Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membawa handphone ke dalam tandas dan ada apps seperti Al-quran dan lain-lain apps agama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.”

Riwayat Muslim (804)

Pada asalnya, kita dituntut untuk memuliakan dan menghormati al-Quran di samping menjaga adab-adab dengannya.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218) dan  Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan harus hukumnya membawa telefon ke dalam tandas meskipun di dalamnya ada aplikasi al-Quran dan seumpamanya. Hal ini kerana ia hakikatnya hanyalah sebuah  telefon sahaja dan bukannya mushaf al-Quran. Sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Akan tetapi, kami nyatakan tidak boleh untuk memasang bacaan al-Quran di dalam tandas demi menjaga kemuliaannya sebagai kitab suci Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *