Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, mohon Datuk Seri jelaskan berkenaan Sifat al-Idrak. Apakah pandangan ulama akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah berkenaannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan membawa firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Majid:

لَّا تُدۡرِكُهُ ٱلۡأَبۡصَـٰرُ وَهُوَ یُدۡرِكُ ٱلۡأَبۡصَـٰرَۖ وَهُوَ ٱللَّطِیفُ ٱلۡخَبِیرُ

Maksudnya: “Dia tidak boleh digapai oleh mana-mana penglihatan (di dunia); sedangkan Dialah yang menggapai segala sesuatu yang melihat. Dan Dialah yang Maha Halus lagi Maha Mengerti.”

(Surah al-An‘am: 103)

Imam Abu Hayyan al-Andalusi al-Asy‘ari berkata menafsirkan ayat di atas:

﴿وهُوَ يُدْرِكُ الأبْصارَ﴾ مَعْناهُ: لا يَخْفى عَلَيْهِ شَيْءٌ، وخَصَّ الأبْصارَ لِتَجْنِيسِ الكَلامِ يَعْنِي المُقابَلَةَ

“[Dan Dialah yang menggapai seluruh penglihatan] maknanya: Tiada sesuatu perkara pun yang tersembunyi daripada-Nya (Dia boleh menggapai semua perkara), dan dikhususkan segala penglihatan di sini adalah kerana bagi menyerasikan bentuk ayat dengan konteks yang sebelumnya, konsep ini dinamakan sebagai al-muqabalah.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 4/606)

Sifat al-Idrak di sisi ulama Usuluddin dan ahli Kalam pula adalah kemampuan segenap pancaindera untuk berfungsi dan menggapai sesuatu menurut jenisnya seperti sesuatu yang boleh dirasa, disentuh dan dihidu.

Adapun sifat al-Idrak bagi hak Allah SWT adalah sepertimana yang dinyatakan oleh Muhaqqiq dalam kalangan mutaakhkhirin al-Asya‘irah, Imam Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri mentakrifkannya: “Sifat al-Idrak pada makhluk adalah perbuatan mengetahui dengan benar hakikat sesuatu perkara yang digapai; adapun sifat ini bagi Allah SWT adalah merupakan sifat yang qadim dan azali yang dinamakan sebagai al-Idrak. Dikatakan: Sifat ini berfungsi menggapai setiap perkara yang wujud. Dikatakan juga: Sifat ini berfungsi menggapai sesuatu yang boleh disentuh seperti kelembutan, setiap perkara yang boleh dihidu seperti bau-bauan, setiap perkara yang boleh dirasa seperti rasa manis tanpa sebarang pertalian atau sambungan dengan objek tersebut yang merupakan sebuah jisim. Tiada sebang kaifiat bagi sifat ini, kerana kewujudan kaifiat hanyalah adat semata dalam menghasilkan gapaian dan boleh sahaja ia (kaifiat) dipisahkan.” (Lihat Tuhfah al-Murid Syarh Jauharah al-Tauhid, hlm. 121)

Sifat al-Idrak: Antara al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah

Berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan al-Asya‘irah dalam mengisbatkan Sifat al-Idrak. Imam Ibrahim al-Laqqani berkata di dalam matan Jauharah al-Tauhid:

فَهَلْ لَهُ إِدْرَاكٌ أَوْ لَا خُلْفٌ     وَعِنْدَ قَوْمٍ صَحَّ فِيهِ الْوَقْفُ

“Adakah Allah mempunyai sifat al-Idrak atau tidak; ada khilaf (berbeza dapatan);

Sebahagian ulama pula telah sabit mereka berwaqaf (tidak mengambil pendirian).”  

Sebahagian mutakallimin dalam kalangan mazhab al-Asya‘irah menyatakan bahawa sifat al-Idrak merupakan sifat yang sabit pada Allah SWT dan ia berbeza daripada sifat Ilmu, Pedengar dan Pelihat. Dan sifat gapaian ini tidak sama dengan gapaian para makhluk. Ini merupakan ikhtiar Imam Abu Bakr al-Baqillani dan diikuti oleh Imam Abu al-Ma‘ali al-Juwaini (Imam al-Haramain) yang menilainya sebagai al-qaul al-sahih di dalam mazhab.

Imam Abu al-Ma‘ali al-Juwaini al-Asy‘ari berkata: “Jika ditanya: Kalian (Ahli al-Sunnah) telah mengisbatkan sifat-sifat Wajib bagi Tuhan seperti sifat Mendengar, Melihat dan bersamanya sifat Ilmu juga. Adakah kalian mengisbatkan sifat al-Idrak yang menggapai seluruh kewujudan bagi-Nya? Kami nyatakan: yang sahih di sisi kami adalah mengisbatkannya (al-Idrak); dan sesuatu yang mendorong kepada adanya ilmu, pendengaran dan penglihatan, turut mendorong kepada adanya gapaian kepada seluruh sesuatu.” (Lihat al-Irsyad ila Qawati‘ al-Adillah fi Usul al-I‘tiqad, hlm. 186)

Sebahagian ulama al-Asya‘irah pula menafikannya sebagai salah satu Sifat Allah. Mereka juga dilihat menafsirkan lafaz al-Idrak di dalam nas-nas syarak sebagai ilmu. Ini merupakan pendapat Imam ‘Adhuddin al-Iji, Imam al-Baidhawi dan lain-lain dalam kalangan al-Asya‘irah. Sebahagian yang menolak adalah kerana:

  1. Tiada dalil daripada syarak yang mengisbatkannya;
  2. Menafikan sebarang al-ittisal (sambungan, pertalian) antara Allah dengan makhluk.

Namun, pendapat ini dikritik oleh para ulama besar dalam kalangan al-Asya‘irah sendiri.

Manakala sebahagian ulama al-Asya‘irah pula bertawaqquf iaitu tidak mengambil pendirian; dengan tidak mengisbatkannya dan tidak menafikannya kerana ketiadaan dalil untuk isbat mahupun nafi. Ini merupakan jalan yang lebih selamat di sisi sebahagian ulama.

Mazhab Maturidi pula berpendapat bahawa al-Idrak adalah Sifat Ilmu bagi Allah. Imam Kamaluddin al-Bayadhi Zadah al-Busnawi al-Maturidi mengungkapkan pendapat ini seraya berkata: “Hal ini kerana, tidak masuk akal untuk memisahkan Idrak daripada jenis-jenis usaha dan potensi menggapai sebarang ilmu; kerana tiada sebarang perbezaan antara gapaian (terhadap sesuatu perkara) dengan pengetahuan (terhadap sesuatu maklumat).” (Lihat Isyarat al-Maram fi ‘Ibarat al-Imam, hlm. 107)

Manakala dalam kalangan al-Hanabilah atau al-Athariyyah yang kerap digelar Ahli al-Hadith, tiada perbahasan yang mendalam berkenaan sifat al-Idrak kerana sifat ini tidak disebutkan secara khusus di dalam al-Quran, hadith, athar-athar para Salafussoleh terutamanya kalam-kalam Imam Ahmad bin Hanbal dan sekalian ashab beliau.

Konklusi Polemik Sifat al-Idrak

Kesimpulan khilaf ini adalah seperti jadual di bawah berikut:

Qaul Muktamad al-Asya‘irah Qaul Muktamad al-Maturidiyyah
Sifat al-Idrak merupakan sebuah sifat yang khusus yang berbeza daripada sifat Ilmu, sepertimana yang ditegaskan oleh Imam Abu Bakr al-Baqillani dan diikuti oleh Imam al-Juwaini dan majoriti al-Asya‘irah.

 

Sebahagian mereka menafikan, sebahagian lagi berdiam diri dan tidak mengambil sebarang pendirian.

Sifat al-Idrak merupakan suatu potensi yang sama sahaja dengan Sifat Ilmubahkan termasuk di dalam kemampuan ilmu-Nya, seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Bayadhi dan majoriti Mutakallimin.

Kesimpulannya, sifat al-Idrak merupakan kemampuan menggapai setiap perkara yang boleh disentuh, dirasa dan dihidu. Sebahagian ulama al-Asya’irah mengisbatkan sifat ini kepada Allah dengan konsep yang berbeza dengan makhluk dan tanpa sebarang kaifiat, ini merupakan pendapat Imam al-Baqillani dan Imam al-Haramain. Manakala, ulama al-Maturidiyyah menganggapnya sebagai salah satu terjemahan sifat Ilmu bagi Allah. Kami lebih cenderung kepada meraikan kedua-dua pendapat ulama al-Asya‘irah yang bertawaqquf (berdiam diri, tidak isbat mahupun nafi) kerana ketiadaan dalil yang jelas berkenaannya. Ini lebih menepati prinsip akidah Salafussoleh berkaitan ayat Sifat yang tidak mentakwil atau menambah apa-apa berkenaan Zat dan Sifat Allah tanpa sebarang hadith dan athar. Kami juga menafsirkan lafaz al-Idrak di dalam nas-nas syarak sebagai gapaian Ilmu-Nya yang menyeluruh sepertimana tafsiran Imam al-Baidhawi dan Imam al-Iji.

Begitu juga, dengan pendapat Baqillani dan Imam Haramain yang mengisbatkan sifat ini kepada Allah dengan konsep yang berbeza dengan makhluk dan tanpa sebarang kaifiat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ يَسِّرْنا لليُسْرَى، وَجَنِّبْنا العُسْرَى، واغْفِرْ لَنا في الآخِرَةِ والأولى، وَاجْعَلْنا مِنْ أئمَّةِ المُتَّقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, permudahkanlah segala kebaikan buat kami. Hindarkanlah segala kesukaran. Ampunkanlah kami di dunia dan di akhirat. Jadikanlah kami para pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *