Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada soalan isu kanak-kanak yang bunuh diri. Adakah mereka juga termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan azab neraka, sedangkan mereka belum baligh dan mumayyiz?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Ibn Kathir menyebut: Ini membuktikan bahawa sebab yang boleh membawa kepada kemudharatan juga termasuk dalam larangan ini. Apa sahaja yang memudharatkan diri, maka kita dilarang melakukannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 2/389)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Termasuk dalam maksud ayat ini ialah orang yang membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain tanpa mengira apa jua cara seperti mengambil dadah dan meminum racun yang membahayakan dan melampau dalam mengambil risiko yang memudaratkan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/32).

Sebelum menjawab persoalan saudara, kami tegaskan terlebih dahulu bahawa setiap individu tidak mempunyai sebarang hak untuk melakukan sebarang mudarat pada dirinya, kerana kesemua makhluk di muka bumi ini pada hakikatnya adalah hak milik mutlak bagi Tuhan yang Maha Mencipta, iaitu Allah SWT.

Perbuatan bunuh diri ini adalah haram dan berdosa besar, dan ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

 وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Begitu juga, sabda Rasulullah SAW dalam hadith Abu Hurairah R.A:

مَنَ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ شَرِبَ سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”

 Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)

Dinukilkan daripada Imam al-Rafi‘i, katanya, antara salah satu cara untuk mengetahui bahawa perbuatan dosa tersebut termasuk dalam dosa-dosa besar, apabila perbuatan dosa itu disertai dengan hukuman azab berdasarkan nas al-Quran atau al-Sunnah. (Lihat Fath al-Bari, 10/410)

Berbalik kepada isu kanak-kanak belum mumayyiz yang membunuh diri, kita hanya mampu berdoa agar Allah SWT tidak menghukum mereka sebagaimana mukallaf yang telah akil baligh. Ini bersesuaian dengan hadith ‘Ali bin Abu Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ. وَفِيْ رِوَايَةٍ: وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.” Dalam riwayat lain: “..dan cacat mental hingga dia berakal (sembuh).”

Riwayat Abu Daud (4403), Ahmad (1183),  Tirmizi (1423), Nasa’i (3432), dan Ibn Majah (2041)

Berdasarkan hadith ini, fuqaha’ menyimpulkan bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz dan belum mencapai usia baligh itu tidak dihukumkan berdosa, maka dia tidak juga dijanjikan baginya azab Neraka Jahannam seperti dalam hadith Abu Hurairah R.A di atas. Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (8/196) bahawa taklif ke atas individu untuk mengerjakan amalan-amalan fardhu serta meninggalkan perkara-perkara yang haram itu mesti disertai dengan syarat “Baligh,” maka segala perkara ini tidak dituntut sekiranya belum mencapai usia baligh. Apabila dia melakukan sebarang kesalahan atau jenayah yang mewajibkan hukuman hudud atau qisas, ketika itu dia tidak akan dijatuhkan segala hukuman tersebut, sebaliknya dia dikenakan dengan denda tertentu sebagai pengajaran.

Imam al-Mawardi berkata, setiap individu yang tidak dikenakan taklif kerana gila atau masih kecil, tidak dijatuhkan ke atasnya hukuman qisas jika mencederakan atau membunuh orang lain, sama ada kanak-kanak itu sudah mumayyiz atau belum. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 12/88)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi semasa membahaskan masalah hukuman ke atas orang murtad, beliau berkata: “Kanak-kanak tidak dibunuh, sama ada kita mengatakan bahawa murtadnya sah atau tidak; kerana kanak-kanak tidak diwajibkan ke atas mereka hukuman. Ini dibuktikan dengan hakikat bahawa mereka tidak dikaitkan dengan hukum zina dan mencuri, dan dia juga tidak dibunuh sebagai hukuman qisas.” (Lihat al-Mughni, 9/16)

Kesimpulan

Kami katakan, kanak-kanak yang belum baligh itu tidaklah dihukumkan berdosa atau dijanjikan baginya azab seksa di akhirat kelak atas kesalahannya membunuh diri. Akan tetapi, ini tidak bermakna mereka diberikan kelonggaran atau kebenaran untuk melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Sejujurnya, isu depression atau gangguan emosi yang melampau bukan lagi berlaku kepada orang tua, bahkan sejak usia kanak-kanak lagi juga berlaku. Ini menyebabkan guru mereka dalam mengambil tindakan hanya berdasarkan sikap mereka. Oleh itu, sewajarnyalah kita ambil prihatin dan cakna terhadap kanak-kanak yang dilanda ujian seperti ini. Sikap cakna dan rahmah kepada kanak-kanak serta memberi solusi dan jalan penyelesaian yang terbaik dalam sebarang itu yang dihadapi boleh meringankan bebanan yang ditanggung kerana mereka kemungkinan terbatas dari sudut maklumat, ilmu pengetahuan serta tindakan yang sepatutnya untuk diambil. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan telah mengarang sebuah buku yang terbaik dengan tajuk Tarbiyyah al-Aulad fi al-Islam yang mungkin boleh menjadi rujukan utama ibu bapa dalam isu seperti ini.

Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak seharusnya memelihara kesihatan kanak-kanak bawah jagaan mereka, dengan memberikan didikan yang benar tentang agama dan hukum-hakam kehidupan yang telah disebutkan oleh syara‘. Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala).”

(Surah al-Tahrim: 6)

Sekiranya mereka tidak berusaha untuk memberikan didikan yang baik kepada anak-anak mereka sehingga terlanjur melakukan perbuatan-perbuatan dosa, maka ketika itu ibu bapa atau penjaga yang akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan mereka. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتٍ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya.”

Riwayat Muslim (3408)

Semoga Allah SWT melindungi kita serta ahli keluarga dan kaum kerabat kita dari melakukan perbuatan dosa. Kami akhiri dengan doa:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dalam pengakhiran yang baik, dan janganlah Engkau matikan kami dalam pengakhiran yang buruk.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *