Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apa hukum saya bergaduh dengan orang yang menghina alim ulama, sebab saya geram sangat. Semua perkara dia ulas dan tunjuk pandai, sama ada hal duniawi atau ukhrawi walhal dia seorang yang jahil. Saya pun seorang yang jahil juga.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman berkenaan ketinggian darjat para ulama dalam al-Quran al-Karim, selepas kita memohon perlindungan-Nya dari syaitan yang direjam, firman-Nya:

یَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتࣲۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣱ

Maksudnya: “Allah mengangkat darjat orang yang beriman dalam kalangan kalian dan juga orang yang berilmu dengan ketinggian beberapa darjat di atas orang biasa. Dan Allah Maha Mengetahui segala apa yang kalian lakukan.”

(Surah al-Mujadalah: 11)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah mengangkat darjat orang yang beriman kerana ketaatan mereka kepada Rasul-Nya dan mereka berdiri untuk memberi ruang dan keluasan kepada saudara mereka di dalam majlis ilmu. Begitu juga Allah mengangkat darjat iranf yang berilmu dalam kalangan orang beriman kerana kelebihan ilmu dan merit amalan mereka, siapa yang lebih dahulu melakukan kebaikan. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/46).

Allah SWT juga berfirman dalam Kitab-Nya yang mulia:

شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ وَأُو۟لُوا۟ ٱلۡعِلۡمِ قَاۤىِٕمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡحَكِیمُ

Maksudnya: “Allah bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Dia; bersaksi juga selepas-Nya, para malaikat, para ulama yang berdiri teguh di atas kebenaran hujah. Tiada Tuhan selain Dia yang Maha Unggul lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi menafsirkan ayat di atas ini dengan menyatakan, ayat ini merupakan dalil keutamaan ilmu, serta kemuliaan para ulama dan keutamaan mereka; kerana jika ada kelopmpok yang lebih mulia berbanding ulama, nescaya sudah lama kelompok itu disebutkan oleh Allah bersama nama Malaikat-Nya, seperti mana yang dilakukan kepada para ulama. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 4/41)

Ulama adalah para wali Allah. Mereka adalah termasuk dalam kalangan kekasih Allah SWT. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman dalam Hadith Qudsi:

مَن عادَى لي وَلِيًّا فقَدْ آذَنْتُهُ بالحَرْبِ

Maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku maka aku mengisytiharkan perang terhadap dirinya.”

Riwayat al-Bukhari (6502)

Imam Ibn Hubairah menjelaskan, makna lafaz “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku” adalah menjadikannya sebagai musuh, dan tiada maksud yang lain melainkan seseorang itu memusuhi seorang wali atas dasar kewaliannya dan kedekatan dirinya bersama Allah; hadith ini mengisyaratkan amaran dan ancaman daripada menyakiti hati para wali Allah SWT secara mutlak.” (Lihat al-Ifsah ‘an Ma‘ani al-Sihah, 7/303)

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan menerusi sanadnya daripada al-Imam al-A‘zam Abu Hanifah bahawa beliau berkata:

إِنْ لَمْ يَكُنْ الْفُقَهَاءُ أَوْلِيَاءِ اللهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ وَلِيٌّ

Maksudnya: “Sekiranya para ulama fiqh itu bukan para wali Allah, maka Allah itu tidak mempunyai sebarang wali di dunia ini.”

(Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 1/36)

Menyakiti hati para ulama bererti menyakiti hati Rasulullah SAW. Imam al-Nawawi meriwayatkan menerusi sanadnya daripada jalur ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata:

إِيَّاكُمْ أَنْ تُؤْذُوا أَحَدًا مِنَ الْعُلَمَاءِ؛ فَإِنَّ مَنْ آذَى عَالِمًا فَقَدْ آذَى رَسُولَ اللهِ ﷺ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu daripada menyakiti sesiapa pun dalam kalangan ulama. Sesiapa yang menyakiti seorang alim, maka dia telah menyakiti hati Rasulullah SAW.” (Lihat Kitab al-‘Ilm, hlm. 179)

Berhubung dengan perbuatan bergaduh kerana ingin menegakkan kebenaran, betapa indahnya pedoman Nabi Muhammad SAW dalam perkara ini, Abu Umamah al-Bahili R.A meriwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda:

أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقٍّا، وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحٍا، وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسُنَ خُلُقَهُ

Maksudnya: “Aku adalah penjamin sebuah rumah di taman Syurga yang indah bagi sesiapa yang meninggalkan pergaduhan meskipun dia dalam keadaan yang benar, dan sebuah rumah di kawasan terbaik Syurga bagi sesiapa yang tidak berdusta sekalipun dia bergurau, dan sebuah rumah di Syurga tertinggi bagi sesiapa yang memperindahkan akhlaknya.”

Riwayat Abu Daud (4800); dinilai salih (baik) oleh Imam Abu Daud sendiri, dan dinilai hasan oleh al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (3/354)

Dengan mengelakkan pergaduhan, kita telah merendah diri dan mengelak sikap sombong. Ini bakal mengundang ganjaran yang agung dan pahala yang besar. Imam ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri mensyarahkan hadith di atas seraya berkata: “Sesiapa yang meninggalkan perbalahan sekalipun dia benar; iaitu: dia jujur dan bercakap dengan menyatakan kebenaran ketika berbicara; kerana meninggalkan kata-kata yang boleh menyebabkan hati orang yang berbalah dengannya terguris atau tersakiti, dan mengelakkan diri daripada mengangkat diri atau berbangga, serta mengelakkan daripada menzahirkan kehebatan dirinya [maka orang seperti ini berhak memasuki syurga, kerana memilih untuk merendah diri].” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmizi, 6/109)

Tuntasnya, kita diarahkan untuk menegur dan menasihati orang yang melakukan apa-apa kesalahan atau dosa dengan lisan, jika tidak mampu maka dengan hati iaitu dengan sekadar membencinya. Jika orang tersebut tetap tidak mahu terima teguran kita, maka kita biarkan dirinya dan terus-menerus mendoakan hidayah serta kebaikan buat dirinya. Elakkan bergaduh mulut dengan mana-mana pihak, perbuatan tersebut bakal menjerumuskan kita ke dalam dosa-dosa lisan yang lain. Tegur dengan baik, dan biarkan sama ada dia mahu menerima atau tidak. Urusan hidayah adalah urusan Allah SWT.

Sesungguhnya para ulama’ merupakan pewaris Nabi SAW jika benar-benar mereka dapat melaksanakan kehendak Rasulullah SAW. Benarlah hadith Nabi SAW: Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Di samping itu, diingatkan juga bahawa perbuatan mencela alim ulama adalah suatu perbuatan yang menjerumuskan pelakunya ke dalam kancah kehancuran dan kebinasaan. Sewajarnya kita hindari perbuatan menyakiti golongan yang dimuliakan dan dicintai oleh Allah SWT. Sesiapa yang memusuhi wali-wali Allah, maka Allah akan mengisytiharkan perang terhadap dirinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *