Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mandi wajib tetapi menggunakan shampoo dan sabun seperti biasa, contohnya niat mandi wajib dan terus mandi menggunakan shampoo dan sabun seperti biasa (air rata ke seluruh badan)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 222)

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa mandi wajib tujuannya adalah untuk mengangkat hadas besar. Justeru, mandi wajib hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Keduanya, pada asasnya para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, air yang bercampur dengan sabun/shampoo tidak dikira sebagai air mutlak. Justeru, jika dimaksudkan adalah dengan menggunakan air sabun/shampoo semata-mata, maka ia tidak memadai bagi mengangkat hadas besar tersebut. Sekalipun begitu, kebiasaannya sabun/shampoo hanya digunakan sebagai alat bantuan dalam menghilangkan kotoran di badan dan kepala, di samping menambahkan lagi seri dan wangian di tubuh badan, kemudiannya sabun/shampoo  tersebut akan dibilas pula dengan air bersih sehingga ia hilang.

Oleh yang demikian, kami katakan bahawa menggunakan shampoo ketika mandi wajib adalah tidak mengapa dan diharuskan. Ini kerana anggota tubuh badan dan kepala yang disabun akan dibilas semula dengan air mutlak. Justeru, sah mandi wajib yang dilakukan dengan syarat air itu diratakan dan sampai ke seluruh rambut dan badan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *