Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah perbezaan antara Sifat al-Ma’ani dan Sifat al-Ma’nawiyah? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan penulisan jawaban merungkai kemusykilan ini dengan mendulang pedoman Ilahi di dalam Kitab-Nya yang suci. Allah SWT berfirman di dalam Muhkam al-Tanzil:

ٱلَّذِی خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَیۡنَهُمَا فِی سِتَّةِ أَیَّامࣲ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ ٱلرَّحۡمَـٰنُ فَسۡـَٔلۡ بِهِۦ خَبِیرࣰا

Maksudnya: “(Dialah Allah) yang menciptakan langit-langit dan Bumi serta apa yang antara keduanya dalam tempoh enam masa kemudian Dia melakukan istiwa atas Arasy. Tanyalah tentang Tuhan yang Maha Pengasih daripada orang yang benar tahu tentang-Nya.”

(Surah al-Furqan: 59)

Ayat di atas hakikatnya mengajarkan kepada kita bahawa semua yang Allah khabarkan berkenaan segala sesuatu terutamanya berkenaan Zat dan Sifat-Nya adalah benar dan tidak boleh dipertikaikan. Ia wajib ditegaskan dan ditegakkan. Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas meriwayatkan tafsiran Salaf iaitu Imam Ibn Juraij terhadap ayat ini menerusi sanad beliau:

حَدَّثَنَا الْقَاسِمُ، قَالَ: ثَنَا الْحُسَيْنُ، قَالَ: ثَنِي حَجَّاجُ، عَنْ ابْنِ جُرَيْجٍ، قَوْلُهُ: ﴿فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا﴾ قَالَ: يَقُولُ لِمُحَمَّدٍ ﷺ: إِذَا أَخْبَرْتُكَ شَيْئًا، فَاعْلَمْ أَنَّهُ كَمَا أَخْبَرْتُكَ، أَنَا الْخَبِيرُ

“al-Qasim telah memberitahu kepada kami: al-Husayn telah memberitahu kepada kami: Hajjaj telah memberitahu kepada kami: Daripada Ibn Juraij tentang firman-Nya: [Tanyalah tentang-Nya daripada orang yang mengetahuinya], maksudnya: Allah berkata kepada Nabi Muhammad SAW, apabila Aku memberitahu kepadamu tentang sesuatu, maka ketahuilah sesuatu tersebut pasti benar sepertimana yang Aku khabarkan. Akulah yang Maha Mengetahui.” (Lihat Jami’ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 17/481)

Berhubung soalan di atas, sifat Maknawi atau bentuk plural baginya, Sifat Ma‘ani; atau nama lain baginya: Sifat al-Zat, Sifat al-Ikram, Sifat al-Thubut merupakan ciri-ciri atau sifat-sifat tambahan kepada Zat Allah SWT yang berada pada Zat-Nya (qa’im bi al-Zat).

Manakala, sifat al-Maknawiyyah adalah kelaziman bagi sifat-sifat Ma’ani dan berfungsi sebagai penegas atau penguat kepadanya sahaja di sisi sebahagian ulama mutaakhkhirin, sepertimana yang ditakrifkan oleh al-‘Allamah Ibrahim bin Ahmad al-Marighni. Ia diadakan untuk membantah pegangan Muktazilah yang mengatakan Allah SWT merupakan Ilmu, Qudrah, Sama’, Basar tanpa pengetahuan, tanpa kekuasaan, tanpa pedengar, tanpa pelihat. (Lihat al-Syazarat al-Zahabiyyah, hlm. 46)

Al-‘Allamah ‘Abd al-Majid al-Syarnubi al-Azhari berdendang menjelaskan erti Sifat al-Maknawiyyah di dalam matan ilmu Akidah yang beliau karang:

وَسَبْعَةٌ قَدْ لَازَمَتْهَا تُدْعَـــى     بِمَعْنَوِيَةٍ فَأَلْــــقِ السَّمْعَــــــــا

كَكَوْنِهِ حَيّْا مُرِيدًا قَــــــادِرًا      وَفِي ثَبُوتِهَا خِلَافٌ قَدْ جَرَى

وَ الْحَقُّ الاِسْتِغْنَاءُ باِلْمَعَانِي      عَنْهَا كَمَا حُقِّقَ بِالْبُرْهَــــــــانِ

“Dan tujuh sifat yang melaziminya (sifat-sifat Ma’ani) yang digelar:

Sifat Maknawiyah namanya, maka dengarlah dengan benar.

Iaitu kaun-Nya Hidup, berkehendak, berkuasa,

Dan pada kewujudannya; ada khilaf yang berleluasa.

Yang tepat itu, berpada dengan Sifat Ma’ani;

Seperti yang ditegaskan oleh ulama berteras bukti.”

(Lihat al-Aqa‘id al-Syarnubiyyah, hlm. 56)

Berdasarkan tafsiran di atas, sifat Maknawiyah berfungsi sebagai penegas dan penguat semata. Oleh yang demikian, Imam al-Sanusi tidak menolak konsep Sifat Maknawiyah di dalam kitab Sughra al-Sughra.

Selain daripada itu, para ulama mutaakhkhirin juga menegaskan Sifat al-Maknawiyah kerana mereka mendukung teori al-Ahwal yang dipelopori oleh Abu Hisyam al-Jubba’i. Teori ini menegaskan bahawa al-Hal (الحَالُ) adalah sesuatu keadaan pertengahan antara maujud (perkara yang ada nyata) dan ma’dum (perkara yang tiada).

Syeikh Dr. Nizar Hammadi berkata: “Di sisi mereka ini, sifat-sifat Maknawiyah merupakan ciri tambahan (amr za’id) kepada sifat al-Ma’ani, kewujudan sifat Ilmu semata belum mencukupi, ia memerlukan kepada keadaan Zat itu mempunyai pengetahuan. Keadaan berpengetahuan ini juga berbeza dengan kriteria maujud iaitu sifat-sifat al-Wujudiyah seperti sifat Ilmu dan Kudrah yang ada secara mutlak pada Zat, ia juga berbeza dengan ma’dum iaitu sifat-sifat al-Salbiyah yang abstrak, dan tiada secara realiti.” (Lihat komentar beliau ke atas kalam Imam al-Marighni di dalam al-Syazarat al-Zahabiyah, hlm. 57)

Selain itu, dikatakan ada juga perbezaan antara sifat Ma’ani dengan Sifat Maknawiyyah. Syeikh Dr. Sa‘id ‘Abd al-Latif Foudah juga menjelaskan perbezaannya dari sudut yang mendalam:

وقالوا: الفرق بين المعاني والمعنوية أن المعاني وجودية تعقل ذهنا وخارجا، والمعنوية ثبوتية تعقل ذهنا لا خارجا.

“Mereka (ulama) berkata: Perbezaan antara Ma’ani dan Maknawiyah adalah kewujudan Ma’ani boleh difikirkan dari sudut zihni (akal) dan luaran. Manakala kewujudan Maknawiyah, hanya wujud pada akal zihni semata, tiada pada luaran.” (Lihat Tahzib Syarh al-Sanusiyyah, hlm. 43)

Kesimpulan definisinya adalah seperti berikut:

Sifat Maknawi [الْمَعْنَوِي] Sifat yang ada pada Zat secara mutlak dan menyatu. Wujudnya pada realiti adalah nyata.
Sifat Maknawiyyah [الْمَعْنَوِيةُ] Kelaziman sifat Ma’ani, sebagai penguat dan kadar tambah menunjukkan kemampuan berfungsi yang hakiki. Ia hanya wujud secara abstrak sahaja.

Berdasarkan penjelasan di atas, kami cenderung kepada pendirian para ulama dan fuqaha dalam kalangan Salafussoleh dan ulama Mutaqaddimin al-Asya‘irah tidak membezakan di antara Sifat Maknawi dan Sifat Maknawiyyah; ini juga merupakan pendapat yang ditarjih oleh ulama al-Asya’irah seperti Imam al-Syarnubi dan Imam al-Marighni. Imam Murtadha al-Zabidi berkata:

وَإِنَّمَا سُمِّيَتْ صِفَاتُ الْمَعَانِي لِأَنَّهَا صِفَاتٌ مَوْجُودَةٌ فِي نَفْسِهَا، وَكُلُّ صِفَةٍ مَوْجُوْدَةٍ فِي نَفْسِهَا تُسَمَّى صِفَةُ مَعْنَى; لِأَنَّهَا مَعَانٍ زَائِدَةٌ عَلَى مَعْنَى الذَّاتِ الْعَلِيَّةِ، وَعِنْدَ الْمُتَقَدِّمِينَ لَا فَرْقَ بَيْنَ الْمَعَانِي وَالْمَعْنَوِيَّةِ

Maksudnya: “Dinamakan sifat al-Ma’ani dengan nama tersebut kerana ia merupakan sifat yang wujud dengan benar, dan setiap sifat yang wujud dengan maknanya sendiri dinamakan sifat Ma’na; kerana ia merupakan ciri tambahan ke atas makna Zat yang Maha Tinggi. Dan di sisi para ulama mutaqaddimin, tiada perbezaan antara sifat Ma’ani dan sifat Ma’nawiyyah.” (Lihat Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 2/26)

Justeru, kami katakan bahawa dalam pandangan yang kuat di sisi Asya’irah, sifat yang dibahaskan hanya 13 sifat tanpa sifat Ma’nawiyyah kerana sifat tersebut dianggap berlaziman dengan sifat Ma’ani itu. Mereka begitu mencermati yang bahawa sifat Allah yang bersifat Kamalat (kesempurnaan) dan layak bagi-Nya amat banyak, tetapi yang ditekankan secara khusus sebanyak 13 atau 20 sifat jika termasuk dengan sifat Ma’nawiyyah. Kerana itulah kata pengarang kitab Matan Sanusiyyah:

فَمِمَّا يَجِبُ لِمَوْلَانَا عَزَّ وَجَلَّ عِشْرُونَ صِفَة

Maksudnya: Daripada apa yang wajib bagi Tuhan kami yang Mulia adalah dua puluh sifat. (Lihat Matan Sanusiyyah, hlm. 41)

Nas dengan memulakan ‘فَمِمَّا يَجِبُ’ memberi mafhum bahawa ia adalah sebahagian kerana ‘min’ di situ memberi maksud sebahagian atau tab’idhiyyah (تَبْعِيْضِيَّة).

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Kepada-Mu aku bersujud, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah. Aku sujudkan wajahku ini kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya, dan memberikannya pendengaran dan penglihatan. Maha Berkat Diri-Mu, sebaik-baik pencipta.”

 

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *