#740 Solat Isyak di Penghujung Malam Sebelum Subuh

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu soalan, bolehkah saya melakukan solat isyak pada pukul 5 pagi? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, di antara syarat sah solat adalah mengetahui masuknya waktu solat. Hal ini kerana setiap solat fardhu mempunyai waktu-waktunya yang ditetapkan, dan solat mesti dilakukan dalam waktu-waktu itu. Walau bagaimanapun, mendirikan solat dalam waktunya sahaja belum memadai malah orang yang bersolat itu mesti mengetahui waktunya sebelum melakukan solat tersebut. Oleh itu, tidak sah solat seseorang yang tidak mengetahui masuk waktunya walaupun ternyata kemudiannya solat yang dilakukannya itu berbetulan pada waktu yang disyariatkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/123)

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya:Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Pada asasnya, waktu solat Isyak bermula apabila mega merah telah hilang di atas langit. Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa riwayat daripada Nabi SAW. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 68)

Di antaranya ialah hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ

Maksudnya: “Jibril A.S. solat isyak bersamaku ketika mana hilangnya mega merah di ufuk.”

Riwayat Abu Dawud (393)

Manakala tempoh berakhirnya solat isyak pula, para ulama berselisih pendapat mengenainya kepada tiga pendapat. Pendapat pertama, solat Isyak tamat pada hujung 1/3 pertama malam. Pendapat kedua, pada separuh malam. Pendapat ketiga, sehingga terbit fajar sadiq. (Lihat Sahih Fiqh al-Sunnah, 1/215)

Namun, pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i ialah waktu Isyak tamat apabila terbitnya fajar sadiq. Sedangkan waktu ikhtiyar — yakni terbaik dan terpilih — untuk menunaikan solat Isyak adalah sehingga sepertiga malam, dan terdapat juga pendapat lain menyatakan, sehingga pertengahan malam. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ

Maksudnya:Sekiranya aku tidak risau akan memberatkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka untuk melewatkan solat Isyak sehingga satu pertiga malam atau separuh malam.”

Riwayat al-Tirmizi (167)

Seterusnya waktu yang diharuskan pula adalah sehingga sebelum waktu subuh. Ada juga sebahagian ulama berpendapat, makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. Tambahan pula, al-Syeikh Abu Hamid juga ada berpendapat bahawa waktu makruh bagi solat Isyak adalah di antara dua fajar — yakni fajar sadiq dan fajar kazib. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/167; Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 68)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat Isyak yang dilakukan sebelum terbitnya fajar sadiq — yakni sebelum masuknya waktu Subuh — adalah sah, tidak kira pada jam 5 pagi atau selainnya selagi mana masih belum masuknya waktu Subuh kerana waktu tersebut masih lagi berada dalam waktu yang diharuskan untuk solat Isyak sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama yang berpendapat makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf.

Selain itu, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa solat di dalam waktu ikhtiyar, lebih-lebih lagi di awal waktu secara berjemaah adalah lebih baik dan paling disukai berdasarkan keumuman nas yang menyebutkannya. Melewat-lewatkan solat tanpa sebarang keuzuran, apatah lagi sehingga di akhir waktunya bukanlah suatu perkara yang baik kerana dikhuatiri seseorang itu akan terlepas daripada menunaikannya. Begitu juga hal itu menunjukkan seolah-olah dirinya tidak cakna dengan solat, sedangkan solat itu merupakan tiang agama. Kami akhiri dengan sebuah riwayat daripada Abdullah, beliau berkata:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيُّ العَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ؟ قَالَ: الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya:Aku bertanya kepada Nabi SAW: ‘Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?’ Baginda menjawab: ‘Menunaikan solat pada waktunya’.

Riwayat al-Bukhari (527)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *