#753: Mandi Junub Pesakit yang Sentiasa Berhadas

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara mandi junub bagi pesakit yang sentiasa berhadas seperti mereka yang memakai Colostomy Bag?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21)

Perkara yang menyebabkan wajib mandi ialah lima perkara sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi, iaitu:

  • Meninggal dunia
  • Haid
  • Nifas
  • Wiladah (keguguran/kelahiran)
  • Janabah dengan sebab masuknya hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj atau keluarnya mani sama ada secara semula jadi atau selainnya. (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, hlm. 14)

Namun, terdapat sebahagian ulama membahagikan perkara yang mewajibkan mandi kepada enam seperti Syeikh Salim Sumair. Hal ini kerana mereka memecahkan aspek janabah menjadi dua iaitu memasukkan hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj dan keluarnya mani. (Lihat Matan Safinah al-Naja, hlm. 20)

Hal ini juga sepertimana yang dijelaskan oleh Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim al-Kaf dalam kitabnya al-Taqrirat al-Sadidah, di mana beliau meringkaskan kesemua perkara yang mewajibkan seseorang untuk mandi hadas (mandi wajib) seperti berikut:

1) Khusus untuk wanita:

  • Keluar haid.
  • Keluar nifas.
  • Melahirkan anak.

2) Perkara yang berkongsi antara lelaki dan perempuan:

  • Bersetubuh
  • Keluar air mani.
  • Meninggal dunia. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadat, hlm. 114)

Oleh itu, selain daripada enam perkara ini maka tidak diwajibkan untuk seseorang itu mandi.

Definisi Colostomy Bag

Kolostomi ialah satu lubang yang dibuat melalui proses pembedahan pada dinding abdomen yang mana sebahagian kecil daripada usus besar itu dibawa ke permukaan kulit. Lubang buatan yang baru ini, dipanggil sebagai stoma. Ia adalah bertujuan untuk memudahkan najis keluar, tanpa melalui tempat usus yang sakit atau rosak. (kerana tidak boleh dikeluarkan daripada saluran biasa). Kadang-kadang, lubang buatan ini dibuat pada saluran kencing, yang dipanggil urostomi. Dan pesakit yang dibuat stoma akan memakai beg kolostomi.[1]

Dalam erti kata lain, istilah “Kolostomi” merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar (colon) di dalam abdomen yang dibuka dan pembukaannya itu disalurkan ke bahagian dinding abdomen dan dilekatkan pada kulit. Hujung usus ke bahagian dubur (rectum) tidak lagi berfungsi seperti biasa. Beg Kolostomi dipasang pada abdomen yang ditebuk di mana usus keluar daripada dinding abdomen tersebut. Dalam keadaan seperti ini, pengeluaran najis tidak akan dapat dikawal sama sekali oleh pesakit.

Mandi Junub Pesakit yang Sentiasa Berhadas

Pesakit yang sentiasa berhadas biasanya perlu memakai Colostomy Bag atau Continous Bladder Drainage. Colostomy Bag ialah sejenis getah yang dipasang kepada pesakit yang tidak boleh buang air besar secara normal. Continous Bladder Drainage pula ialah sejenis alat getah yang dipasang kepada pesakit yang tidak boleh kencing kerana tersumbat saluran kencing.

Penggunaan air oleh pesakit seumpama ini tidaklah memudaratkan badannya, malah boleh menukar kedua beg getah tersebut setiap kali ia penuh. Dalam kes ini pesakit terlibat dikira termasuk dalam golongan pesakit yang boleh menggunakan air ketika mandi seperti juga orang yang sihat yang boleh menggunakan air.

Untuk melakukan mandi junub pesakit perlu:

  • Menanggalkan atau membuka beg plastik yang telah berisi air kencing/najis. Bagi pesakit yang memakai Colostomy Bag, dia hendaklah membersihkan tempat keluar najis di perut. Kemudian menggantikannya dengan beg plastik yang baru atau guna yang lama sekiranya boleh dibersihkan.
  • Berwuduk seperti biasa sebagaimana disunatkan sebelum mandi junub.
  • Mandi dengan menjiruskan keseluruhan badan.

Dengan mandi ini dia boleh menunaikan solat. Jika semasa menunaikan solat itu najis terkeluar, pesakit terlibat boleh terus melakukan solat kerana najis yang keluar itu dimaafkan kerana kesukaran dan darurat. Solat pesakit berkenaan dikira sah dan tidak perlu diulang apabila sembuh.

Walaupun pesakit yang terlibat dengan pemakaian kedua-dua jenis alat ini boleh mandi itu tidak memudaratkannya namun kekerapannya berulang alik ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat menimbulkan kesukaran kepadanya.

Kami nukilkan juga di sini keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6-8 September 2007, di mana telah diputuskan bahawa:

“Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwudhu’ atau menunaikan solat. Wudhu’ yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wudhu’ tersebut terbatal.”[2]

Selain itu, timbul persoalan lain, di mana bolehkah pesakit ini menghimpunkan di antara dua solat sekaligus di dalam satu waktu?

Sebenarnya hukum menghimpunkan dua solat bagi pesakit yang berada di dalam situasi ini adalah harus. Ia diharuskan oleh Imam Ahmad, al-Qadi Husain, al-Khattabi dan juga al-Mutawalli al-Nawawi, dalil keharusan menghimpunkan solat kepada jenis ini adalah kuat.

Ada dua pendekatan yang boleh digunakan pesakit untuk menghimpunkan dua solat:

  • Menghimpunkan di dalam waktu yang pertama atau kedua (jama’ takdim dan juga ta’khir).
  • Menghimpunkan solat di dalam bentuk suri (gambaran lahirnya sahaja) iaitu menunaikan solat yang pertama pada akhir waktu dan yang kedua pada awal waktu.

Solat yang boleh dijamakkan ialah solat Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Selain daripada itu, tidak boleh dijamakkan. Solat qasar tidak boleh, sebaliknya yang kita bincangkan ialah boleh menjamakkan solat dalam situasi darurat di atas.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat http://www.stoneflyers.com/

[2] Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 47 [https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *