#712 Menipu ketika Berjenaka

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah seseorang itu menipu bagi membuatkan orang ramai tertawa? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, perkataanmenipu’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat berasal daripada perkataan ‘tipu’ yang bermaksud perbuatan curang atau kata-kata dusta untuk menyesatkan orang. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, menipu ialah mengkhabarkan akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap. Manakala Imam al-Nawawi menambah lagi dengan menyebutkan, sama ada perkhabaran itu perkara yang telah berlaku ataupun yang akan datang. (Lihat Fath al-Bari, 1/201; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/69)

Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

‎فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya:Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.”

(Surah al-Hajj: 30)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa telah jelas nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia termasuk dalam perbuatan dosa yang buruk dan suatu keaiban yang keji. Malah, para ulama telah menyatakan ijma‘ akan pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. (Lihat al-Azkar, hlm. 377)

Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadith mengingatkan supaya menjauhi amalan berdusta agar tidak tercatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya:Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.

Riwayat al-Bukhari (6094)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)

Bukan itu sahaja, menipu atau berbohong dengan tujuan untuk membuatkan orang ramai ketawa juga termasuk dalam perkara yang dilarang dalam Islam. Terdapat sebuah riwayat daripada Mu‘awiyah bin Haidah al-Qusyairi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ‏

Maksudnya:Celakalah buat seseorang yang menceritakan sesuatu perkara lalu dia berdusta, dengan tujuan untuk membuatkan suatu kaum itu ketawa. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.”

Riwayat Abu Daud (4990), al-Tirmizi (2315), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11126) dan Ahmad (20046)

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan menipu dengan tujuan untuk membuatkan orang ramai tertawa termasuk dalam perkara yang dilarang. Al-San‘ani menyebutkan, hadith ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan berbohong bagi membuatkan sesuatu kaum itu ketawa adalah haram, dan pengharaman ini bersifat khusus. Selain itu, diharamkan juga ke atas para pendengar untuk mendengarnya, apabila mereka mengetahui yang dia sedang berbohong. Ini kerana perbuatan itu dianggap sebagai iqrar — yakni mengakui — perkara yang mungkar. Bahkan wajib ke atas mereka untuk mengingkari perbuatan tersebut, atau bangun dari tempat duduk. Sesungguhnya menipu itu dikira sebahagian daripada dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan oleh al-Ruyani daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i. (Lihat Subul al-Salam, 2/683)

Tambahan lagi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah turut menyatakan bahawa sesiapa yang mengada-adakan cerita bagi membuatkan orang ramai ketawa atau dengan tujuan yang lain, maka dia telah menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya — yakni berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya sebagaimana hadith yang telah disebutkan di atas. Selain itu, Ibn Mas‘ud juga pernah berkata:

لَا يَصْلُحُ الْكَذِبُ فِي جِدٍّ وَلَا هَزْلٍ، وَلَا أَنْ يَعِدَ أَحَدُكُمْ وَلَدَهُ شَيْئًا ثُمَّ لَا يُنْجِزُ لَهُ

Maksudnya:Janganlah melakukan pendustaan terhadap perkara yang serius atau gurauan. Janganlah salah seorang daripada kamu menjanjikan sesuatu kepada anaknya tetapi tidak ditunaikannya.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (387)

Selain daripada itu, jika perbuatan tersebut menyebabkan timbulnya permusuhan antara kaum Muslimin dan memberi kemudaratan dalam agama, maka ia adalah lebih-lebih lagi diharamkan. Walau apapun, pelakunya berhak untuk dikenakan hukuman secara syar‘i yang dapat mencegahnya daripada perkara tersebut. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/256)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan menipu dengan tujuan membuatkan orang ramai tertawa, tidak kira ketika berjenaka atau selainnya adalah jelas dilarang dalam agama. Hal ini kerana sekalipun tujuannya untuk menggembirakan manusia, akan tetapi ia tetap tidak dapat lari daripada konsep pembohongan. Selain itu, perbuatan menipu ini juga dikhuatiri kelak ia dianggap sebagai suatu perkara yang biasa tanpa lagi ada rasa bersalah sehingga akhirnya layak ditulis sebagai seorang penipu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *