Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan status hadith yang mana malaikat memberi peluang kepada seorang hamba yang melakukan kejahatan dalam tempoh 6 jam atau 7 jam untuk bertaubat sebelum menulis kejahatan tersebut dalam buku amalan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

(Surah Qaf: 18)

Imam al-Qurtubi menyebutkan bahawa bagi lafaz “al-Raqib” terdapat tiga pandangan:

  • Ia adalah orang yang mengawasi dan memerhatikan perkara-perkara.
  • Ia adalah penjaga, menurut pendapat al-Suddi.
  • Ia adalah orang yang melihat/menyaksikan (ada di tempat kejadian), menurut pendapat al-Dhahhak.

Manakala bagi lafaz “‘atid” terdapat dua pandangan:

  • Ia adalah orang yang hadir dan tidak akan hilang.
  • Ia adalah penjaga yang sedia, sama ada untuk menjaga atau untuk menyaksikan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 11/17).

Diriwayatkan daripada Bisyr bin Numair dan Ja’far bin Zubair, daripada Al-Qasim, daripada Abu Umamah katanya: Rasulullah SAW bersabda:

صَاحِبُ الْيَمِينِ أَمِينٌ عَلَى صَاحِبِ الشِّمَالِ، فَإِذَا عَمِلَ الْعَبْدُ بِحَسَنَةٍ كُتِبَتْ له بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، وَإِذَا عَمِلَ سَيِّئَةً فَأَرَادَ صَاحِبُ الشِّمَالِ أَنْ يَكْتُبَهَا قَالَ صَاحِبُ الْيَمِينِ: أَمْسِكْ، فَيُمْسِكُ سِتَّ سَاعَاتٍ أَوْ سَبْعَ سَاعَاتٍ، فَإِنِ اسْتَغْفَرَ اللهَ مِنْهَا لَمْ يَكْتُبْ عَلَيْهِ شَيْئًا، وَإِنْ لَمْ يَسْتَغْفِرِ اللهَ كُتِبَتْ عَلَيْهِ سَيِّئَةً وَاحِدَةً   .

Maksudnya: “Malaikat di sebelah kanan adalah penjaga kepada Malaikat di sebelah kiri. Apabila seorang hamba melakukan kebaikan, ia akan dicatatkan baginya sepuluh kali ganda, dan apabila dia melakukan keburukan, malaikat di sebelah kiri ingin mencatatkannya. Malaikay di sebelah kanan berkata: ‘Tunggu dahulu,’ maka dia menunggu selama enam atau tujuh jam. Jika hamba itu memohon ampun kepada Allah, ia tidak akan dicatatkan, dan jika dia tidak memohon ampun, keburukan itu akan dicatatkan sebagai satu keburukan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9/ 271-272)

Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata: “Hadith ini adalah palsu. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam ‘Syu’ab al-Iman’, Abu Bakar al-Kalabazi dalam ‘Miftah al-Ma’ani‘, dan al-Wahidi dalam ‘Tafsir-nya’ daripada Bisyr bin Numair daripada al-Qasim daripada Abu Umamah dengan status marfu’. Saya katakan: Sanad ini sangat lemah. Bisyr bin Numair disebutkan oleh al-Hafiz: Dia adalah matruk mutham.’ Saya katakan: Ja’far bin Zubair turut meriwayatkannya – yang mana dia serupa atau lebih buruk daripadanya – daripada al-Qasim.” (Lihat Silisiah al-Ahadith al-Dha‘ifah, 5/262)

Diriwayatkan juga daripada Thaur bin Yazid, daripada al-Qasim; diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, beliau berkata: Ja’far bin Muhammad al-Firyabi telah menyampaikan kepada kami: Muhammad bin Abi al-Sari al-‘Asqalani telah menyampaikan kepada kami: al-Walid bin Muslim telah menyampaikan kepada kami, daripada Thaur bin Yazid, daripada al-Qasim, daripada Abu Umamah, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

صَاحِبُ الْيَمِينِ أَمِينٌ عَلَى صَاحِبِ الشِّمَالِ، فَإِذَا عَمِلَ حَسَنَةً أَثْبَتَهَا، وَإِذَا عَمِلَ سَيِّئَةً قَالَ لَهُ صَاحِبُ الْيَمِينِ: امْكُثْ سِتَّ سَاعَاتٍ، فَإِنِ اسْتَغْفَرَ لَمْ يَكْتُبْ عَلَيْهِ، وَإِلَّا أَثْبَتَ عَلَيْهِ سَيِّئَةً

Maksudnya: “Malaikat di sebelah kanan adalah penjaga kepada malaikat di sebelah kiri. Apabila dia melakukan kebaikan, ia akan dicatatkan. Apabila dia melakukan keburukan, malaikat di sebelah kanan berkata kepadanya: ‘Tunggu enam jam, jika dia memohon ampun, ia tidak akan dicatatkan, jika tidak, ia akan dicatatkan sebagai satu keburukan.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8 / 225)

Sanad ini juga lemah; kerana al-Walid bin Muslim seorang yang terkenal sebagai perawi yang mudallis; beliau meriwayatkan daripada gurunya tanpa mendengar daripada mereka dengan menggunakan ungkapan yang tidak jelas seperti (daripada), sebagaimana dalam sanad ini, di mana al-Walid bin Muslim berkata: daripada Thaur bin Yazid. Perawi daripadanya, iaitu Muhammad bin Abi al-Sari al-‘Asqalani, adalah Muhammad bin al-Mutawakkil yang banyak melakukan kesalahan.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Muhammad bin al-Mutawakkil bin Abdul Rahman al-Hasyimi Maula mereka, al-‘Asqalani, yang dikenali sebagai Ibn Abi al-Sari, seorang yang dipercayai dan arif, tetapi banyak membuat waham (kesilapan).” (Lihat Taqrib al-Tahzib, hlm.  504).

Begitu juga dengan riwayat lain  melalui sanad Al-Qasim bin Abdul Rahman, daripada Abu Umamah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ صَاحِبَ الشِّمَالِ لِيَرْفَعُ الْقَلَمَ سِتَّ سَاعَاتٍ عَنِ الْعَبْدِ الْمُسْلِمِ الْمُخْطِئِ أَوِ الْمُسِيءِ، فَإِنْ نَدِمَ وَاسْتَغْفَرَ اللهَ مِنْهَا أَلْقَاهَا ، وَإِلَّا كُتِبَتْ وَاحِدَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya malaikat pencatat kejahatan pasti tidak menulis selama enam waktu dari seseorang hamba muslim yang tersilap melakukan kesilapan. Jika dia bertaubat dan beristighfar kepada Allah, malaikat terus tidak mencatatnya. Jika dia tidak bertaubat setelah berlalu tempoh enam waktu tersebut selepas melakukan kesalahan, maka dicatat satu dosa ke atasnya.”

Riwayat al-Tabarani al-Mu’jam Al-Kabir (8/185), Abu Nu’aim dalam Hilyat al-Awliya’ (6/124), dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6650).

Dalam mengulas hadith ini, Imam al-Manawi berkata dalam kitab Faidh al-Qadir: “Sesungguhnya malaikat yang berada di sebelah kiri (yang mencatat kesalahan) akan menangguhkan pena, yakni tidak mencatat kesalahan yang dilakukan (oleh seorang hamba) selama enam jam. Ini mungkin merujuk kepada waktu yang sebenar atau waktu mengikut peredaran bintang. Ia berlaku terhadap hamba Muslim yang melakukan kesalahan; maka kesalahan tersebut tidak akan dicatatkan sebelum tempoh tersebut berlalu, tetapi dia akan diberi tempoh tersebut. Jika dia menyesal atas perbuatannya dan memohon ampun kepada Allah, yakni meminta supaya Allah mengampuni kesalahannya, dan bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya, maka kesalahan itu akan dihapuskan dan tidak akan dicatat. Jika tidak, yakni jika dia tidak menyesal dan tidak memohon ampun, maka kesalahan tersebut akan dicatat oleh malaikat yang berada di sebelah kiri sebagai satu kesalahan. Berbeza dengan pahala, ia akan dicatat sebagai sepuluh kebaikan. Ini adalah keringanan dari Tuhanmu dan rahmat-Nya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/456)

Hadith ini diriwayatkan melalui beberapa jalan, dan semua jalan tersebut berpusat dan bergantung (madar) kepada “Al-Qasim bin Abdul Rahman al-Syami”.

  • Al-Munziri berkata: “Para ulama’ berbeza pendapat mengenai Al-Qasim ini; ada yang melemahkan riwayatnya, dan ada yang menguatkannya.” (Lihat Mukhtasar Sunan Abi Dawud, 1/367).

Beliau juga berkata dalam kitabnya yang sama Mukhtasar Sunan Abi Dawud (1/426): “Yahya bin Ma’in dan yang lainnya menganggapnya sebagai perawi yang thiqah (dipercayai), tetapi ramai juga yang mempersoalkan tentangnya.”

  • Al-Hafiz al-Zahabi berkata: “Al-Qasim bin Abdul Rahman Abu Abdul Rahman al-Dimasyqi, seorang mawla (bekas hamba yang dimerdekakan) daripada keluarga Muawiyah. Ahmad bin Hanbal berkata: ‘Ali bin Yazid meriwayatkan daripadanya perkara-perkara yang pelik, dan saya melihat perkara tersebut datang daripada Al-Qasim.’ Ibn Hibban berkata: ‘Dia meriwayatkan riwayat yang mu’dhal daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW.'” (Lihat al-Mughni fi al-Dhu’afa’, 2/519).
  • Imam Ahmad berkata tentangnya: “Dia adalah perawi yang hadithnya mungkar, dan aku melihat masalahnya datang dari Al-Qasim.” (Lihat al-Majruhin oleh Ibn Hibban, 2/212).
  • Al-Hafiz dalam Al-Taqrib berkata: “Dia seorang yang thiqah tetapi sering membawa riwayat yang pelik.” (Lihat Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, 23/386; Tahzib al-Tahzib, 8/290).

Tambahan lagi, riwayatnya menjadi lebih lemah kerana tidak ada riwayat lain daripada Al-Qasim melainkan melalui perawi yang matruk, lemah, atau dipertikaikan hafalan dan ketepatannya. Jalur sanad yang paling baik bagi hadith ini ialah yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani melalui jalan Ismail bin Ayyash, daripada ‘Asim bin Raja’ bin Haywah, daripada ‘Urwah bin Ruwaim, daripada Al-Qasim, daripada Abu Umamah.

  • Al-Hafiz Ibn Hajar berkata tentang ‘Urwah bin Ruwaim dalam al-Taqrib: “Dia seorang yang dipercayai tetapi sering meriwayatkan secara mursal (iaitu riwayat yang terputus antara tabi’in dan Rasulullah SAW).”

Terdapat keraguan dan perbincangan tentang pendengarannya daripada al-Qasim, dan al-Mizzi melemahkan ketegasan riwayatnya daripada Al-Qasim bin Abdul Rahman seperti yang terdapat dalam Tahzib al-Kamal (20/8).

  • ‘Asim bin Raja’ bin Haywah, “Ishaq bin Mansur berkata daripada Ibn Ma’in: ‘Dia perawi yang baik.’ Abu Zur’ah berkata: ‘Tidak ada masalah dengannya,’ dan Ibn Hibban menyenaraikannya sebagai perawi yang thiqah.” (Lihat Tahzib al-Tahzib, 5/37).
  • Al-Daraqutni dalam al-‘Ilal (3/153) berkata: “Dia seorang perawi yang lemah.”
  • Abu Nu’aim berkata tentang hadith ini: “Ia adalah hadith yang pelik daripada segi sanad ‘Asim dan ‘Urwah, dan kami hanya mencatatnya dari jalan Ismail bin Ayyash.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 6/124).

Al-‘Iraqi berkata tentang hadith ini: “Al-Baihaqi meriwayatkannya dalam al-Syu’ab al-Iman, daripada Abu Umamah dengan sanad yang lemah, dengan lafaz yang pertama, dan dia juga meriwayatkan hadith yang lebih panjang daripadanya yang menyebut: (Sesungguhnya malaikat di sebelah kanan adalah pemimpin bagi malaikat di sebelah kiri), tetapi tidak disebutkan bahawa dia memerintahkan malaikat di sebelah kiri untuk menggugurkan kesalahan sehingga dia menggugurkan satu daripada kebaikan-kebaikannya, dan saya tidak menemui asal bagi perkara tersebut.” (Lihat al-Mughni ‘an Hamli al-Asfar, hlm. 1495).

Ibn Abi Syaibah meriwayatkannya dalam al-Musannaf (7/98) daripada jalur Hisyam bin Sa’ad yang berkata: “Saya mendengar ‘Urwah bin Ruwaim menyebut tentang Al-Qasim, daripada Mu’az yang berkata:

 إِذَا ابْتَلَى اللَّهُ الْعَبْدَ بِالسَّقَمِ، قَالَ لِصَاحِبِ الشِّمَالِ: ارْفَعْ، وَقَالَ لِصَاحِبِ الْيَمِينِ: اكْتُبْ لِعَبْدِي مَا كَانَ يَعْمَلُ

Maksudnya: ‘Apabila Allah menguji hamba-Nya dengan penyakit, Dia memerintahkan malaikat di sebelah kiri: ‘Angkat pena,’ dan Dia memerintahkan malaikat di sebelah kanan: ‘Catatlah untuk hamba-Ku apa yang dia lakukan.'”

Mungkin inilah asal riwayat tersebut; ia merupakan hadith yang mauquf pada Mu’az, mengenai orang yang sakit diuji; pena diangkat daripadanya sebagai penghapusan dosa-dosanya, dan kemudian para perawi tersilap dan menjadikannya hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah dengan lafaz yang umum.

Selain itu, dalam hadith tersebut yang disebutkan tempoh 6 jam atau 7 jam, sedangkan pada zaman Nabi SAW, belum menjadi kebiasaan penggunaan istilah jam dengan makna satu jam yang didefinisikan sebagai 60 minit seperti pada zaman sekarang. Penentuan waktu-waktu solat, misalnya, dilakukan dengan memerhatikan pergerakan matahari, bukan jam. Oleh itu, penyebutan 6 jam dalam hadith tersebut menjadi janggal dan seolah-olah bukan merupakan ucapan Nabi SAW.

Dalam beberapa hadith yang lain, lafaz “sa’ah” kadangkala hanya diterjemahkan sebagai “saat” (jangka masa tertentu pada waktu siang atau jangka masa pada waktu malam yang panjang atau pendeknya). Begitu juga,, ketika menyebut keutamaan datang untuk solat Jumaat pada sa’ah pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya. Jika riwayat “sa’ah” dalam hadith solat Jumaat ini diterjemahkan sebagai “saat,” atau “jam” maka maknanya menjadi lebih bermasalah, kerana 6 saat atau jam itu sukar untuk didefinisikan memandangkan pengertian “saat” atau “jam” menjadi terlalu fleksibel. Oleh sebab itu, sebahagian ulama menafsirkan “sa’ah” dalam hadith solat Jumaat itu dengan menghitung waktu antara terbitnya matahari sehingga waktu solat Jumaat dan membahagikannya kepada lima. Ini adalah bentuk penafsiran definisi “sa’ah” secara bahasa dengan pembahagian “sa’ah” oleh Nabi SAW menjadi lima bahagian. Dalam konteks tertentu, “sa’ah” juga boleh diterjemahkan sebagai kiamat.

Lebih daripada itu, dari segi matan, riwayat yang menyebut penangguhan pencatatan dosa selama 6 jam ini bertentangan dengan riwayat sahih yang menyebut bahawa pencatatan dosa dilakukan secara langsung tanpa sebarang penangguhan.

Riwayat yang Sahih

Manakala tentang mencatat segera kebaikan, terdapat hadith yang menyatakan sekiranya seorang hamba itu berkeinginan untuk melakukan kebaikan, maka dia akan dapat satu pahala sekalipun dia tidak dapat melakukannya. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith qudsi daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda; Allah SWT berfirman kepada para malaikat:

إِذَا هَمَّ عَبْدِي بِسَيِّئَةٍ فَلَا تَكْتُبُوهَا عَلَيْهِ فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا سَيِّئَةً. وَإِذَا هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا فَاكْتُبُوهَا حَسَنَةً. فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba-Ku berkeinginan melakukan kejahatan, maka jangan lagi dicatat dosa ke atasnya. Jika dia melakukannya barulah dicatat dosa satu kejahatan ke atasnya. Apabila seseorang hamba-Ku berkeinginan melakukan satu kebaikan, namun dia belum melakukannya, maka catitkan untuknya satu pahala, jika dia melakukannya maka catitkan untuknya 10 pahala.” 

Riwayat Muslim (128)

Begitu juga dengan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, tentang apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya ‘Azza wa Jalla, Baginda bersabda: “Allah berfirman:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya: ‘Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskannya. Maka barangsiapa yang hendak mengerjakan suatu kebaikan tetapi dia tidak jadi melaksanakannya, maka Allah menetapkan niatnya itu baginya satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia hendak mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda, bahkan berkali-kali ganda banyaknya di sisi-Nya. Adapun sesiapa yang merancang untuk melakukan mana-mana keburukan dan dia tidak melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia berniat untuk mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menetapkannya sebagai satu keburukan di sisi-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (6491) dan Muslim (131)

Dan diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW dalam hadith qudsi:

قَالَتِ الْملَائِكَةُ: رَبِّ، ذَاكَ عَبْدُكَ يُرِيدُ أَنْ يَعْمَلَ سَيِّئَةً، وَهُوَ أَبْصَرُ بِهِ، فَقَالَ: ارْقُبُوهُ فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا لَهُ بِمِثْلِهَا، وَإِنْ تَرَكَهَا فَاكْتُبُوهَا لَهُ حَسَنَةً، إِنَّمَا تَرَكَهَا مِنْ جَرَّايَ

Maksudnya: “Para malaikat berkata: ‘Wahai Tuhan, itu adalah hamba-Mu yang ingin melakukan kejahatan, dan Engkau lebih mengetahui tentangnya.’ Maka Dia berfirman: ‘Pantau dia, jika dia melakukannya, tulislah ia dengan sepertinya, dan jika dia meninggalkannya, maka tulislah ia sebagai satu kebaikan untuknya, kerana dia meninggalkannya kerana-Ku.'”

Riwayat Muslim (129)

Zahir daripada hadith-hadith ini menunjukkan bahawa penulisan kejahatan berlaku selepas perbuatan itu dilakukan secara langsung, tanpa adanya tempoh masa antara perbuatan dan penulisan, seperti yang difahami daripada sabdanya: “Jika dia melakukannya, maka tulislah ia,” dan huruf فاء dalam hadith ini menunjukkan tindakan yang segera.

Oleh itu, berkeinginan hendak melakukan kebaikan, mendapat satu pahala. Berbeza jika memiliki keinginan melakukan kejahatan, masih belum dicatat sehinggalah seseorang itu bersungguh-sungguh atau memiliki keazaman melakukan kejahatan. Sekalipun dia tidak melakukannya, dia tetap dicatat dosa memiliki keazaman melakukan dosa. Para ulama’ berkata: “Martabat niat itu adalah lima, hajis (terdetik di hati), khatir (lintasan di hati), hadith al-Nafs (bualan dalam hati), hamm (keinginan) dan berikutnya keazaman. Semua tidak dikira berdosa (jika berkaitan kejahatan) melainkan yang akhir (iaitulah keazaman melakukan kejahatan), padanya tetap dikenakan hukuman sekalipun tidak melakukannya.” (Lihat Qawaid al-Fiqh oleh al-Barkati, 1/273)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perkara ghaib seperti ini tidak boleh disahkan melainkan melalui riwayat perawi yang thiqah, dan tidak mencukupi jika ia hanya diriwayatkan oleh seorang perawi yang dipertikaikan dalam hafazan dan ketepatannya, tanpa ada sokongan daripada perawi lain dan juga jalur lain yang sahih..

Tambahan pula, dari segi matan, riwayat yang menyebut penangguhan pencatatan dosa selama 6 jam atau 7 jam ini bertentangan dengan riwayat sahih yang menyebut bahawa pencatatan dosa dilakukan secara langsung tanpa sebarang penangguhan. Wallahua’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *