Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana khadijah mula mengenali baginda? Kisah Khadijah dan baginda mula jadi business partner?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

ما أبدَلَني اللهُ  خَيرًا منها، قد آمَنَتْ بي إذ كفَرَ بي الناسُ، وصدَّقَتْني إذ كذَّبَني الناسُ، وواسَتْني بمالِها إذ حرَمَني الناسُ، ورزَقَني اللهُ  ولَدَها إذ حرَمَني أولادَ النِّساءِ

Maksudnya: “Allah ‘Azza wa Jalla tidak memberikan ganti kepada aku dengan yang lebih baik daripadanya (Khadijah). Dia beriman dengan aku ketika orang lain kufur denganku. Dia membenarkanku ketika orang lain mendustakanku. Dia menghilangkan kegusaranku dengan hartanya ketika orang lain menahan hartanya daripadaku dan Allah mengurniakan rezeki kepadaku dengan anaknya, sedangkan Dia menghalang isteri-isteriku (yang lain) daripada melahirkan anak.”

Riwayat Ahmad (24864); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnadmenilainya sebagai sahih.

Ibn Ishaq berkata, “Khadijah binti Khuwailid adalah seorang wanita peniaga yang berkedudukan dan berharta. Dia menggunakan hartanya bagi mengupah beberapa orang lelaki dan menggandakan hasil jualan yang menguntungkan dirinya dan orang lain. Kabilah Quraisy adalah golongan peniaga. Ketika Khadijah mendapat tahu bahawa Muhammad seorang yang berkata benar, amanah, dan memiliki keperibadian yang baik, dia pergi bertemu dengan Muhammad dan menawarkan baginda untuk berniaga di Syam dengan wang perniagaannya. Khadijah memberikan tawaran dan upah yang lebih baik daripada tawaran yang diberikan kepada orang lain. Tawaran itu diberikan juga kepada seorang hamba milik Khadijah yang bernama Maisarah (Maisarah adalah seorang lelaki). Muhammad menerima tawaran tersebut dan keluar bersama hamba itu menuju ke Syam. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/187)

Menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali, Khadijah merupakan seorang perempuan yang berniaga, mempunyai kedudukan yang mulia dan berharta. Beliau mengupah golongan lelaki untuk menjalankan perniagaan dengan harta yang dimilikinya. Upah tersebut diberikan berdasarkan konsep mudharabah. Apabila sampai berita kepadanya bahawa Rasulullah SAW adalah seorang yang bercakap benar, sangat amanah dan berakhlak mulia, beliau lalu menghantar seseorang untuk menawarkan kepada Baginda untuk keluar berdagang dengan hartanya ke Syam. Khadijah juga berjanji untuk memberi sebaik-baik upah yang pernah diberikan kepada orang lain sebelum ini. Beliau juga menghantar hambanya, Maisarah untuk mengiringi Baginda SAW. Rasulullah SAW menerima tawaran Khadijah tersebut. Baginda pun berangkat menuju ke Syam sebagai pekerja yang berniaga dengan harta wanita yang memilihnya. Nampaknya, pertolongan Allah SWT menemani Baginda dalam perjalanan Baginda ke Syam pada kali ini, lebih daripada perjalanan Baginda sebelum ini bersama bapa saudaranya, Abu Talib. Keuntungan kali ini lebih besar. Kejayaan ini menggembirakan Khadijah.

Namun, perasaan kagumnya terhadap lelaki yang dipilihnya itu lebih mendalam. Khadijah adalah seorang wanita yang berketurunan mulia, banyak harta dan terkenal dengan sifat tegas dan bijak. Wanita seperti beliau sememangnya menjadi keinginan ramai pembesar Quraisy. Akan tetapi, Khadijah memandang lekeh terhadap kebanyakan lelaki Quraisy, kerana pada hakikatnya, mereka hanya inginkan harta, bukannya diri pemiliknya. Mata mereka merenung kepadanya dengan niat untuk mendapatkan harta yang dimilikinya, meskipun ketamakan itu terlindung di sebalik ikatan perkahwinan. Sebaliknya, apabila Khadijah mengenali Muhammad SAW, beliau mendapati baginda merupakan lelaki yang tidak sama dengan lelaki-lelaki lain. Beliau mendapatinya seorang lelaki yang tidak terpengaruh oleh sifat tamak dan keinginan yang tidak baik. Boleh jadi, ketika berurusan dengan lelaki lain, Khadijah mendapati mereka kedekut dan putar belit. Akan tetapi, pada diri Muhammad SAW, beliau melihatnya sebagai seorang lelaki yang didorong oleh kemuliaan akhlaknya untuk bertindak mulia dan bertolak ansur. Baginda SAW tidak tamakkan hartanya dan tidak memandang kecantikannya. Baginda SAW telah menunaikan amanah yang dipikulnya, kemudian beredar dalam keadaan redha dan diredhai. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 60)

Sepanjang perjalanan, Maisarah menyaksikan banyak peristiwa aneh dan mengagumkan bersama Nabi SAW. Dia juga melihat budi pekerti baginda yang mulia, ketinggian akhlak, serta kejujurannya. Semua itu diceritakan kepada Khadijah sekembalinya dari misi perdagangan yang menguntungkan. Setelah mendengar semua itu, dan setelah sebelumnya banyak mendengar dari orang lain, Khadijah akhirnya tertarik untuk menikah dengannya. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid Abd al-Karim, hlm. 65)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply