#76 Solat Tahiyatul Masjid Semasa Solat Fardhu

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apabila saya tiba di masjid, solat fardhu telah mula didirikan. Adakah boleh saya solat tahiyatul masjid dahulu, kemudian baru menyertai jemaah lain solat fardhu bagi mendapatkan fadhilat solat tahiyatul masjid?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Solat Sunat Tahiyyatul Masjid

Solat sunat Tahiyyatul Masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Qatadah al-Sulami R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

MaksudnyaJika salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk. 

Riwayat al-Bukhari (444) dan Muslim (1687)

Imam al-San’ani dalam menjelaskan hadis ini, beliau menyebut bahawa hadis ini mengandungi larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul al-Salam, 2/62).

Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama bersepakat bahawa solat tahiyatul masjid adalah sunat dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/52).

 

Bolehkah Solat Tahiyatul Masjid Ketika Solat Fardhu Mula Didirikan

Dalam isu di atas, apabila imam sudah mula melakukan solat fardhu, maka tidak boleh lagi kita melakukan solat sunat. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ

Maksudnya: “Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi kecuali solat wajib.”

Riwayat Muslim (710)

Oleh kerana ketika seorang makmum sedang masuk masjid di mana imam telah solat, maka hendaklah dia solat bersama imam.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Tahiyyatul Masjid terhasil dengan sendirinya apabila melakukan solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain. Tujuannya ialah supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa bersolat terlebih dahulu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/525).

Oleh itu, solat fardhu yang didirikan tersebut sudah memadai tanpa perlu melakukan solat sunat tahiyatul masjid. Penghormatannya adalah sama.

Selain itu, solat Tahiyyatul Masjid juga adalah termasuk dalam jenis solat yang boleh digabungkan bersama-sama dengan solat khusus yang lain seperti solat-solat fardhu dan solat sunat Subuh.

Dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, turut dijelaskan: “Jika seseorang itu menggabungkan dua ibadah pada niat, maka jika sifat keduanya itu adalah boleh digabungkan seperti mandi sunat jumaat bersama mandi junub, atau mandi junub bersama dengan mandi setelah keringnya haid, ataupun mandi sunat jumaat bersama dengan mandi sunat hari raya; mahupun pada masa yang sama salah satu antara dua ibadah itu adalah ibadah yang tidak dikhususkan seperti solat sunat Tahiyyatul Masjid bergabung bersama dengan solat fardhu ataupun bergabung dengan solat sunat yang lain, maka kesemua ini tidak mencacatkan ibadah kerana makna bersuci itu adalah ia boleh bergabung antara satu sama lain, dan Tahiyyatul Masjid serta seumpamanya itu tidaklah dimaksudkan dengan pengkhususan solat tersebut, bahkan yang dimaksudkan ialah menghidupkan tempat dengan menunaikan solat, maka ia juga boleh digabungkan (dengan solat) selainnya.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 12/24).

Kami katakan ini termasuk dalam masalah al-indiraj atau dalam erti kata lain menggabungkan antara dua ibadat seperti solat sunat Tahiyyatul Masjid berserta dengan Solat Fardhu di mana pelaksanaan Solat Fardhu dengan sendirinya sudah mewakili solat sunat Tahiyyatul Masjid.

Semoga Allah memberikan kepada kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *