#709 Qadha’ Puasa Kerana Was-was

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya qadha’ puasa disebabkan oleh perasaan was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadhan yang lepas?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Manakala orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah keluarga si mati. Hal Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya:Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)

Manakala, orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib baginya untuk bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa. Hal ini berdasarkan riwayat, daripada Ata’ yang mendengar Ibn Abbas R.Anhuma membaca al-Quran:

وَعَلَى الَّذِيْنَ يُطِيْقُوْنَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِيْنٍۗ

Maksudnya: Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيخُ الْكَبِيرُ، وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ، لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya:Ayat tersebut tidak dimansukhkan. Ia ditujukan kepada lelaki dan perempuan yang sangat tua dan tidak terdaya berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan seorang miskin sebanyak hari dia tidak berpuasa.

Riwayat al-Bukhari (4235)

Begitu juga kepada orang sakit yang tiada harapan sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari dia tidak berpuasa, sebagaimana orang tua tidak berdaya berpuasa. Manakala perempuan yang mengandung dan menyusui bayi berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya, Jika dia berbuka, dia wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya:Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Dawud (2408)

Sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib mengqadha’nya (menggantikannya) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Maksudnya:Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadha’nya”

Riwayat Abu Dawud (2380), al-Tirmizi (720), al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (3130), Ibn Majah (1676), dan Ahmad (10463)

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagi lah (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/200)

Qadha puasa wajib dilakukan jika meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini berdasarkan perbuatan Aisyah yang diriwayatkan oleh Abu Salamah. Kata beliau :

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلاَّ فِي شَعْبَانَ ، الشُّغْلُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: ”Pernah ada puasa daripada bulan Ramadhan yang sepatutnya aku ganti. Aku tidak mampu untuk menqadha’nya kecuali pada bulan Sya’ban. Juga daripada (bersama) dengan Rasulullah SAW.”

Riwayat Muslim (2657)

Qadha’ Puasa Kerana Was-was

Islam sangat menitikberatkan isu keyakinan dalam ibadah dan juga syariat. malah terdapat usul fiqh menyebutkan:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu)

Dalam mensyarahkan makna kaedah ini, sebahagian ulama berkata : Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan. (Lihat Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, hlm. 45)

Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang penting di dalam fiqh. Bahkan Al-Qadhi Husin al-Syafi’e menyatakan bahawa fiqh terbina dari empat kaedah utama dan antaranya adalah kaedah ‘keyakinan tidak dihilangkan dengan syak ini’. Kaedah ini mempunyai sandarannya dari nas-nas syarak. Antaranya adalah firman Allah SWT:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.”

(Surah Yunus: 36)

Imam Al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan : Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan. (Lihat al-Jami’ al-Bayan, 15/89)

Justeru, jika terdapat keraguan atau was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadhan yang lepas, maka tidak perlulah diganti puasa tersebut. Hal ini kerana puasa tersebut tetap sah. Ini berdasarkan kaedah :

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: “Asal (bagi satu hukum) adalah mengekalkan sepertimana ia.”

Kami juga menasihati agar jangan berlebih-lebih dan melampau-melampau terutama jika melibatkan bab ibadah. Perkara ini telah diingatkan oleh Nabi SAW sabagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ. قَالَهَا ثَلاَثًا

Maksudnya :” Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.”

Riwayat Muslim (2670)

Begitu juga, jauhilah sifat was-was dan ragu-ragu. Inilah hasil dari bisikan syaitan yang akhirnya menatijahkan kepayahan dan menyebabkan kehidupan seharian menjadi rumit. Bahkan Nabi Adam AS juga tidak terlepas daripada bisikan syaitan. Firman Allah SWT:

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ ‎

Maksudnya: Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”

(Surah al-A’raf : 20)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: Iblis merasa hasad kepada mereka berdua (Adam dan Hawa)dan berusaha dengan licik, menipu, dan menimbulkan perasaan was-was untuk mengelirukan dan mengindahkannya kepada mereka berdua bahawa pada pokok itu terdapat kenikmatan dan perkara yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/397)

Penyakit was-was ini telah diingatkan oleh Nabi saw dan diberikan penyelesaian oleh Baginda. daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ

Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (35919), Abu Dawud dalam al-Zuhd (337). Hadith ini isnadnya dinilai sahih oleh pengarang Takhrij Misykat al-Masabih (2221)

Al-Tibi menjelaskan: Lafaz ini merupakan majaz iaitu tipu daya syaitan dan bisikannya berjalan pada manusia sebagaimana darah berjalan pada salurannya. Syaitan ini sentiasa memperdayakan jiwa manusia, dan sentiasa meniupkan bisikan dan was-was pada hati dan jiwa manusia dengan menggunakan kemarahan dengan menggunakan darah (dalam diri manusia) dan menggunakan kekuatannya. Cara merawatnya adalah dengan lapar dan berpuasa kerana ianya dapat menghalang hawa nafsu dan juga syahwat yang merupakan senjata syaitan. Kekenyangan membawa kepada dosa, kekurangan iman dan juga gangguan fikiran. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 2/521)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menegaskan bahawa keraguan dan was-was yang timbul berkenaan puasa ramadhan yang dilakukan, maka tidak perlu diqadha’kan puasa tersebut sebagaimana hujah yang kami nyatakan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 22 Mac 2022 bersamaan 19 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *