Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum beramal dengan doa Haikal Tujuh?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Doa Haikal Tujuh atau juga diterjemahkan sebagai “Tujuh Sendi Perlindungan,” berdasarkan kepada apa yang kami lihat, ia merupakan himpunan beberapa ayat al-Quran yang kemudiannya dibahagikan kepada tujuh kumpulan doa. Doa ini dihimpunkan di dalam sebuah buku yang bertajuk Majmu‘ Syarif. Antara ayat-ayat yang terkandung dalam doa tersebut adalah:

  • Haikal (1): Ayat 255 dari Surah al-Baqarah, atau masyhur dengan nama Ayat Kursi.
  • Haikal (2): Ayat 35 dari Surah Ali ‘Imran, dan ayat 77 hingga 80 dari Surah al-Isra’.
  • Haikal (3): Ayat 285 hingga 286 dari surah al-Baqarah.
  • Haikal (4): Ayat 81 hingga 85 dari Surah al-Isra’.
  • Haikal (5): Ayat 4 hingga 6 dari Surah Maryam, dan ayat 27 dari Surah al-Fath.
  • Haikal (6): Ayat 1 hingga 4 dari Surah al-Jinn.
  • Haikal (7): Ayat 51 hingga 52 dari Surah al-Qalam.

Doa-doa ini pada asalnya disebutkan oleh Syeikh Taqiyuddin Ibrahim bin ‘Ali bin al-Hasan bin Muhammad bin Soleh al-‘Amili al-Kaf‘ami, salah seorang ulama Syiah yang lahir pada tahun 840H dan meninggal pada tahun 870H. (Lihat A‘yan al-Syi‘ah oleh al-Sayyid Muhsin al-Amin, 2/184)

Susunan ayat dan doa menurut al-Kaf‘ami agak berbeza sedikit berbanding susunan yang masyhur dalam masyarakat kita. Beliau menyusun ayat-ayat itu seperti berikut:

  • Haikal (1): Ayat 111 dari Surah al-Isra’, ayat 3 dan ayat 7 dari Surah al-Talaq.
  • Haikal (2): Ayat 4 hingga 8 dari Surah Taha, ayat 1 Surah al-Ikhlas, dan ayat 26 hingga 27 dari Surah Ali ‘Imran.
  • Haikal (3): Ayat 255 dari Surah al-Baqarah, atau masyhur dengan nama Ayat Kursi.
  • Haikal (4): Ayat 11 dari Surah Fussilat, ayat 115 dari Surah al-Mukminun, dan ayat 50 hingga 51 dari Surah al-Isra’.
  • Haikal (5): Ayat 143 dari Surah al-A‘raf, dan ayat 30 dari Surah Fussilat.
  • Haikal (6): Ayat 4 hingga 6 dari Surah al-Hadid.
  • Haikal (7): Ayat 22 hingga 24 dari Surah al-Hasyr, ayat 35 dari Surah al-Nur, dan ayat 54 hingga 56 dari Surah al-A‘raf.

Sesiapa sahaja yang meneliti susunan doa oleh al-Kaf‘ami ini, mereka akan mendapati adanya penambahan doa-doa yang diselangi antara ayat-ayat al-Quran di atas.

Al-Kaf‘ami juga turut menggariskan beberapa fadhilat atau kelebihan doa Haikal Tujuh ini, sebagaimana katanya: “Haikal Tujuh ini sangat besar peranannya, agung kedudukannya. Sesiapa yang membawanya atau memilikinya di rumahnya, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT dan penjagaannya. Jika dia sakit, dia akan sembuh. Jika dipenjarakan, dia akan dibebaskan. Jika dalam kesusahan, Allah akan melapangkan kesusahannya. Jika berhutang, Allah SWT akan melunaskan hutangnya. Jika diletakkan pada orang yang mengalami sawan, dia akan pulih, atau pada wanita yang hendak melahirkan, dia akan melahirkan dengan cepat. Sesiapa yang membawanya dan bermusafir, dia akan selamat dan berjaya. Jika dia berhasrat untuk berkahwin, Allah akan mempermudah urusannya dan memberinya anak serta keberkatan. Jika dia membawanya dan menemui seorang pemerintah, dia akan selamat dari kejahatannya dan keperluannya akan dipenuhi dengan izin Allah SWT.” (Lihat al-Misbah, hlm. 224)

Pengarang Majmu‘ Syarif juga ada menyebutkan berkenaan fadhilat doa Haikal Tujuh ini. Dikatakan bahawa ada sebuah riwayat daripada Rasulullah SAW, pada suatu hari ketika Baginda sedang duduk di dalam al-Masjid al-Nabawi, maka Malaikat Jibril A.S pun datang membawa perkhabaran. Ujarnya: “Wahai Rasulullah, ucapan salam dari Allah SWT pada tuan hamba dan firman-Nya: ‘Hai kekasihku, adapun doa Haikal (7 doa ini) dihantarkan pada kamu’.” Kemudian, disebutkan beberapa kelebihan doa ini seperti berikut:

  • Maka sesiapa yang tidak percaya akan doa ini, dia telah kafir.
  • Sesiapa yang membacanya atau menyimpannya, maka Allah SWT melepaskan dia dan ibu bapanya daripada api neraka.
  • Sesiapa menyimpan doa ini di dalam rumahnya, maka jin dan syaitan tidak boleh masuk ke dalam rumahnya itu.
  • Sesiapa yang menyalin doa ini pada kertas, lalu dipakai dan diperbuat tangkal, nescaya dia akan terlepas daripada azab sengsara dan wabak, serta hidup dalam keamanan.
  • Sesiapa yang menyimpan doa ini, dia akan sentiasa dihormati orang dan dimuliakan oleh orang ramai.
  • Sesiapa yang mengamalkan doa ini tiap-tiap hari:
    • Maka dia tidak akan merasai azab sakaratul maut, dan nyawa dia akan keluar dengan mudah.
    • Jika dia tidak boleh membacanya, boleh diperbuat menjadi azimat, nescaya beroleh pahala umpama membaca 70000 kali khatam al-Quran, 70000 mati syahid, 70000 kali naik haji, mendapat ganjaran kebajikan seumpama mendirikan 70000 masjid, umpama memerdekakan 70000 hamba, umpama menjamu 70000 orang berbuka puasa, mendapat pahala 70000 orang penghafal al-Quran, beroleh ganjaran kemenangan 70000 orang perang syahid, beroleh pahala 70000 ahli ilmu, beroleh pahala 70000 ahli ibadah, beroleh pahala 70000 malaikat, beroleh pahala 70000 orang yang berakal, beroleh pahala 70000 nabi, beroleh kekayaan dan kebesaran Jibril, Mikail, Israfil, Izra’il – atas mereka semua kesejahteraan –.
    • Sesiapa yang menyimpan doa ini, maka dengan berkatnya:
    • Terlepaslah dia daripada segala orang yang membuat fitnah.
    • Terlepaslah dia daripada sekalian bala.
    • Jika dia berhutang, nescaya terlepaslah dia daripada hutangnya itu.
    • Semua musuhnya pun binasa.

Pengarang kitab ini kemudiannya berkata: “Adapun khasiat doa Haikal ini terlalu banyak, kadar diambil ringkasnya sahaja di sini. Sesungguhnya tiadalah syak lagi barang siapa tiada percaya doa ini, nescaya menjadi Kafir. Na‘uzubillah min su’ al-i‘tiqad (Kami berlindung dengan Allah dari kepercayaan yang buruk).” (Lihat Majmu‘ Syarif, cetakan Maktabah wa Matbaah Darul Maarif, hlm. 172-181)

Isu Berkenaan Kelebihan Doa Haikal Tujuh

Dalam menjawab persoalan saudara berkenaan doa ini, kita dapat melihat sedikit keganjilan apabila dihukumkan mereka yang tidak mempercayai doa ini sebagai Kafir. Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebutkan di dalam al-Fiyyah beliau berkenaan sifat-sifat hadith palsu:

وَمَا بِهِ وَعُدٌ عَظِيمٌ أَوْ وَعِيدُ            عَلَى حَقِيرٍ وَصَغِيرَةٍ شَدِيدُ

“Dan apa yang padanya janji kebaikan atau janji keburukan yang amat besar,

atas perkara remeh dan amat kecil.”

Syeikh Muhammad Ibn al-‘Allamah ‘Ali bin Adam al-Athyubi berkata ketika mensyarahkan bait syair di atas, dikenal pasti suatu riwayat hadith itu palsu apabila disebutkan balasan yang melampau berupa ganjaran baik yang amat besar atas amalan yang remeh, atau balasan buruk yang dahsyat atas perkara yang kecil. Ini amat banyak riwayat-riwayat penglipur lara.

Dinukilkan daripada Ibn al-Jauzi, katanya: “Sungguh aku teramat malu dengan penipuan beberapa kaum yang berdusta dengan mendakwa: ‘Siapa yang berselawat sekian, maka baginya 70 rumah, setiap dari rumah itu mempunyai 70 bilik, dalam setiap bilik mempunyai 1000 katil, dan pada setiap katil itu terdapat 70000 hamba sahaya perempuan.’ Meskipun ia tidak mustahil pada kemampuan-Nya, tetapi balasan ini tetap jua satu kekeliruan yang buruk.”

Al-Hafiz Burhanuddin al-Naji pula berkata: “Antara tanda kepalsuan, apabila disebutkan dalam suatu riwayat itu: ‘diberikan ganjaran Nabi atau para Nabi’ dan seumpamanya, sebagaimana yang diambil faedah dari Ibn ‘Iraq dalam Tanzih al-Syari‘ah.” (Lihat Is‘af Zawi al-Watr bi Syarh al-Durar fi ‘Ilm al-Athar, 1/293)

Ciri-ciri kepalsuan riwayat ini sememangnya tampak secara jelas dalam kelebihan-kelebihan doa Haikal Tujuh yang disebutkan di atas, tambahan pula apabila riwayat tersebut tidak disertakan bersama sanadnya yang bersambung sehingga kepada Rasulullah SAW. Kesahihan riwayat ini amat diragui apabila seseorang itu boleh dijatuhkan hukuman Kafir hanya kerana tidak mempercayai riwayat tersebut, sedangkan hukum berdoa itu luas, dan tidaklah meninggalkan doa itu membawa kepada amal kesyirikan. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Imam Muhammad bin Sirin berkata: “Menurutku, sanad itu adalah sebahagian daripada agama. Tanpa sanad, semua orang boleh mendakwa apa sahaja sesuka hatinya. Apabila ditanya, ‘Siapakah yang menyampaikan kepadamu (hadith ini)?’ Maka, dia terdiam (kerana tidak tahu).”

Imam Ibn Hibban juga pernah menukilkan bahawa Imam Syu‘bah bin al-Hajjaj berkata: “Setiap hadith yang tidak mempunyai haddathana (حَدَّثَنَا) dan akhbarana (أَخْبَرَنَا) (tidak mempunyai sanad), maka ia adalah seperti seorang lelaki di padang pasir bersama seekor unta yang tidak mempunyai tali kekang.” (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/15; al-Majruhin, 1/37)

Apabila riwayat hadith berkenaan kesahihan fadhilat-fadhilat tersebut tidak dapat dibawakan, maka kesemua kelebihan yang disebutkan tidak boleh diambil dan dipercayai; kerana Rasulullah SAW telah memberikan amaran bagi sesiapa sahaja yang berdusta atas nama Baginda SAW. Al-Mughirah bin Syu‘bah R.A telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta ke atasku tidak sama seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah dia mendapat tempat duduknya dalam Neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291) dan Muslim (4)

Apabila kita sudah mengenal pasti ciri-ciri riwayat palsu ini, tidak sepatutnya kita bertindak menyebarkan lagi riwayat palsu tersebut sesuka hati atas dasar: “Perkara baik, apa salahnya.” Sebaliknya tindakan terbaik adalah dengan mengkhabarkan kepada masyarakat akan kepalsuannya. Renungilah sabda Rasulullah SAW:

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta, maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta.”

Riwayat al-Tirmizi (2662), Ibn Majah (41) dan Ahmad (18240)

Keraguan lain yang timbul apabila wujudnya percanggahan dalam kisah kelebihan doa Haikal Tujuh di atas dengan riwayat sahih yang lain berkenaan isu tangkal. Bagaimana mungkin seseorang boleh menulis doa-doa tersebut dan dijadikan tangkal dengan kelebihan-kelebihan luar biasa, sedangkan isu menjadikan al-Quran itu sebagai tangkal sahaja diperselisihi akan keharusannya oleh fuqaha’.

Sebahagian fuqaha’ membenarkan tangkal sekiranya ia terkandung dari ayat-ayat al-Quran.

  • Pandangan yang mengharuskan: Ini yang diambil oleh fuqaha’ al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah dan salah satu dari riwayat Imam Ahmad. Begini juga yang zahir dalam riwayat ‘Aisyah, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.Anhum dan ramai lagi.

Mereka mengqiyaskan masalah ini dengan keharusan ruqyah menggunakan ayat-ayat al-Quran.

  • Pandangan yang melarang: Ini adalah riwayat lain dari Imam Ahmad, dan ia juga pandangan Huzaifah, ‘Uqbah bin ‘Amir, Ibn Hakim, Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Abbas R.Anhum dan ramai lagi dari kalangan para tabi‘in.

Mereka berhujjah dengan umum hadith yang melarang tangkal kerana ia dianggap sebagai perbuatan syirik. ‘Uqbah bin ‘Amir R.A meriwayatkan , Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَقَدْ أَشْرَكَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menggantung tangkal, maka dia telah berbuat syirik.”

Riwayat Ahmad (17422). Syeikh al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Sahih al-Jami‘ (6394), dan Syeikh Syu‘aib al-Arnaut mengatakan sanadnya kuat.

Larangan tersebut juga berdasarkan kaedah Sad al-Zari‘ah (سَدُّ الذَّرِيعَةِ) atau menutup pintu yang boleh membawa kepada keburukan.

Seorang Qadi dari kalangan fuqaha’ al-Hanabilah berkata, apabila timbul dua pandangan yang berbeza ini, boleh sahaja untuk menggunakan hujjah yang melarang ini sekiranya tangkal (yang mengandungi ayat al-Quran) itu dianggap dapat memberikan manfaat dan sebagai pembenteng. Perbuatan ini tidak dibenarkan kerana Allah SWT yang memberikan manfaat itu dan bukannya tangkal. Adapun yang dibenarkan itu, apabila dia mempercayai bahawa Allah SWT yang memberi manfaat dan menjadi pembenteng baginya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/30-31)

Kami melihat dalam situasi pengamalan doa Haikal Tujuh ini sebagai tangkal, pandangan yang melarang lebih tepat kerana kelebihan-kelebihan yang disebutkan berkenaan doa ini seolah-olah menjadikan manfaat itu datang dari zat doa itu sendiri, sedangkan kesahihan segala fadhilat itu belum dapat dipastikan.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami lebih cenderung untuk saudara tidak beramal dengan doa Haikal Tujuh ini dalam keadaan mempercayai segala fadhilat-fadhilat palsu ini.

Adapun beramal dengan setiap ayat al-Quran tersebut, seperti mengamalkan ayat Kursi dan lain-lain dengan fadhilat-fadhilat yang warid dalam nas syara‘, maka ini tidak menjadi masalah bahkan digalakkan. Kami juga pernah mengeluarkan sebuah artikel bertajuk: “Kelebihan Ayat Kursi.”

Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan kepada saudara. Semoga kita dapat beramal dengan zikir-zikir dan wirid-wirid yang sahih daripada junjungan kita Rasulullah SAW, seterusnya beroleh kelebihan-kelebihan dari amaln tersebut.

Sebagai contoh, rujuklah kitab al-Azkar sarat dengan doa-doa seperti yang dikaryakan oleh Imam al-Nawawi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *