riwayat al-Bukhari (4235)

Begitu juga kepada orang sakit yang tiada harapan sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari dia tidak berpuasa, sebagaimana orang tua tidak berdaya berpuasa. Manakala perempuan yang mengandung dan menyusui bayi berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya, Jika dia berbuka, dia wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya:Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Dawud (2408)

Sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib mengqadha’nya (menggantikannya) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadha’nya”

Riwayat Abu Dawud (2380), al-Tirmizi (720), al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (3130), Ibn Majah (1676), dan Ahmad (10463)

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagi lah (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/200)

Qadha puasa wajib dilakukan jika meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini berdasarkan perbuatan Aisyah yang diriwayatkan oleh Abu Salamah. Kata beliau :

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلاَّ فِي شَعْبَانَ ، الشُّغْلُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: ”Pernah ada puasa daripada bulan Ramadhan yang sepatutnya aku ganti. Aku tidak mampu untuk menqadha’nya kecuali pada bulan Sya’ban. Juga daripada (bersama) dengan Rasulullah SAW.”

Riwayat Muslim (2657)

Lupa Bilangan Puasa Yang Perlu Digantikan

Para ulama membahagikan kaedah penentuan bilangan hari untuk puasa qadha’ kepada dua iaitu tahdidi dan taqribi. Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi ialah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan kerana seseorang itu lupa berapa hari puasa yang telah dia tinggalkan.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menyatakan:

إذا كَثرَت الْفوائتُ عليهِ يتشاغلُ بالقضَاء فَإِنْ لَمْ يَعْلَمْ قَدْرَ مَا عَلَيْهِ فَإِنَّهُ يُعِيدُ حَتَّى يَتَيَقَّنَ بَرَاءَةَ ذِمَّتِهِ

Maksudnya: “Apabila tanggungan ibadahnya yang sangat banyak, dia wajib terus-menerus melakukan qada’. Jika dia tidak tahu berapa jumlah hari yang menjadi kewajipan puasanya, maka dia wajib mengulang-ulang qada’ puasa sampai dia yakin telah menggugurkan seluruh tanggungannya.” (Lihat al-Mughni, 1/439)

Ibn Qudamah menukilkan kata-kata Imam Ahmad dalam satu riwayat yang salih, berkenaan seseroang yang meninggalkan solat dan lupa berapa banyak yang ditinggalkannya:

يُعِيدُ حَتَّى لَا يَشُكَّ أَنَّهُ قَدْ جَاءَ بِمَا قَدْ ضَيَّعَ وَيَقْتَصِرُ عَلَى قَضَاءِ الْفَرَائِضِ

Maksudnya: “Dia hendaklah ulang-ulang sampai dia tidak meragui lagi bahawa dia telah melakukan apa yang telah dia lalaikan. Dia hanya melakukan yang wajib sahaja.”

Guru kami, Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti menjelaskan kaedah penentuan secara taqribi ini ialah dengan bertanya kepada seseorang itu seperti ini:

“Adakah telah tinggalkan 50 hari?” “Terlalu sedikit”

“90 hari?” “Terlalu banyak”

Maka jumlah taqribinya ialah 75 hari. Berkenaan dengan fidyah, hendaklah seseorang itu berusaha mengqadha’kan puasanya setiap hari yang mungkin terlebih dahulu. Ini lebih bersifat ihtiyati (berhati-hati) dalam urusan agama berbanding terus membenarkan membayar fidyah sehingga mengabaikan tuntutan qadha’.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan perlu digantikan dengan bilangan yang tepat. Namun sekiranya dia terlupa bilangan hari puasa yang dia tinggalkan, maka hendaklah dia anggarkan secara taqribi berapa bilangan hari puasa yang ditinggalkan.

Semoga usaha kita untuk mengqada puasa-puasa yang lalu menjadi muhabasah kita untuk meraih kebaikan yang lebih besar daripada Allah SWT pada masa akan datang.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 22 Mac 2022 bersamaan 19 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *