Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya seorang OKU. Solat terpaksa guna kerusi. Bolehkah saya menjadi imam solat berjemaah dengan ahli keluarga saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan jawapan ini dengan menegaskan kewajiban melaksanakan solat sebagai seorang Muslim dan ia merupakan salah satu Rukun Islam yang paling utama, dengan membawa sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Dibina Islam itu di atas lima iaitu penyaksian bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang sebenar-benarnya layak untuk disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Dalam melaksanakan solat pula, kita harus memenuhi rukun-rukun solat yang wajib dilaksanakan. Berdiri ketika menunaikan solat merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilakukan dan dipenuhi. Imam Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa, rukun solat yang ke-3: al-Qiyam (الْقِيَامُ) iaitu berdiri ketika menunaikan solat, dan dalil bagi kewajibannya adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِینَ

Maksudnya: “Dan berdirilah (dalam solat) kerana Allah dalam keadaan penuh taat.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Kewajiban berdiri ketika solat ini juga merupakan ijma‘ (persepakatan) umat Islam, dan perkara yang begitu dimaklumi dan diketahui di dalam agama Islam ini.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/97)

Namun, syariat Islam juga datang dengan kemudahan dan keringanan. Allah SWT tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kalian.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak mampu untuk bersolat dalam keadaan berdiri, maka dia dibenarkan untuk melaksanakan solat dalam keadaan duduk. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Sekiranya seseorang tidak mampu berdiri, maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan duduk; bagaimanapun cara duduknya itu, berdasarkan ijma‘ para ulama dan hadith.” (Lihat ‘Ujalah al-Muhtaj ila Taujih al-Minhaj, 1/193)

Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada ‘Imran bin Husain R.A, katanya: “Aku diuji dengan penyakit buasir (بَوَاسِيرُ) lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu juga maka solatlah dalam keadaan baring secara mengiring.

Riwayat al-Bukhari (1066)

Imam al-Khattabi berkata: “Makna hadith ini adalah pedoman bagi seseorang yang hendak melaksanakan solat-solat fardhu. Secara asalnya, dia diwajibkan untuk melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu berdiri dan menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya, maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan-keadaan yang disebutkan selepas itu.” (Lihat A‘lam al-Hadith, 1/630-631)

Berhubung soalan di atas, kami tegaskan bahawa tuan yang bersolat dalam keadaan duduk boleh untuk mengimamkan solat berjemaah buat ahli keluarga walaupun mereka solat dalam keadaan berdiri. Hal ini berdasarkan nas Imam al-Syafi‘i berkata di dalam kitab al-Umm:

“Arahan Rasulullah SAW di dalam hadith Anas RA dan lain-lain yang menyatakan bahawa Rasulullah pernah solat dalam keadaan duduk, kemudian makmum di belakang (para Sahabat) turut bersolat dalam keadaan duduk juga adalah mansukh dengan hadith Aisyah RAnha: Bahawa Rasulullah SAW mengimamkan solat ketika baginda sakit sebelum wafat, dalam keadaan duduk, manakala para Sahabat baginda di belakang bersolat dalam keadaan berdiri. Yang demikian adalah boleh diterima.” (Lihat al-Umm, 1/198-199)

Berdasarkan nas yang jelas di atas, Imam Abu Ishaq al-Syirazi memfatwakan: “Dibolehkan bagi orang yang mampu rukuk dan sujud dengan sempurna untuk bersolat di belakang (berimamkan) orang yang sekadar tunduk sedikit sahaja untuk rukuk dan sujud; kerana ia merupakan salah satu rukun solat, maka dibolehkan bagi orang yang mampu melaksanakannya untuk menjadi makmum bagi orang tidak mampu melaksanakannya, seperti berdiri .” (Lihat al-Muhazzab fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/185)

Oleh yang demikian, kami nyatakan di sini hukumnya bahawa dibolehkan bagi orang yang bersolat duduk untuk menjadi imam kepada jemaah yang bersolat berdiri. Solat tersebut sah sepertimana muktamad mazhab al-Syafi‘iyyah dan yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm.

Namun, disunatkan memberi keutamaan kepada lelaki yang mampu bersolat dalam keadaan berdiri untuk menjadi imam. Imam al-Nawawi berkata: “Imam al-Syafi ‘i dan sekalian ashab beliau menyatakan: dianjurkan (mustahab) bagi imam apabila tidak mampu untuk berdiri untuk memilih pengganti dirinya untuk menggantikan tempat imam mengetuai solat berjemaah secara berdiri sempurna; sepertimana Nabi SAW mengarahkan orang lain menggantikannya; sebagai keluar daripada khilaf; ada sebahagian mazhab yang melarang untuk berimamkan orang yang duduk, kerana orang yang mampu berdiri lebih sempurna dan lebih memenuhi gerakan dan posisi solat.” (Lihat al-Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 4/264)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *