Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah nikmat harta dan umur itu merupakan ujian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(Surah al-An’am: 162)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Segala yang aku lakukan dalam kehidupanku, apa yang Allah takdirkan kepadaku, dan apa yang ditentukan untukku dalam kematianku, semuanya hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.282)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa sebagai seorang Muslim dan hamba kepada Pencipta yang telah mengurniakan pelbagai nikmat dalam kehidupan ini, kita hendaklah menzahirkan kesyukuran terhadap anugerah tersebut dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan. Ini termasuklah menggunakan harta dan umur kita untuk perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada-Nya. Penggunaan harta dalam kebajikan dan amal jariah, serta memanfaatkan umur untuk ibadah dan amalan baik, adalah bentuk kesyukuran yang sebenar.

Dalam Islam, kesyukuran terhadap nikmat bukan sahaja melalui ucapan tetapi juga melalui tindakan. Sebagai contoh, Allah SWT telah memerintahkan agar kita menggunakan harta kita untuk kebaikan seperti infaq, sedekah, dan zakat, serta memanfaatkan umur kita dengan amalan ibadah seperti solat, membaca al-Qur‘an, dan berzikir. Dengan cara ini, kita bukan sahaja menunjukkan kesyukuran tetapi juga memastikan bahawa kehidupan kita diberkati dan diberi keberkatan oleh Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا حَسَدَ إلّا في اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتاهُ اللَّهُ القُرْآنَ فَهو يَقُومُ به آناءَ اللَّيْلِ، وآناءَ النَّهارِ، ورَجُلٌ آتاهُ اللَّهُ مالًا، فَهو يُنْفِقُهُ آناءَ اللَّيْلِ، وآناءَ النَّهارِ.

Maksudnya: “Perasaan hasad dan dengki itu dilarang melainkan pada dua perkara iaitu: Ghibtah (dengki) terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Quran dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta lalu dia menginfaqkannya ke jalan Allah SWT sepanjang malam dan siang.”

Riwayat al-Bukhari (5025) dan Muslim (815)

Tidak diragukan lagi bahawa nikmat terbaik yang diberikan kepada seorang Muslim adalah nikmat dalam kehidupan dunia yang membantunya dan memberi manfaat untuk akhiratnya. Tidak diragukan juga bahawa antara nikmat yang paling mulia adalah nikmat ilmu dan Al-Qur‘an, diikuti dengan nikmat harta.

Setiap nikmat adalah seperti pedang bermata dua; jika digunakan dalam perkara yang mendatangkan keredhaan Allah dan sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, serta sesuai dengan tujuan pemberian nikmat tersebut, maka ia akan membawa kebaikan yang banyak kepada pemiliknya. Namun, jika ia disalahgunakan untuk tujuan yang bertentangan dengan apa yang telah disyariatkan, maka ia akan menjadi malapetaka bagi pemiliknya. (Lihat Fath al-Mun‘im Syarh Sahih Muslim, 3/628)

Segala nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT bertujuan untuk menguji hamba-Nya sama ada mereka tergolong dalam kalangan yang kufur atau tidak. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya:

قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

(Surah al-Naml: 40)

Ibn Jariri al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan: Dan barang siapa yang bersyukur atas nikmat dan kelebihan Allah kepadanya, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya sendiri, kerana tidak ada manfaatnya bagi selain dirinya; kerana Allah tidak memerlukan sesuatu dari makhluk-Nya. Allah hanya menyeru mereka untuk bersyukur agar mereka mendapat manfaat, bukan untuk menarik manfaat bagi diri-Nya dengan pujian mereka, atau untuk menghindari mudarat daripada-Nya. Dan barang siapa yang kufur terhadap nikmat dan kebaikan-Nya, serta kelebihan-Nya, maka dia menzalimi dirinya sendiri dan merugikan dirinya. Allah Maha Kaya daripada pujian mereka dan tidak memerlukan mereka. Kufurnya terhadap nikmat-Nya tidak memberi mudarat kepada Allah. Allah Maha Pemurah, dan dari kemurahan-Nya adalah memberi nikmat kepada mereka yang kufur terhadap-Nya dan menjadikan nikmat tersebut sebagai alat untuk melakukan maksiat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/75)

Justeru, nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya adalah ujian untuk mengukur sejauh mana hamba tersebut menunjukkan kesyukuran atau kufur terhadap kurniaan-Nya. Nikmat yang melimpah ruah seperti harta, kesihatan, dan umur panjang bukan hanya sekadar anugerah, tetapi juga amanah yang memerlukan kita untuk menggunakannya dengan cara yang diredhai oleh Allah.

Peri pentingnya hal ini perlu diambil pengajaran sebaik-baiknya berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Abu Barzah al-Aslami RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

Maksudnya: “Sentiasalah dua kaki hamba pada hari kiamat berada di situ sehingga ditanya tentang umurnya, bagaimana digunakannya, ilmu apa yang dilakukannya, harta dari mana diperolehinya dan ke mana diinfakkannya dan tubuhnya dengan apa dilakukannya.”

Riwayat al-Tirmizi (2417). Beliau menyatakan hadith ini hasan sahih

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”

Wallahu‘alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *