#74 Solat yang Kiblatnya Sedikit Tersasar

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kedudukan solat yang kiblatnya sedikit tersasar daripada arah yang sebenar. Iaitu dengan terlencong sedikit beberapa darjah (jika jarum minit pukul 12, ia terlencong kira-kira 12.05).

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Kiblat

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142).

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302).

Menghadap Kiblat Sebagai Syarat Sah Solat

Berdasarkan nas daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: “Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.”

(Surah al-Baqarah: 150)

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”

Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/127-128).

Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 197; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 200).

Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/217).

Dalam mazhab al-Syafi’i, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:

  • Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
  • Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
  • Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
  • Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I`anah al-Talibin, 1/145).

Kedudukan Solat yang Kiblatnya Sedikit Tersasar

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas kami cenderung menyatakan bahawa tersasar sedikit ke kanan seperti mana yang disebut tidak memudaratkan kesahihan solat.

Namun, kami berpendapat kaedah yang paling baik ialah dengan menggunakan perkhidmatan Unit Falak Jabatan dan Pejabat Mufti di negeri yang surau pejabat berkenaan berada. Ini kerana penentuan kiblat menggunakan kompas mungkin mengalami sedikit perbezaan berbanding kaedah penetapan arah kiblat menggunakan arah matahari dengan bantuan alat-alat moden yang lebih tepat.

Pastinya dengan penentuan Unit Falak dan sijil yang dikeluarkan akan menghilangkan keraguan dan kontroversi yang berlaku lalu Jemaah boleh solat dengan lebih tenang dan khusyuk.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *