#758: Maksud ‘Amin’ Selepas Baca Surah al-Fatihah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud ‘Amin’ yang disebut selepas kita membaca surah al-Fatihah? Dan adakah ia termasuk daripada surah al-Fatihah? Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Umumnya, mengucapkan “Amin” selepas selesai bacaan surah al-Fatihah bagi setiap orang yang mendirikan solat, hukumnya adalah sunat, yakni selepas firman Allah SWT, “وَلَا الضَّالِّينَ” hendaklah diikuti dengan perkataan “Amin”. Begitu juga, disunatkan mengucapkan “Amin” dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/152)

Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi sesiapa yang membaca surah al-Fatihah untuk mengucapkan “Amin” selepas selesai membacanya. Ibn Kathir menjelaskan lagi, disunatkan perkara tersebut bagi sesiapa yang membacanya di luar solat dan pada hak orang yang mendirikan solat itu adalah lebih-lebih lagi — yakni disunatkan. Tidak kira dia mendirikan solat secara bersendirian atau dia ialah imam (yang memimpin solat berjemaah) atau dia ialah makmum. Dalam erti kata lain, disunatkan untuk mengucapkan “Amin” selepas membaca surah al-Fatihah pada semua keadaan. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/144-145)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ، فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الـمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. وَقَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: آمِينَ.

Maksudnya: “Apabila imam mengucapkan ‘amin’, maka ucapkanlah ‘amin’ kerana sesungguhnya sesiapa yang ucapan ‘amin’nya serentak (bertepatan) dengan (ucapan) ‘amin’ para malaikat, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.” Kemudian Imam al-Bukhari menukilkan di penghujung hadith ini, perkataan Ibn Syihab yang menyebutkan: “Rasulullah SAW juga selalu mengucapkan ‘amin’.”

Riwayat al-Bukhari (780)

Begitu juga terdapat riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ: آمِينَ، وَقَالَتِ المَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ: آمِينَ، فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu mengucapkan ‘amin’, dan para malaikat di langit pun mengucapkan ‘amin’, lalu (berlaku) serentak (ucapan) antara satu sama lain, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.”

Riwayat al-Bukhari (781) dan Muslim (410)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi imam untuk diam seketika (dalam tempoh yang sangat sekejap), antara bacaan al-Fatihah dan bacaan “Amin”, supaya orang ramai tidak menganggap bahawa lafaz “Amin” itu sebahagian daripada surah al-Fatihah. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff pula menjelaskan bahawa disunatkan bagi orang bersolat untuk diam antara bacaan al-Fatihah dan lafaz “Amin” dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 238)

Maksud Bacaan Amin

Majoriti ulama berpendapat bahawa lafaz “Amin” itu bermaksud “اللَّهُمَّ اسْتَجِبْ لَنَا” yakni “Ya Allah, perkenankanlah buat kami.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/145; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 240)

‘Aamin’ bermaksud: Perkenankanlah. Ia adalah kalimah doa yang bukan daripada al-Quran al-Karim dengan ijma’. Ini berdasarkan kepada dalil bahawa ia tidak ditulis dalam mushaf. Ibn al-Anbari bersetuju dengan pendapat di atas, katanya: Aamin adalah termasuk kumpulan ‘isim fi’il’ iaitu kata nama yang membawa maksud perbuatan. Ia bermaksud: “Ya Allah, perkenankanlah doa kami.” Cara menyebutnya ada dua cara yang masyhur, sama ada dibaca dengan pendekأمين  atas wazan فعيل atau dibaca secara panjang iaitu آمين atas wazan فاعل .

Menurut pendapat al-Hasan dan al-Zajjaj, aamin membawa erti ‘Ya Allah, terimalah doa kami.’ Ianya boleh dibaca sama ada panjang atau pendek mengikut bahasa Arab. (Lihat Zad al-Masir, 1/14)

Al-Hafiz al-Munziri berkata: Dikatakan bahawa Aamin merupakan satu nama daripada nama-nama Allah SWT. Inilah juga pendapat Mujahid, Hilal bin Yasaf dan Ja’far bin Muhammad. Ada pendapat menyatakan maksud aamin ialah begitulah yang diharap, seperti yang dihikayatkan daripada Ibn al-Anbari daripada Ibn Abbas dan al-Hasan. Ulama-ulama Nahwu menyatakan aamin sebagai isim fi’il (kata nama perbuatan).

Dalam hadis Abi Musa al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا قَالَ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ فَقُولُوا آمِينَ. يُجِبْكُمُ اللَّهُ

Maksudnya: “Apabila imam selesai membacakan ‘غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ’ , maka ucapkanlah aamin. Nescaya Allah SWT mengabulkannya.”

Riwayat Muslim (404), Abu Dawud (982), al-Nasa’ie (1064) dan Ahmad (19595)

Imam al-Baghawi berkata: “Maknanya ialah, ‘Ya Allah, dengarkanlah dan perkenankanlah’.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/55)

Syeikh Sulaiman Jamal berkata: “Amin itu ialah isim fi’il dengan makna perkenankanlah, dan kata setengah ulama’, maknanya adalah jangan hampakan harapan kami. (Lihat Hasyiyah al-Jamal, 2/43)

Sunat Amin pada Setiap Doa

Mengikut riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan daripada Abi Zuhair al-Numairi (seorang sahabat Rasulullah SAW), beliau telah mengucapkan satu ucapan yang baik. Apabila salah seorang mereka berdoa, lalu dia berkata: “Khatamlah doamu dengan aamin kerana aamin seperti cop di atas surat.” Kemudian beliau menceritakan bahawa Nabi SAW berkata kepada seseorang yang berdoa:

اخْتِمْ يَا فُلاَنُ بِآمِينَ ، وَأَبْشِرْ

Maksudnya: “Khatamlah (doamu) dengan Aamin, dan terimalah berita gembira!”

Riwayat Abu Dawud (939)

Di dalam hadith Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آمِيْنَ خَاتَمُ رَبِّ العالَمِينَ ، عَلَى لِسَانِ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Aamin adalah cop Tuhan sekalian alam di atas lisan hamba-hamba-Nya yang beriman.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Du’aa (202). Hadith ini dinilai sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami‘ (16)

Al-Munawi dalam syarah hadis ini berkata: Aamin mencegah doa daripada rosak dan ditolak, seperti cop metri di atas satu surat menegah daripada dizahirkan ke tangan orang yang tidak layak. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/59)

Orang-orang yang berdoa dan orang yang mengaminkan doa, kesemua mereka mendapat bahagian daripada doa. Inilah yang diriwayatkan daripada Ikrimah dalam tafsiran ayat 89 surah Yunus, katanya: “Musa berdoa dan Harun mengaminkannya. Maka itulah yang disebut dalam ayat, dan telah diperkenankan doa kamu berdua.” Riwayat al-Tabari dalam tafsirnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/185)

Meskipun yang berdoa ialah Nabi Musa, tetapi dinisbahkan doa kepada kedua-duanya kerana orang yang mengaminkan doa juga dikira orang yang berdoa.

Kami menutup kenyataan ini dengan nukilan Saidina Ali R.A, yang berkata:

آمِيْنَ خَاتَمُ رَبِّ العالَمِينَ، ختم بِهِ دُعَاء عبده

Maksudnya: “Amin adalah cop mohor Tuhan yang mentadbir sekalian alam, sebagai penutup doa hamba-Nya.” (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/84; Ruh al-Bayan, 1/10)

Iaitu penerangan mengenai ucapan ‘amin’ seumpama suatu cop surat rasmi yang telah ditutup dan cop tersebut dapat menghalang seseorang daripada membuka atau membuat sesuatu perlakuan pada surat itu. Manakala bagi orang yang berdoa pula dengan ucapan itu, akan dapat menghalang sebarang kegagalan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/38)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

1 thoughts on “#758: Maksud ‘Amin’ Selepas Baca Surah al-Fatihah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *