#717 Menjawab Azan dalam Tandas

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah saya boleh menjawab azan ketika berada dalam tandas dan sedang qadha’ hajat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/113)

Selain itu, disunatkan bagi seseorang itu untuk mendengar azan yang dilaungkan oleh muazin dan menjawabnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya:Apabila kamu mendengar seruan muazin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.”

Riwayat Muslim (384)

Bahkan menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, disunatkan kepada sesiapa yang mendengar azan untuk menjawabnya, tidak kira orang tersebut dalam keadaan suci ataupun berhadas, orang yang berjunub atau perempuan yang sedang haid, orang dewasa mahupun kanak-kanak. Hal ini kerana mereka itu kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli zikir. Begitu juga dikecualikan daripada hal ini — yakni menjawab azan — orang yang sedang mendirikan solat, yang sedang berada di dalam tandas dan yang sedang berjimak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/190;  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami melihat ia berkait rapat dengan larangan bercakap-cakap ketika qadha’ hajat (buang air). Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa makruh berzikir dan berkata-kata ketika sedang qadha’ hajat sama ada ketika berada di padang pasir atau di dalam binaan — yakni tandas. Termasuk dalam larangan tersebut semua percakapan dan zikir-zikir, melainkan dalam keadaan adanya keperluan mendesak. (Lihat al-Azkar, hlm. 76-77)

Bahkan Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hukum makruh bercakap-cakap ketika qadha’ hajat (buang air) ini adalah berdasarkan kesepakatan para ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/88)

Perkara ini adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْه

Maksudnya:Seorang lelaki lalu ketika Rasulullah SAW buang air kecil. Dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawabnya.”

Riwayat Muslim (370)

Begitu juga hadith daripada Abu Sa‘id R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَخْرُجْ الرَّجُلاَنِ يَضْرِبَانِ الْغَائِطَ كَاشِفَيْنِ عَنْ عَوْرَتِهِمَا يَتَحَدَّثَانِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَمْقُتُ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya:Janganlah keluar dua orang menuju ke tempat buang air dalam keadaan aurat terbuka sambil bercakap-cakap ketika buang air, kerana Allah SWT murka terhadap perbuatan tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (15)

Selain itu, sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, apabila seseorang bersin — ketika sedang qadha’ hajat — maka tidak perlu mengucapkan tahmid — yakni ‘alhamdulillah’ — mahupun mendoakan orang bersin, tidak perlu menjawab salam dan azan. Ucapan atau percakapan dalam keadaan ini kesemuanya adalah makruh tanzih dan bukannya haram. (Lihat al-Azkar, hlm. 77)

Oleh itu, jelaslah bahawa menjawab azan ketika sedang qadha’ hajat adalah makruh kerana ia termasuk dalam jenis percakapan. Begitu juga dilarang daripada menjawab azan ketika berada di dalam tandas kerana azan mengandungi zikir dan nama Allah SWT. Justeru, larangan tersebut adalah bertujuan bagi menjaga kesucian nama Allah SWT. Lebih-lebih lagi tandas merupakan tempat yang dianggap kotor. Hal ini adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika menanggalkan cincinnya yang tertera nama Allah SWT sebelum menunaikan hajat (qadha’ hajat). Daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ إذا دخَلَ الخلاءَ وضعَ خاتَمَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila memasuki tandas Baginda akan menanggalkan cincinnya.”

Riwayat Abu Dawud (19), al-Tirmizi (1746) dan al-Nasa’ie (5213)

Walau bagaimanapun, seseorang itu dibenarkan untuk menjawabnya dalam hati. Ini adalah sebagaimana yang difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa sekiranya orang yang sedang qadha’ hajat itu bersin, lalu mengucapkan ‘alhamdulillah’ dalam hatinya tanpa menggerakkan lidahnya, maka tidak mengapa. Demikianlah juga halnya bagi orang yang sedang berjimak. Selain itu, Imam al-Nawawi juga menyebutkan bahawa mereka boleh menjawabnya — yakni mengqadha’nya — setelah selesai urusan qadha’ hajat (buang air) atau berjimak sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang al-Hawi dan selainnya. (Lihat al-Azkar, hlm. 77; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menjawab azan ketika sedang qadha’ hajat adalah makruh kerana ia termasuk dalam percakapan yang dilarang. Begitu juga tidak dibenarkan menjawab azan ketika berada dalam tandas kerana azan mengandungi zikir dan nama Allah. Justeru, larangan itu adalah bertujuan bagi memelihara kesucian nama Allah SWT.

Walau bagaimanapun, orang yang sedang berada di dalam tandas atau yang sedang qadha hajat boleh menjawabnya di dalam hati ataupun menunggu sehingga selesai urusan qadha’ hajat tersebut, kemudian barulah menjawabnya — yakni mengqadha’nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *