Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum tidak sunat anak perempuan dan sekiranya dia sekarang sudah remaja, apakah masih perlu untuk saya membawa anak saya sunat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Manusia itu sempurna kerana menuruti fitrahnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tuhan Maha Kuasa mengutuskan para Rasul dan mengakhirkan risalah-Nya dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW; membawa syariat yang paling lengkap, sempurna dan gemilang. Antara tuntutan syariat Rasulullah SAW adalah melaksanakan lima tuntutan asas fitrah.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الفِطْرَةُ خَمْسٌ: الخِتانُ، والِاسْتِحْدادُ ، ونَتْفُ الإبْطِ، وقَصُّ الشَّارِبِ، وتَقْلِيمُ الأظْفارِ

Maksudnya: “Lima perkara yang merupakan asas kepada fitrah manusia: berkhatan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, mencukur misai, memotong kuku.”

Riwayat al-Bukhari (6297)

Antara makna fitrah adalah amalan sunnah, fitrah juga boleh difahami sebagai fitrah umat Islam yang mesti dilakukan sebagai penganutnya. Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi‘i berkata ketika mensyarahkan hadith di atas:

“Fitrah di sini asalnya bermaksud sunnah kerana baginda menjadikan sebilangan besar amalan di dalam hadith ini sebagai sunnah, demikianlah yang dihujahkan oleh Ibn al-Qasar. Dan fitrah juga dimaksudkan sebagai fitrah Islam, iaitu perbuatan dan kebiasaan penganutnya. Ia berasal daripada firman Allah SWT: “ (Allah) yang memulakan penciptaan langit-langit dan bumi.” [Fatir: 1] Iaitu: yang menciptakan keduanya. (Fitrah) bermaksud tanda utama, simbol utama bagi orang yang menganut Islam, ia merupakan syiar kaum Muslimin.” (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 29/160)

Penghujahan fitrah dengan makna sunnah yang digagaskan oleh Ibn al-Qassar ini menjadi hujah bagi fuqaha al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah yang beranggapan bahawa hukum berkhatan adalah sunat sahaja bagi kedua-dua jantina, baik lelaki mahupun perempuan.

Berhubung dengan soalan di atas iaitu berkenaan hukum berkhatan bagi perempuan, terdapat tiga pendapat di dalam mazhab al-Syafi‘iyyah sendiri seperti berikut:

  1. Wajib ke atas lelaki dan perempuan, ini merupakan pendapat Imam al-Nawawi dan merupakan muktamad mazhab al-Syafi‘i
  2. Sunat ke atas lelaki dan perempuan, ini merupakan pendapat Imam al-Rafi‘i
  3. Wajib ke atas lelaki, sunat ke atas perempuan; dinukilkan oleh Imam al-Rafi‘i dan dinilai syaz(ganjil dan silap) oleh Imam al-Nawawi.

Pendapat rasmi dan muktamad mazhab al-Syafi‘i menegaskan bahawa hukum berkhatan atau bersunat bagi lelaki dan wanita adalah wajib. Imam Muhyiddin al-Nawawi berkata:

“Berkhatan/bersunat itu wajib ke atas lelaki dan wanita di sisi kami (al-Syafi‘iyyah) dan ini merupakan pendapat ramai para ulama Salaf seperti yang dihikayatkan oleh Imam al-Khattabi, dan antara ulama yang turut mewajibkannya adalah Imam Ahmad bin Hanbal.” (Lihat al-Majmu ‘ Syarah al-Muhazzab, 1/300)

Dalil bagi kewajiban berkhitan di sisi muktamad mazhab al-Syafi‘i adalah:

  1. Arahan Allah SWT di dalam nas al-Quran agar menuruti Millah Ibrahim

al-Quran mengarahkan kita untuk menuruti Millah Ibrahim, iaitu ajaran dan amalan Nabi Ibrahim. Antara amalan baginda adalah semua tuntutan fitrah yang dinyatakan di dalam hadith Nabi SAW di atas, antaranya adalah berkhatan. Semua itu wajib ke atas Nabi Ibrahim, maka semua itu turut  wajib juga ke atas diri kita selaku umat Islam.

Imam al-Nawawi menghujahkan bahawa: “Ayat jelas menunjukkan bahawa mengikuti (millah dan ajaran) baginda (Ibrahim) pada segala perilakunya; dan ini mendorong kepada konteks mewajibkan semua arahan tersebut melainkan apa yang dalil katakan bahawa ia adalah sunnah bagi kita (manusia biasa) sepertimana bersiwak dan seumpamanya. Imam al-Khattabi menukilkan bahawa semua perkara fitrah  yang dinyatakan oleh Nabi SAW di dalam hadith tuntutan fitrah adalah wajib ke atas Nabi Ibrahim AS.” (Lihat al-Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 1/298-299)

  1. Keharusan mendedahkan aurat untuk sesebuah tujuan menandakan kewajiban perkara yang menjadi tujuan tersebut. Kemestian anggota ini untuk dipotong adalah tanda kewajibannya.

Konsep ini diilhamkan daripada dalil Qiyas. Imam al-Nawawi menukilkan hujah para ashab al-Syafi‘iyyah seperti Imam Abu Ishaq al-Syirazi di dalam kitab al-Khilaf dan Imam Abu Hamid al-Ghazali di dalam kitab al-Wasit yang menuruti nas para ashab al-wujuh seperti Imam Ibn Surayj, ujar al-Nawawi:

“Jika berkhatan itu sunat, tidak boleh mendedahkan bahagian aurat yang mana asalnya itu adalah diharamkan untuk ditunjukkan kepada sesiapa, ini yang dipegang oleh penulis (Imam al-Syirazi) di dalam kitabnya al-Khilaf dan juga Imam al-Ghazali di dalam kitab al-Wasit serta ramai para ulama, di atas dalil Qiyas. Mereka berkata: Berkhatan itu adalah tindakan memotong anggota yang asalnya tidak dipotong; jika ia tidak wajib, maka tidak boleh memotongnya sepertimana hukum memotong jari. Jika kita potong jari seseorang yang tidak perlu dipotong, maka itu adalah tidak dibolehkan melainkan ia menjadi wajib kerana Qisas.” (Lihat al-Majmu ‘ Syarah al-Muhazzab, 1/300)

Adapun bagi pendapat yang memandangnya wajib bagi lelaki, dan sunat bagi perempuan; mereka berdalil dengan hadith:

الخِتَانُ سُنَّةٌ لِّلرِّجَالِ وَمَكْرَمَةٌ لِلنِّسَاءِ

Maksudnya: “Berkhatan itu adalah sunnah (yang diwajibkan) bagi lelaki dan kemuliaan (yang digalakkan; sunat muakkad sahaja) ke atas wanita.”

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Kabir (7112); dinilai dhaif oleh Imam al-Baihaqi di dalam al-Khilafiyyat (5202) kerana perawi bernama Hajjaj bin Arta’ah, turut dinilai dhaif oleh Ibn al-Mulaqqin di dalam Syarh al-Bukhari(29/160)

Khusus bagi berkhatan untuk perempuan, amalan ini telah dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW lagi hinggalah kini. Ummu ‘Atiyyah; Nusaibah binti Ka‘b RAnha meriwayatkan bahawa:

أَنَّ امْرَأَةً كَانَتْ تَخْتِنُ بِالْمَدِينَةِ فَقَالَ لَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَنْهَكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ وَأَحَبُّ إلَى الْبَعْلِ

Maksudnya: “Bahawa perempuan di Madinah turut dikhatankan pada zaman Nabi. Nabi SAW berkata kepada Ummu ‘Atiyyah: “Janganlah berlebihan dalam memotong anggota tersebut. Itu lebih menguntungkan wanita, dan disukai oleh suami kelak.”

Riwayat Abu Daud (5271); dinilai daif oleh Ibn al-Qattan al-Fasi di dalam Bayan al-Wahm wa al-Iham (3/265) namun hadith ini boleh dikuatkan. al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani berkata: Hadith ini mempunyai dua jalur lain yang menyokongnya. Rujuk: Fath al-Bari (10/353)

Sebagai kesimpulannya, kami tegaskan di sini bahawa hukum mengkhatan atau bersunat bagi perempuan adalah wajib menurut mazhab al-Syafi‘i. Di samping itu, ada pendapat lain yang sekadar menghukumnya sebagai amalan sunat dan dianjurkan semata. Namun dalam situasi di mana perempuan tersebut telah meningkat usia remaja dan mencapai usia baligh, kami berpandangan tidak perlu untuk dikhatankannya. Ini kerana ia dianjurkan untuk dilakukan ketika masih di usia kecil bukan ketika meningkat remaja ditambahkan lagi ia melibatkan auratnya yang mughallazah iaitu auratnya yang berat. 

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *