Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kenapa selawat ke atas Nabi disebut sekali, sedangkan salam disebut dengan penguatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511)

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa  menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.(Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa,hlm. 138-139)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Syeikh Ibrahim bin Mar’i al-Syabrakhiti antara lain katanya: Dita’kidkan dengan kalimat inna (إِنَّ) dan didahulukan dengan sebutan solat daripada Allah dan malaikat yang pertama kerana solat daripada Allah merupakan rahmah dan daripada malaikat memohon istighfar, yang demikian itu berlaku tanpa syak. Adapun yang keluar daripada sebahagian mereka, yakni orang ramai diperintahkan solat berserta dengan salam untuk mengeluarkan daripada sebarang kekurangan serta mematuhinya dan ini kerana berlakunya pengingkaran. (Lihat al-Futuhat al-Wahbiyyah bi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 76)

Kata Ibn al-Jauzi dalam Miftah al-Hisn, adapun menghimpunkan antara solat dan salam kepada Baginda SAW itu adalah lebih aula, sempurna dan afdhal. Hal ini berdasarkan nas ilahi:

صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Sebaliknya, jika hanya menyebut salah satu daripada keduanya sama ada solat atau salam, maka hukumnya adalah harus tanpa makruh. Hal ini berlaku dan disebut oleh ulama’ antaranya Imam Muslim dalam sahihnya. Begitu juga ulama lain sehingga Imam al-Syatibi menyebut dalam qasidahnya Lamiyyah dan Ra’iyyah. Imam al-Nawawi berkata: “Telah dinaskan ulama tentang makruh hanya selawat tanpa taslim. Aku tidak mengetahui mana-mana ulama’ pun yang berkata begitu.”

Marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW terutamanya pada setiap hari Jumaat.  daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 إذا سَمِعْتُمُ المُؤَذِّنَ، فَقُولوا مِثْلَ ما يقولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فإنَّه مَن صَلّى عَلَيَّ صَلاةً صَلّى اللَّهُ عليه بها عَشْرًا

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar mu’azzin melaungkan azan, maka katalah sebagaimana yang dia laungkan, kemudian selawatlah ke atasku. Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

Riwayat Muslim (384)

Daripada Anas bin Malik R.A, sabda Rasulullah SAW:

أَكْثِرُوا الصَّلَاةَ عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةَ الْجُمُعَةِ؛ فَمَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا

Maksudnya: “Perbanyakkan kamu berselawat keatasku pada hari Jumaat dan malamnya. Siapa yang berselawat ke atasku satu selawat, nescaya Allah selawat ke atasnya dengan sepuluh kali.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Kubra (3/249) dan Fadha’il al-Auqat (hlm. 499). Dinyatakan sebagai hasan dengan syawahidnya dalam al-Silsilah al-Sahihah (1407)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *