#720 Wanita Istihadhah Beriktikaf di Masjid

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah wanita yang sedang melalui waktu istihadhah beriktikaf di masjid? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, beliau berkata:

جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ، إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ، وَلَيْسَ بِحَيْضٍ، فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلاَةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي – قَالَ: وَقَالَ أَبِي: – ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلاَةٍ، حَتَّى يَجِيءَ ذَلِكَ الوَقْتُ

Maksudnya:Fatimah binti Abu Hubaisy datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ialah seorang perempuan yang mengalami istihadhah, maka aku tidak suci kerana berterusan kedatangan darah. Adakah aku boleh meninggalkan solat?’ Rasulullah bersabda: ‘Tidak, sesungguhnya yang demikian itu ialah darah yang datang dari urat dan bukannya darah haid. Apabila waktu haidmu datang, maka tinggalkanlah solat, dan apabila haidmu berlalu pergi — yakni tempohnya habis — maka basuhlah darah itu daripadamu kemudian solatlah.’ Hisyam berkata: Bapaku meriwayatkan (Baginda bersabda): ‘Kemudian berwuduklah untuk setiap solat (yang mahu engkau tunaikan) sehingga datang pula waktu itu (haid yang berikutnya mengikut adat kebiasaan).’

Riwayat al-Bukhari (228) dan Muslim (333)

Berdasarkan hadith di atas, terdapat beberapa perkara yang dapat diambil dan difahami. Pertamanya, darah istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada waktu haid dan nifas. Ini adalah sebahagaiman yang dinyatakan oleh Habib Hasan al-Kaff, darah istihadhah ialah darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas (yakni tempoh maksimumnya), atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas. Tambahan lagi, menurut mazhab Syafi‘i tempoh minimum haid ialah sehari semalam (24 jam) dan tempoh maksimumnya pula ialah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh minimum suci pula ialah 15 hari 15 malam dan tiada had maksimum bagi tempoh suci. Justeru, apa-apa cecair kekuningan dan keruh yang keluar kurang daripada tempoh sehari semalam (24 jam) atau selepas tempoh maksimum haid — yakni dalam tempoh minimum suci — maka ia tidak dikira sebagai darah haid, sebaliknya ia ialah darah penyakit — yakni istihadhah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 167; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161-162; Hasyiah al-Baijuri, 1/212)

Keduanya, terdapat perbezaan hukum bagi wanita yang mengalami darah istihadhah dengan mereka yang mengalami darah haid dan nifas. Hal ini kerana wanita yang mengalami istihadhah tidak terhalang untuk melakukan solat. Bahkan wajib ke atasnya untuk bersegera menunaikannya berdasarkan syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama. Solat yang dilakukannya itu adalah sah dan tidak perlu diqadha’ semula. Begitu juga apabila tiba bulan Ramadhan, dia wajib berpuasa puasa. Selain itu, diharuskan juga bagi suaminya menyetubuhinya, walaupun ketika darah sedang keluar. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 170-171)

Dalam erti kata lain, darah istihadhah yang keluar itu tidak menghalangnya untuk mengerjakan semua ibadah yang hendak dilakukan, sama ada ibadah tersebut memerlukannya untuk bersuci daripada hadas ataupun tidak. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa wanita yang sedang mengalami darah istihadhah hukumnya adalah seperti wanita yang suci dari sudut ibadah solat, puasa, iktikaf, membaca al-Quran dan lain-lain. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tiada masalah untuk wanita yang sedang mengalami darah istihadhah untuk beriktikaf di dalam masjid kerana hukumnya adalah sepertimana wanita yang suci. Walau bagaimanapun, dia hendaklah memastikan tidak berlaku sebarang kebocoran atau seumpamanya, yang boleh menyebabkan darah istihadhah itu menitik lalu mencemarkan ruangan solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *