Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah setiap kali melalui kawasan perkuburan, kita diwajibkan untuk mendoakan ahlinya? Bagaimana pula sekiranya kita lupa atau tidak mendoakan mereka ketika melalui kawasan tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَمُرُّ عَلَى قَبْرِ أَخِيهِ المُؤْمِنِ فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا عَرَفَهُ، وَرَدَّ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang melintasi kubur saudaranya yang beriman, kemudian dia memberi salam, melainkan saudaranya  tersebut akan mengetahui perkara tersebut lalu menjawabnya.”

Riwayat al-Syaukani di dalam Nail al-Autar (3/305) dan Ibn Abd al-Barr di dalam al-Istizkar (1/185)

Ibn Qayyim menyebutkan: Hadith ini dan yang seumpamanya daripada hadith-hadith dan athar menunjukkan bahawa apabila seorang penziarah datang, orang yang diziarahi mengetahuinya, mendengar kata-katanya, merasa gembira dengan kehadirannya, dan membalasnya. Ini bersifat umum bagi para syuhada atau selain mereka, dan tiada waktu tertentu yang ditetapkan untuk perkara tersebut. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 9/484)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa syarak amat menggalakkan sesiapa yang menziarahi kubur atau melalui kawasan perkuburan untuk mendoakan keampunan bagi penghuni kubur. Amalan ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh syarak sebagai tanda kasih sayang dan peringatan kepada akhirat. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang melalui kawasan perkuburan dan terlupa atau tidak mendoakan mereka, ia tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan atau dosa kerana ia bukanlah suatu kewajipan yang mesti dilakukan. Namun, amalan ini sangat digalakkan kerana ia merupakan salah satu cara untuk mengingatkan diri tentang kehidupan selepas kematian serta memperbanyakkan doa bagi mereka yang telah pergi. Driwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

مَرَّ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِقُبُورِ الـمَدِيْنةِ، فَأَقْبلَ عَلَيْهِمْ بِوَجْهِهِ فَقَالَ: السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW melewati perkuburan Madinah, maka Baginda memalingkan mukanya ke arah mereka (kubur tersebut) lalu mengucapkan: ‘Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.’”

Riwayat al-Tirmizi (1393)

Hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan memberi salam dan mendoakan keampunan kepada ahli kubur ketika menziarahi atau melalui kawasan perkuburan. Mengamalkan doa sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith setiap kali melewati perkuburan adalah salah satu cara untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Amalan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan kita dengan ajaran Baginda SAW, tetapi juga dapat meningkatkan keimanan serta keinsafan terhadap kematian.

Selain itu juga Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith ini, beliau menyebutkan: ini menunjukkan kepada anjuran atau galakan untuk menziarahi kubur bagi tujuan mendoakan orang yang telah meninggal dunia, memohon keampunan buat mereka. Begitu juga bagi mengambil iktibar dan pengajaran dengan ziarah tersebut.

Hadith ini juga digalakan (sunat) untuk dibaca ketika menziarahi kubur kerana ia merupakan doa Nabi SAW kepada ahli Baqi‘ dan doa yang diajarkan oleh Baginda kepada Aisyah R.Anha. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/273-274).

Difahami berdasarkan hadith yang dinyatakan di atas, memberi salam dan mendoakan penghuni kubur ketika melalui kawasan perkuburan adalah amalan sunat yang dianjurkan oleh syarak. Walau bagaimanapun, ia bukanlah suatu kewajipan yang mesti dilakukan setiap kali melalui kawasan perkuburan.

Berkaitan isu ini juga Syeikh Ibn Baz dalam kenyataannya menyatakan: Menziarahi kubur secara syar‘i adalah sunnah; kerana ia mengingatkan kita tentang akhirat dan kematian, serta memberi peluang untuk mendoakan keampunan, rahmat, dan keselamatan daripada api neraka bagi si mati—jika mereka beragama Islam. Banyak hadith yang menyebut tentang keutamaan menziarahi kubur. Oleh itu, setiap kali melalui kubur, disyariatkan untuk memberi salam kepada para penghuni kubur dan mendoakan keampunan serta keselamatan untuk mereka. Amalan ini bukanlah wajib, tetapi ia sunat dan mempunyai ganjaran yang besar. Jika kamu melalui kubur tanpa memberi salam, maka tidak mengapa. (Lihat al-Durar al-Thariyyah min al-Fatawa al-Baziah, hlm.188)

Sebagai kesimpulannya, menziarahi kubur dan mendoakan keampunan untuk penghuni kubur adalah amalan sunnah yang sangat digalakkan oleh syarak. Ia bukanlah kewajipan, jadi jika seseorang terlupa melakukannya, tidak dianggap berdosa. Walaupun ia bukan kewajipan, melakukannya dengan niat yang ikhlas dapat memberikan manfaat rohani yang besar. Ia juga merupakan satu cara untuk menunjukkan kasih sayang dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Wallahu‘alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *