Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Seorang kenalan saya disihir sehingga dia sering bercakap perkara yang tidak berasas. Pernah suatu ketika, dia mendakwa telah keluar dari Islam dan mensyirikkan Allah SWT. Adakah dia dihukumkan murtad?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sihir ini adalah satu perkara yang benar dan boleh berlaku. Ia juga dapat memberi kesan kepada orang yang disihir dengan kehendak dan ketentuan Allah SWT, sehingga orang yang disihir mungkin melakukan beberapa tindakan di bawah pengaruh sihir. Firman Allah SWT:

وَٱتَّبَعُوا۟ مَا تَتْلُوا۟ ٱلشَّيَـٰطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَـٰنَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَـٰنُ وَلَـٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَرُوا۟ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحْرَ وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَآ إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌۭ فَلَا تَكْفُرْ ۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِۦ بَيْنَ ٱلْمَرْءِ وَزَوْجِهِۦ ۚ وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ ۚ وَلَقَدْ عَلِمُوا۟ لَمَنِ ٱشْتَرَىٰهُ مَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍۢ ۚ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا۟ بِهِۦٓ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: ‘Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).’ Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 102)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, amalan sihir adalah satu proses penyamaran menerusi tipu helah dan khayalan. Biasanya tukang sihir melakukan sesuatu yang boleh mengkhayalkan orang yang terkena sihir. Ia menyebabkan seseorang itu menggambarkan sesuatu yang berlainan daripada hakikatnya yang sebenar. Ia berlaku sama ada dalam bentuk tipu helah melalui pergerakan yang pantas, jampi serapah, atau dalam bentuk profesion dan ilmu rahsia yang hanya diketahui orang pengamal sihir. Sihir banyak disebut dalam al-Quran khususnya berkaitan kisah Nabi Musa A.S dan ahli sihir Firaun. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/247-249)

Sekiranya seseorang itu disihir, berusahalah untuk mendapatkan rawatan. Kita juga dianjurkan untuk mendoakan mereka yang ditimpa ujian, sebagaimana yang thabit dalam hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا عَادَ مَرِيضًا يَقُولُ:‏ أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِهِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda menziarahi orang yang sakit, Baginda akan membaca: ‘Hilangkanlah sakit ini wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang Maha Penyembuh), tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit’.”

Riwayat Muslim (2191)

Lafaz Murtad Semasa Disihir

Berbalik kepada persoalan saudara, dalam keadaan disihir sehingga menghilangkan kewarasan akal, maka tindakan serta perkataan yang dilakukan oleh mangsa tersebut tidak dijatuhkan sebarang hukuman. Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan- perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah (2045) dan Riwayat Ibn Hibban(7219)

Imam Ibn Rejab al-Hanbali mengatakan, menurut persepakatan ulama, paksaan untuk seseorang itu melafazkan sesuatu yang haram – dengan bentuk paksaan yang diambil kira – dia boleh menyelamatkan dirinya dengan mengucapkannya dan dia tidak berdosa. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُۥ مُطْمَئِنٌّۢ بِٱلْإِيمَـٰنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan keimanan.”

(Surah al-Nahl: 106)

Rasulullah SAW juga bersabda kepada ‘Ammar bin Yasir R.A semasa beliau dipaksa untuk melafazkan celaan ke atas Rasulullah SAW dan memuji sembahan Quraisy:

كَيْفَ تَجِدُ قَلْبَكَ؟ قَالَ: مُطْمَئِنٌّ بِالإِيْمَانِ قَالَ: إِنْ عَادُوا فَعُدْ

Maksudnya: “‘Bagaimana hatimu ketika itu?’ Dia (‘Ammar) menjawab: ‘Hatiku tetap dalam keadaan tenang dengan iman.’ Baginda SAW menjawab: ‘Kalau mereka memaksa (menyiksa) lagi, silakan engkau mengulanginya lagi seperti tadi’.”

Riwayat al-Hakim (3362) dan al-Baihaqi (17350)

Ibn Rejab turut mengatakan, paksaan untuk melafazkan apa jua perkataan itu merupakan suatu perkara yang boleh berlaku. Maka jika seseorang dipaksa tanpa hak untuk mengucapkan sesuatu, dia tidak dihukumkan ke atasnya apa-apa, dan dianggap ucapan tersebut tidak bermakna; kerana ucapan seseorang yang dipaksa itu keluar dari mulutnya tanpa kerelaan hati. Oleh itu, dia dimaafkan dan tidak dipertanggungjawabkan ke atasnya hukuman dunia mahupun akhirat. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/372-374)

Antara hujjah lain yang menguatkan lagi bukti bahawa mangsa sihir tersebut tidak bersalah, sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abu Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ. وَفِيْ رِوَايَةٍ: وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.” Dalam riwayat lain: “..dan cacat mental hingga dia berakal (sembuh).”

Riwayat Abu Daud (4403), Ahmad (1183),  Tirmizi (1423), Nasa’i (3432), dan Ibn Majah (2041)

Memahami perbincangan, sekiranya seseorang yang disihir melafazkan kalam kufur dalam keadaan hilang kewarasan akal, dia tidak dihukumkan murtad dan tidak juga dijatuhkan ke atasnya hukuman mereka yang murtad. Demikian atas dua alasan utama:

  • Dia umpama orang yang dipaksa, kerana dia melafazkannya dalam keadaan sedar (tidak pengsan).
  • Keadaan disihir hingga hilang kewarasan akal itu adalah sama dengan keadaan orang gila yang hilang akalnya, tidak dapat menyedari (memahami dan meredhai) apa yang dilafazkan oleh lisannya.

Situasi yang hampir sama dibahaskan oleh Imam Syarafuddin Abu al-Naja al-Hajjawi dalam bab talak semasa disihir. Katanya: “Sekiranya sihir itu telah sampai pada tahap di mana dia tidak tahu apa yang dia katakan, maka talaknya tidak berlaku. Ini kerana dia tidak mempunyai niat ketika itu.” (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 5/236)

Mempunyai kewarasan akal ini adalah salah satu dari syarat yang perlu ada sebelum boleh menghukum seseorang itu jatuh murtad. Adapun orang yang hilang akal warasnya, sebarang ucapannya tidak diambil kira, sama ada dia membuat sebarang pengakuan, atau dia melafazkan talak, atau membebaskan hamba. (Lihat al-Mughni, 9/4)

Kesimpulan

Kami katakan, orang yang melafazkan kata-kata kufur dalam keadaan dirinya disihir sehingga hilang kewarasan akal, maka dia tidak dihukumkan murtad dan tidak juga dijatuhkan ke atasnya had atau hukuman orang murtad.

Berusahalah untuk mendapatkan rawatan bagi mengembalikan semula kewarasan akal, seterusnya bertaqwalah kepada Allah SWT serta perbanyakkan taubat. Semoga kita dijauhi dari ujian yang berat dalam akidah kepercayaan, ditetapkan atas tauhid dan mengesakan Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *