Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah madu perlu dizakatkan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Takrif Zakat

Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”

(Surah al-Syams: 9)

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11)

Takrif Madu dan Kelebihannya

Menurut istilah bahasa Melayu, madu bermaksud cecair manis yang terdapat dalam sarang lebah dan bunga.[1]

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

 وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ ‎﴿٦٨﴾‏ ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ‎

Maksudnya: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

(Surah al-Nahl: 68-69)

Keterangan ayat ini yang menyatakan madu itu merupakan penawar kepada manusia telah pun diulas secara teknikal oleh sesetengah pakar perubatan. Hakikat ini memang terbukti benarnya dengan berlandaskan nas al-Quran ini semata-mata. Beginilah yang seharusnya dipercayai seorang Muslim kerana berpegang dengan keterangan umum yang benar di dalam kitab suci al-Quran di samping keterangan hadis daripada Rasulullah SAW.” (Lihat Fi Zilal al-Quran,1/430)

Al-Maraghi berkata: “Ilmu perubatan moden telah menetapkan madu mempunyai beberapa faedah. Kandungan glukos yang terdapat dalam madu lebih banyak berbanding dengan makanan lain. Ia merupakan ubat yang penting kepada doktor seiring dengan kemajuan ilmu perubatan. Ia juga dapat diberikan melalui mulut, dapat juga melalui suntikan pada jahitan di bawah kulit dan pada urat leher, dapat pula diberikan dengan sifatnya sebagai penguat dan pemberi makanan.

Ia juga penolak racun yang lahir akibat datangnya zat luar seperti racun (As), air raksa (Hg), emas (Au), cloroform, morfin, dan lainnya. Penolak racun yang lahir akibat penyakit yang terdapat pada anggota tubuh seperti keracunan kencing dan yang lahir daripada penyakit jantung, serta gangguan pada perut besar dan usus. Juga menolak racun dalam keadaan demam seperti tipus, radang paru-paru, radang otak serta campak, dalam keadaan lemah jantung dan dalam keadaan batuk, terutama dalam keadaan berpeluh secara umum akibat peradangan yang menyeluruh serta tajam, otak bertimbun, pembengkakan otak dan sebagainya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/101)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Daripada perut lebah, keluar madu yang beraneka warnanya. Ada yang berwarna putih, kuning atau merah. Di dalam madu, terkandung banyak manfaat dan ubat penyembuh daripada pelbagai penyakit. Madu juga menjadi salah satu bahan dalam komposisi pil dan ubat-ubatan. Di sini, Allah menerangkan madu dengan tiga ciri. Pertama, sebagai minuman, sama ada diminum secara langsung dalam bentuk madu asli, mahupun dijadikan sebagai bahan untuk membuat pelbagai jenis minuman. Kedua, beragam warnanya, ada yang berwarna merah, putih, kuning dan lainnya. Ketiga, menjadi ubat untuk pelbagai penyakit. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/325)

Madu telah lama menjadi tumpuan penyelidik dalam bidang-bidang berkaitan kesihatan. Terdapat lebih 10,000 penerbitan saintifik dari kajian mengenai kesan-kesan madu dan lebih 250 ujian klinikal yang telah diterbitkan. Manfaat madu kepada kesihatan dan sebagai rawatan tidak dipersoalkan lagi. Beberapa systematic review telah memberi asas bukti yang kukuh untuk madu sebagai rawatan kulit melecur, rawatan keradangan dalam mulut selepas radioterapi, rawatan luka kulit, batuk, mengawal gula dalam darah, memberi kesan baik kepada profil lipid dalam darah, meningkatkan prestasi riadah dan pembinaan tulang dan pelbagai lagi. Terdapat lebih 500 enzim di dalam madu selain kandungan unsur lain yang berkhasiat. Banyak kajian sedang dijalankan termasuk di institusi-institusi tempatan.[2]

Adakah Madu Perlu Dizakatkan?

Ulama telah khilaf berkenaan dengan zakat madu. Dalam buku al-Masail al-Mustajiddah menyebut pendapat yang paling rajih adalah diwajibkan zakat dengan kadar sepuluh afraq nisabnya yang menyamai sukatannya 75 kilogram.

Inilah yang telah diputuskan oleh Saidina Umar Ibn al-Khattab yang memerintahkan supaya dikeluarkan sepuluh peratus (10%) daripada nilai madu. Athram berkata Imam Ahmad ditanya berkenaan dengan zakat madu. Jawabnya: “Ya! Aku berpendapat demikian kerana telah dilakukan oleh Umar.”

Inilah pendapat Hanafiah, Hanabilah dan qaul qadim bagi mazhab Syafie. Pendapat ini juga dikemukakan oleh Umar Ibn Abdul Aziz, Makhul, al-Zuhri, al-Auza’ie dan Ishak.

Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa madu lebah tidak dikenakan zakat. Pendapat ini datangnya daripada Malik, Syafie, Ibn Abi Laila, al-Hasan bin Soleh dan Ibn Munzir. Alasannya ialah kerana madu adalah cecair yang keluar daripada haiwan dan ianya sama seperti susu haiwan. Ibn Munzir menyatakan bahawa tiada hadith dan ijma’ yang thabit menunjukkan tentang wajibnya zakat terhadap madu. (Lihat al-Mughni, 2/713)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Menurut penilaian saya, madu merupakan kekayaan yang memberikan keuntungan. Oleh kerana itu, wajib dikeluarkan zakatnya. Hujahnya adalah seperti berikut:

  • Keumuman nas yang tidak membeza-bezakan satu jenis kekayaan suatu harta daripada kekayaan yang lain. Contohnya, firman Allah SWT: ‘خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً’ (“Pungutlah zakat daripada harta benda mereka,”) dan firman-Nya, ‘أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ’ (“Keluarkanlah oleh kalian sebahagian hasil yang kalian peroleh, dan sebahagian daripada yang Kami keluarkan untuk kalian daripada bumi,”) serta firman-Nya, ‘أَنفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاكُم’ (“Keluarkanlah sebahagian daripada yang kami berikan kepada kalian.”) Dan banyak lagi ayat dan hadith berkenaan hal ini.
  • Qiyas zakat madu itu dengan hasil tanaman dan buah-buahan. Iaitu bahawa penghasilan yang diperoleh daripada bumi dinilai sama dengan penghasilan yang diperoleh daripada lebah. Kita berkeyakinan bahawa Syariat tidak membeza-bezakan dua hal yang sama, serta tidak akan mempersamakan dua hal yang berbeza.
  • Hadis-hadis yang berkaitan dengan masalah ini diriwayatkan daripada sumber yang banyak. Semua hadis tersebut menurut Ibn al-Qayyim saling menguatkan dan mempunyai sumber riwayat yang banyak, dan yang mursal dikuatkan oleh yang musnad. Oleh kerana itu, al-Tirmizi tidak menolak kesahihan hadis-hadis tentang masalah ini secara tegas seperti penolakan orang lain. (Lihat Sahih al-Tirmizi Syarh Ibn al-‘Arabi, 2/123)

Al-Syaukani dalam kitabnya, al-Durar al-Bahiyyah fi al-Masa’il al-Fiqhiyyah berpendapat seperti itu juga dan menyebut: “Madu wajib zakat dengan jumlah satu persepuluh,” yang dikuatkan oleh Sadiq Hasan Khan, yang seterusnya menyebut setelah menyatakan hadis-hadis tentang masalah itu: “Semuanya dapat dijadikan dasar landasan hukum.” (Lihat al-Raudhah al-Nadiyyah, 1/200)

Mengenai pendapat yang mengatakan bahawa madu tidak wajib zakat, (adalah dengan hujah) kerana ia merupakan cairan yang keluar daripada haiwan yang dengan demikian sama dengan susu. Sedangkan susu disepakati tidak wajib zakat. Maka, jawapannya adalah jawapan pengarang al-Mughni: “Susu tidak wajib zakat kerana induknya, iaitu bahawa peliharaannya, sudah wajib zakat. Berbeza halnya dengan madu. (Lihat al-Mughni, 2/714)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=madu

[2] Oduwole O, Udoh EE, Oyo-Ita A, Meremikwu MM (2014). Honey for acute cough in children. Cochrane Database of Systematic Reviews, Issue 4. Art. No.: CD007094. DOI: 10.1002/14651858.CD007094.pub5; Hills SP, Mitchell P, Wells C, Russell M (2019). Honey Supplementation and Exercise: A Systematic Review. Nutrients. 11(7):1586. doi: 10.3390/nu11071586. PMID: 31336992; PMCID: PMC6683082. Seperti dalam: https://www.ikim.gov.my/new-wp/wp-content/uploads/2019/11/KERTAS-13.pdf

Leave a Reply